MOE akan kaji cara kurangkan tumpuan kepada peperiksaan, timbang aspek bukan akademik
Singapura perlu melakukan lebih banyak usaha untuk meninggalkan pemikiran bahawa pendidikan merupakan satu “perlumbaan”, kata Menteri Pendidikan Desmond Lee di parlimen pada Khamis (25 Sep).
Justeru itu, Kementerian Pendidikan (MOE) akan mengambil langkah bagi mengkaji bagaimana untuk mengurangkan kepentingan peperiksaan, memberi tumpuan kepada aspek-aspek bukan akademik bagi pengalaman di sekolah, dan mengekang “penguasaan” oleh keluarga yang mempunyai lebih banyak sumber.
MOE akan meneliti cara untuk memperbaharui sistem pendidikan selaras dengan pendekatan agenda Melakar Hala Tuju Singapura pemerintah, kata Encik Lee.
“Peperiksaan seperti (Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah - PSLE) tidak seharusnya kekal sebagai satu perhentian berisiko tinggi bagi murid-murid, yang dilihat sebagai faktor yang menentukan hala tuju kehidupan mereka seterusnya,” kata Encik Lee.
“Sebaliknya, kita akan memberi tumpuan kepada aspek-aspek yang lebih penting dalam pengalaman anak-anak kita di sekolah - membangunkan kemahiran hidup, hubungan sesama manusia, akhlak serta nilai-nilai murni, dan banyak lagi.”
“Dalam alam pekerjaan, kita semua tahu bahawa gred akademik mungkin membuka pintu bagi anda, tetapi siapa diri anda sebagai seorang individu menentukan prestasi anda,” tambah beliau.
Oleh itu, MOE akan meningkatkan penekanan terhadap pendidikan perwatakan dan kewarganegaraan (CCE) dan kegiatan ko-kurikular, yang “sama penting, jika tidak lebih penting, daripada gred-gred akademik”.
“Kita juga mesti mengawal jurang peluang dalam sistem pendidikan kita, di mana keluarga yang mempunyai lebih banyak sumber memberi tekanan yang keterlaluan terhadap anak-anak mereka untuk meraih kelebihan di sekolah, sementara kanak-kanak daripada keluarga yang berpendapatan rendah berdepan cabaran yang lebih sukar,” kata Encik Lee.
MOE akan menyediakan lebih banyak sokongan bagi pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dengan meningkatkan sumber untuk sekolah dan memperdalam kerjasama dengan ibu bapa serta masyarakat.
Kanak-kanak juga mesti berpeluang berinteraksi dengan rakan sebaya daripada latar belakang yang berbeza sejak kecil, untuk mencegah perpecahan berdasarkan kaum, agama atau status sosioekonomi, kata beliau.
Atas sebab itu, MOE akan terus membolehkan pelajar daripada latar belakang berbeza belajar bersama-sama dan daripada satu sama lain, supaya sekolah dan bilik darjah dapat mencerminkan masyarakat.
Sekolah-sekolah juga akan mengubah cara pelajar diajar dan belajar bagi mempersiapkan diri mereka untuk menghadapi dunia yang diubah oleh kecerdasan buatan (AI), serta melengkapi mereka dengan kemahiran penting agar mereka boleh mewujudkan nilai dengan memanfaatkan AI.
“Ini bukan perubahan yang mudah, dan ia akan mengambil masa untuk dilaksanakan.
"Sesetengah daripadanya mungkin memerlukan kita memikirkan semula secara asas pendekatan kita terhadap penilaian, kurikulum, pembelajaran dan cara kita mengatur sistem pendidikan kita.
“Tetapi ia diperlukan untuk jangka panjang,” kata Encik Lee, yang bercakap semasa perbahasan Parlimen berhubung Ucapan Presiden.
Awal minggu ini, Perdana Menteri Lawrence Wong juga menyatakan bahawa
pemerintah akan melakukan lebih banyak usaha untuk mengurangkan kepentingan peperiksaan tunggal dan memperluas takrifan kejayaan.
Encik Lee berkata, walaupun masyarakat mahu berusaha untuk mencapai kecemerlangan, penekanan berlebihan terhadap gred akademik boleh mewujudkan tahap persaingan dan tekanan yang tidak sihat.
Ini berbeza dengan “memupuk minat sebenar terhadap pembelajaran atau memberi tumpuan kepada perkara yang penting”.
Beliau berkata sistem pendidikan mesti menyediakan laluan untuk kanak-kanak berkembang tanpa mengira titik permulaan mereka, menyokong mereka untuk mengejar aspirasi “mengikut masa mereka sendiri” dan menyemai nilai-nilai kukuh supaya mereka menyumbang kembali kepada masyarakat.
Peralihan daripada penekanan terhadap gred dan kelayakan akademik merupakan suatu usaha jangka panjang, kata beliau, sambil menarik perhatian kepada perubahan-perubahan yang sudah dibuat.
Ini termasuk pemansuhan peperiksaan bagi murid Darjah 1 dan Darjah 2 serta pelaksanaan penuh Skim Pengumpulan Berdasarkan Subjek Secara Penuh (SBB) di sekolah menengah.
SOKONGAN SOSIAL
Encik Lee, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Integrasi Khidmat Sosial, turut menyentuh mengenai program ComLink+ dan KidSTART yang menyokong keluarga berpendapatan rendah dan anak-anak mereka.
ComLink+ kini menyokong sekitar 10,000 keluarga dengan anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah, dan pemerintah akan meluaskan sokongan tersebut secara berperingkat, katanya.
Pemerintah juga akan menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh untuk membantu keluarga pada masa hadapan.
“Kami telah bekerjasama dengan (Lembaga Perumahan dan Pembangunan – HDB) untuk membantu keluarga memiliki rumah,” kata Encik Lee.
“Kami akan menyokong anak-anak kita di semua peringkat pendidikan, termasuk meningkatkan kadar pendaftaran prasekolah dan kehadiran, serta memastikan persekitaran rumah yang sihat.
“Kami juga akan menyediakan bantuan pekerjaan dan kemahiran khusus yang lebih memenuhi keperluan keluarga.”
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.