MOE akan perkukuh dasar antibuli di sekolah, semak rangka kerja disiplin
Menteri Pendidikan Desmond Lee berucap semasa sesi dialog mengenai buli dan tingkah laku tidak disenangi di sekolah, di bangunan MOE pada 27 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
- Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengukuhkan dasar sekolah mengenai buli dan tingkah laku berbahaya dalam fasa seterusnya semakan dalamannya, kata Menteri Pendidikan Desmond Lee pada Rabu (27 Ogos).
- Semakan Tindakan Komprehensif terhadap Buli, yang bermula pada awal 2025, bertujuan untuk memperbaiki struktur dan proses sedia ada untuk menangani kelakuan buli di sekolah-sekolah dengan lebih baik, kata Desmond Lee.
- Selain menambah baik dasar-dasar sekolah, penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada pendidikan nilai, menggunakan contoh-contoh kontemporari semasa pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE), kata Desmond Lee.
- Perbincangan akan berterusan sehingga akhir tahun ini, dan kementerian akan berkongsi cadangan utama dan tindakan susulan pada separuh pertama 2026.
Semakan Tindakan Komprehensif terhadap Buli, yang bermula pada awal 2025, bertujuan untuk memperbaiki struktur dan proses sedia ada untuk menangani kelakuan buli di sekolah-sekolah dengan lebih baik, katanya.
Encik Lee berucap dalam dialog dengan sekitar 20 pendidik, ibu bapa dan ahli COMPASS (COMmunity and Parents in Support of Schools) di ibu pejabat MOE.
Dalam fasa seterusnya semakan itu, kementerian akan melihat kepada usaha meningkatkan rangka kerja bagi disiplin dan amalan pemulihan di sekolah.
Ia juga akan menjadikan saluran aduan lebih mudah diakses untuk pelajar yang dibuli, dan meningkatkan sokongan rakan sebaya di sekolah.
"Izinkan saya jelaskan dari awal bahawa sebarang bentuk tingkah laku yang menyakitkan adalah salah dan tidak boleh diterima. Kami tidak, dan tidak akan, membenarkan buli dan tingkah laku yang menyakitkan," kata Encik Lee.
Beliau berucap menyusuli beberapa insiden buli baru-baru ini.
Dalam insiden terbaharu, tiga pelajar di Sekolah Rendah Sengkang Green digantung sekolah selepas mengancam untuk membunuh rakan sekelas mereka serta keluarganya.
Awal tahun ini, video sekumpulan remaja mengancam seorang budak lelaki dengan pisau dan satu lagi video pelajar Sekolah Menengah Montfort bergaduh turut menjadi tular.
Selain menambah baik dasar-dasar sekolah, penekanan yang lebih besar akan diberikan kepada pendidikan nilai, menggunakan contoh-contoh kontemporari semasa pelajaran Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE), kata Encik Lee.
Beliau menambah bahawa kementerian akan memberi lebih banyak sokongan kepada sekolah dan pendidik melalui pembangunan profesional dan penggunaan teknologi untuk membantu pendidik.
Sekolah juga akan mengukuhkan perkongsian dengan ibu bapa untuk menggalak peranan model positif di rumah.
Kementerian itu juga akan berkongsi sumber dengan ibu bapa tentang cara mereka boleh berbual dengan anak-anak mereka bagi mengukuhkan tingkah laku positif, katanya.
Ibu bapa adalah "rakan kongsi paling penting" dalam kerja ini, katanya, sambil menambah bahawa lebih banyak boleh dicapai jika ibu bapa dan guru bekerjasama rapat.
Encik Lee berkata bahawa kementerian itu juga akan melakukan lebih banyak lagi untuk membimbing dan menyokong kanak-kanak.
"Sekolah kita mesti terus menjadi ruang selamat bagi kanak-kanak mempelajari nilai-nilai yang betul, mengenali diri mereka, membina persahabatan, dan memenuhi potensi mereka," katanya.
"Kanak-kanak dan belia masih muda, mereka masih membesar, sedang belajar tentang apa yang betul atau salah, dan bagaimana untuk berinteraksi dan bekerja dengan orang lain," katanya.
Menangani tingkah laku buli bukanlah isu yang mudah, dan pendekatannya tidak selalunya jelas, terutamanya apabila keterangan kanak-kanak berbeza atau pihak berkepentingan yang berbeza mempunyai perspektif yang berbeza tentang tindak balas yang sesuai.
"Pada akhirnya, kita semua mahukan hasil yang sama untuk anak-anak kita. Kita mahu sekolah yang menjadi ruang selamat, di mana pelajar kita membangunkan nilai-nilai yang baik, belajar dan menjalin persahabatan, dan untuk pendidik kita dapat membimbing dan membentuk kehidupan," katanya.
Perbincangan akan berterusan sehingga akhir tahun ini, dan kementerian akan berkongsi cadangan utama dan tindakan susulan pada separuh pertama 2026.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.