Skip to main content

Singapura

MOE akan uji kelas lebih kecil, perhalusi tugas guru 6 sekolah

Projek rintis di enam sekolah akan mengkaji langkah mereka bentuk semula bilik darjah mulai 2027, termasuk sama ada lebih ramai pelajar boleh meraih manfaat daripada saiz kelas yang lebih kecil, umum Menteri Pendidikan Desmond Lee pada Rabu (16 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 16 Sep 2026 05:18PM Dikemas Kini : 06 Oct 2026 11:59PM
MOE to test smaller classes and refine teachers' duties at 6 schools
  • MOE will start a pilot project at six schools from 2027 to study redesigned classroom layouts and the benefits of smaller classes.
  • Desmond Lee said smaller classes could help teachers give closer attention, but they could also increase the number of classes they have to teach.
  • MOE is also assessing how teachers can focus on two of their three main duties: form teacher, CCA and committee work.
  • This effort is being supported through more flexible school spaces, external partners, non-teaching staff and the expansion of Teacher Workspace with AI by 2027.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Projek rintis di enam sekolah akan mengkaji langkah mereka bentuk semula bilik darjah mulai 2027, termasuk sama ada lebih ramai pelajar boleh meraih manfaat daripada kelas yang lebih kecil, umum Menteri Pendidikan Desmond Lee pada Rabu (16 Sep).

Kementerian Pendidikan (MOE) juga akan mengkaji usaha memperhalusi tugas guru di luar bilik darjah dengan membolehkan mereka memberi tumpuan kepada dua daripada tiga bidang - tugas sebagai guru kelas, kegiatan kokurikulum (CCA) dan tugas jawatankuasa, katanya.

Enam sekolah tersebut ialah Sekolah Rendah St Anthony Canossian, Sekolah Rendah Woodgrove, Sekolah Rendah Zhangde, Sekolah Menengah Commonwealth, Sekolah Menengah Deyi dan Sekolah Menengah Jurongville.

MOE akan menggunakan projek rintis itu untuk meneroka keadaan di mana kelas lebih kecil boleh membawa "perbezaan paling besar" kepada pengajaran dan pembelajaran, kata Encik Lee.

Beliau menambah bahawa kelas lebih kecil berdasarkan keperluan sudah dilaksanakan sejak bertahun-tahun lalu.

Kelas Darjah 1 dan 2 dikekalkan pada sekitar 30 murid sejak 2006, manakala kelas program sokongan pembelajaran mempunyai lapan hingga 10 murid dan Sekolah Menengah Crest serta Spectra lazimnya mempunyai sekitar 20 pelajar bagi setiap kelas.

Dengan pelaksanaan Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh baru-baru ini, saiz kelas bagi setiap mata pelajaran kini berbeza-beza bergantung pada keperluan pembelajaran pelajar dan jenis mata pelajaran.

"Kami melihat pengalaman positif di lapangan. Dengan kelas lebih kecil apabila diperlukan, guru lebih berupaya memenuhi keperluan pembelajaran individu dan menyesuaikan persekitaran pembelajaran supaya ia menjadi lebih menarik dan berkesan," katanya.

Kelas lebih kecil membolehkan guru memberikan perhatian lebih tertumpu kepada pelajar dan maklum balas yang lebih pantas, tetapi ia tidak secara automatik bermakna beban kerja guru akan berkurangan, kata Encik Lee. Sebaliknya, guru mungkin perlu mengajar lebih banyak kelas, seperti yang berlaku di negara lain.

Pemerintah juga tidak boleh sekadar mengambil lebih ramai guru memandangkan tenaga kerja yang terhad.

"Dan sekalipun kita mengambil lebih ramai guru, ia mesti dilakukan secara mampan tanpa menjejas mutu," katanya.

Atas sebab itu, kelas lebih kecil perlu menjadi sebahagian daripada usaha lebih luas untuk mereka bentuk semula pengajaran dan pembelajaran. Jika guru perlu mengajar lebih banyak kelas, MOE perlu mewujudkan keupayaan dan keadaan yang membolehkan mereka berbuat demikian, kata Encik Lee.

Selain mengajar di bilik darjah, ramai guru turut memikul tanggungjawab sebagai guru kelas, mengendalikan CCA dan menjalankan tugas jawatankuasa. Walaupun semua tugas ini penting, mengimbangi pelbagai tanggungjawab memerlukan masa dan tumpuan mental, katanya.

MOE akan mengkaji kemungkinan membolehkan guru memberi tumpuan kepada dua daripada tiga bidang tersebut dengan mengambil kira keperluan setiap sekolah serta kekuatan dan minat guru.

"Kami juga sedar bahawa bukan setiap tugas di sekolah memerlukan seorang guru. Jadi kita harus terus bertanya empat soalan: Adakah ia masih perlu? Bolehkah kita memudahkannya? Bolehkah teknologi atau proses lain membantu? Dan adakah ia mesti dilakukan oleh seorang guru?"

CCA dan program pembangunan pelajar lain penting bagi perkembangan menyeluruh pelajar, dan guru akan terus memainkan peranan penting dalam membantu pelajar membangunkan kecekapan sosioemosi dan kemahiran abad ke-21, kata Encik Lee.

Pada masa yang sama, MOE akan meneroka penggunaan khidmat jurulatih, pengajar, kakitangan bukan pengajar dan rakan kongsi luar dengan lebih terancang untuk menyokong program tersebut, termasuk bagi tugas pentadbiran.

MOE juga akan mengkaji cara menyesuaikan ruang sekolah sedia ada supaya dapat digunakan dengan lebih fleksibel serta memanfaatkan teknologi untuk membolehkan guru meluangkan lebih banyak masa bagi pengajaran.

Teacher Workspace, sebuah platform yang diuji di sekitar 20 sekolah, akan diperluaskan ke semua sekolah menjelang 2027.

Platform itu membolehkan guru menyelaraskan sokongan dan berkomunikasi dengan ibu bapa serta rakan kongsi dengan lebih lancar, kata Encik Lee.

Kecerdasan buatan (AI) dan keupayaan lain akan ditambah kepada platform tersebut secara berperingkat. Sebagai contoh, teknologi boleh mengumpulkan maklumat berkaitan pelajar untuk menghasilkan draf awal laporan pentadbiran, sekali gus mengurangkan kerja manual.

Encik Lee berkata MOE akan melaksanakan projek rintis enam sekolah itu secara berhati-hati memandangkan kerumitannya dan menilai sama ada perubahan tersebut membawa kepada hasil pembelajaran yang lebih baik serta amalan pengajaran yang lebih mampan.

"Kami akan terus memaklumkan perkembangan kepada sekolah dan berkongsi apa yang kami pelajari sebelum menimbangkan bagaimana pendekatan ini boleh dilaksanakan dengan lebih meluas," tambahnya.
Sumber : CNA/IM/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita