Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOE akan sediakan lebih banyak sokongan khusus buat pelajar ITE dan politeknik untuk lakar laluan pembelajaran dan kerjaya mereka

Menyepadukan pengajaran kemahiran hidup dalam kurikulum pelajar dan sokongan bagi pelajar yang mahu membuka syarikat permulaan sendiri. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menyepadukan pengajaran kemahiran hidup dalam kurikulum pelajar dan sokongan bagi pelajar yang mahu membuka syarikat permulaan sendiri.

Demikian antara saranan para peserta dalam sesi terakhir siri perbincangan bagi Semakan Peluang dan Laluan dalam Pendidikan Gunaan untuk para pelajar di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan politeknik, yang diadakan pada Sabtu (10 Jul).

Sejak Januari 2021, lebih 40 sesi sedemikian diadakan bagi mengkaji semula laluan serta kurikulum ITE dan politeknik.

Selain itu, cara-cara untuk menyokong kekuatan pelajar yang pelbagai dan unik serta aspirasi mereka turut dibincangkan.

Perbincangan itu yang diadakan secara fizikal dan online itu melibatkan sekitar 1,200 peserta yang terdiri daripada ibu bapa, tenaga pengajar, wakil industri, majikan dan para pelajar sendiri.

Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman turut hadir dalam sesi terakhir yang diadakan di ITE Kolej Tengah itu.

Dalam ucapannya, Dr Maliki berkata bahawa dunia pasca COVID-19 akan jauh lebih dinamik dan akan menyediakan pelbagai peluang ekonomi yang baru untuk dimanfaatkan.

Oleh yang demikian, para pelajar harus dilengkapi dengan kemahiran-kemahiran yang relevan untuk terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam ekonomi masa hadapan.

"Kita dapat melihat keprihatinan mereka bagaimana kita perlu terus melihat apakah suasana hari ini, suasana masa hadapan dan bagaimana kita boleh memastikan graduan-graduan kita ITE dan politeknik secocok dengan kemahiran yang diperlukan oleh ekonomi masa depan kita," kata Dr Maliki.

Perbincangan yang diadakan berlandaskan empat tema berikut.

1. Laluan yang lebih fleksibel untuk menyokong pelajar dengan tahap pembelajaran berbeza

Terdapat beberapa saranan untuk mengukuhkan pemahaman industri para pelajar, menjangkaui usaha-usaha sedia ada seperti program Pendidikan dan Bimbingan Kerjaya (ECG) dan latihan amali.

Jika di peringkat menengah, para pelajar diberi sokongan yang mencukupi untuk membuat pemilihan bagi laluan pos-menengah, sebilangan pelajar mungkin memerlukan sokongan tambahan dan bimbingan untuk mengenal pasti kekuatan dan minat masing-masing semasa pengajian mereka di ITE dan politeknik.

Para pelajar juga boleh diberi sokongan untuk mendalami minat mereka di luar bilik darjah. Ini misalnya dapat dilakukan dengan memberi sokongan seperti pendedahan awal kepada industri buat mereka yang mahu membuka syarikat permulaan sendiri.

2. Membina kapasiti untuk berdaya tahan dalam kerjaya jangka panjang

Para peserta bersetuju akan kepentingan untuk mencapai keseimbangan antara persediaan jangka pendek selepas menamatkan pengajian serta daya tahan sesuatu pekerjaan dalam jangka panjang agar dapat berkembang maju di tengah-tengah pelbagai perubahan industri.

Oleh itu, mereka menyarankan bahawa kursus-kursus dan kurikulum harus kekal relevan, selaras dengan perkembangan industri dan mempersiapkan para pelajar untuk ekonomi masa hadapan. Para pelajar juga perlu diberi kemahiran yang memadai supaya mampu membuat penyesuaian. Pada masa yang sama mereka juga boleh merebut peluang-peluang baru dalam sektor-sektor membangun.

3. Lebih banyak tumpuan terhadap kemahiran hidup

Berdasarkan maklum balas yang diterima daripada majikan, pelajar dan pendidik, mereka menekankan bahawa penting untuk mempersiapkan para pelajar bukan sahaja untuk di tempat kerja, malah kehidupan di luar juga.

Antara contoh kemahiran hidup yang dianggap penting termasuk daya tahan mental dan pengurusan diri, kemahiran komunikasi dan kerjasama serta usaha sama silang budaya.

Ini menurut mereka, adalah kemahiran-kemahiran yang relevan untuk pelbagai jenis pekerjaan.

Saranan yang dikemukakan adalah supaya kemahiran ini boleh disepadukan dengan lebih baik lagi dalam kurikulum sekolah mereka.

4. Sokongan yang lebih bersepadu untuk membantu pelajar dengan keperluan yang lebih tinggi

Sokongan yang lebih menyeluruh dan bersepadu boleh dihulurkan kepada pelajar dengan keperluan yang lebih ataupun dari latar belakang yang mencabar.

Menurut para peserta, masih terdapat ruang untuk memperkukuhkan penyelarasan antara pelbagai pihak dalam ekosistem sokongan pelajar. Ini termasuk agensi-agensi pemerintah, kumpulan-kumpulan masyarakat, ibu bapa dan kakitangan institusi.

Kakitangan institusi juga merupakan sebagai golongan kritikal dalam usaha itu dan perlu dilengkapi dengan latihan yang sewajarnya supaya dapat menghulurkan bantuan secara berkesan dengan cara yang bertepatan pada masa dan sensitif.

Saranan-saranan itu turut membantu untuk membentuk struktur kurikulum tiga tahun ITE yang dipertingkat, melayakkan para pelajar langsung bagi pensijilan NITEC Lanjutan.

Struktur kurikulum yang dipertingkatkan itu juga menyediakan fleksibiliti bagi para pelajar yang berkebolehan untuk meraih sijil NITEC Lanjutan mereka dalam masa dua tahun.

Hasil daripada semakan ini, para pelajar akan diberi lebih banyak pendedahan menerusi dua latihan amali bagi memperkukuhkan lagi keupayaan mereka di tempat kerja.

SOKONGAN IBU BAPA PENTING

Dalam ucapan penutupnya, Dr Maliki turut menekankan betapa pentingnya sokongan ibu bapa.

"Ramai di antara ibu bapa kita apabila anak mereka sudah menjangkau usia di institusi pengajian tinggi ‘oh sudah dewasa’ dan langsung tidak perlu mereka bertanya sama ada anak-anak mereka boleh terus menjalankan pengajian mereka ataupun tidak. Sokongan ibu bapa begitu penting sekali kerana bukan sahaja anak-anak itu menjalani proses baru kerana cara pengajian di institusi pengajian tinggi agak berlainan dari cara pengajian di sekolah-sekolah menengah kita dan dengan itu anak-anak perlukan sokongan dan merasakan bahawa ibu bapa adalah rakan seperjuangan mereka,' kata Dr Maliki.

Beliau juga menggalakkan ibu bapa untuk lebih proaktif dan bekerjasama dengan pihak sekolah.

"Para guru, para pensyarah di institusi pengajian kita bersedia untuk berganding bahu dengan ibu bapa untuk menyokong anak-anak mereka. Jadi kita harap lebih ramai ibu bapa akan tampil ke hadapan untuk membantu memberi satu ekosistem yang menyokong anak-anak mereka," kata Dr Maliki.

"Kita akan terus mengkaji apakah maklum balas yang telah diberikan. Kita akan melakarkan kurikulum-kurikulum yang diperlukan dan kita akan mengumumkan pada masa hadapan apakah yang akan diubahsuaikan mungkin dan apa yang akan diperbaiki dari segi kurikulum, dari segi sokongan yang boleh kita berikan kepada para penuntut kita," tambah Dr Maliki.

Menurut MOE, cadangan-cadangan itu akan dipertimbangkan dan dikaji, hasilnya akan dimuktamadkan tahun hadapan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan