Skip to main content

Singapura

Modul pengajian, program luar negara dan laluan kerjaya dikongsi kepada pelajar pra-U tentang SCIS

Bidang pengajian yang bakal ditawarkan, pendedahan luar negara yang boleh disertai, serta laluan kerjaya yang boleh diceburi di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 13 May 2026 07:28PM Dikemas Kini : 09 Jun 2026 01:57PM
SINGAPURA: Bidang pengajian yang bakal ditawarkan, pendedahan luar negara yang boleh disertai, serta laluan kerjaya yang boleh diceburi di Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS).

Demikian intipati yang dikongsikan kepada sekitar 70 pelajar madrasah prauniversiti pada Selasa (12 Mei) semasa satu sesi pendampingan bersama Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Muhammad Faishal Ibrahim.

Sesi yang diadakan di kampus Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) di Bencoolen Street itu bertujuan mendedahkan kepada para pelajar butiran mengenai program sulung Ijazah Sarjana Muda di SCIS, yang bakal menerima kohort pertamanya pada 2028.

Turut hadir ialah Mufti Singapura, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

PENGAJIAN DI SCIS DAN PENGIKTIRAFAN UNTUK PARA SISWAZAH SCIS KELAK

Dalam ucapannya, Dr Faishal membentangkan beberapa modul yang akan diambil oleh para penuntut SCIS sepanjang pengajian empat tahun mereka di sana.

Dr Faishal berkata: "Dua tahun pertama pengajian - membina asas bersama dalam pengajian Islam, Bahasa Arab dan sains kemasyarakatan. Mulai tahun ketiga, pelajar memilih antara dua laluan — Pengajian Islam (Syariah, Teologi, Pengajian Al-Quran, Fatwa dan Antara Agama) atau Sains Kemasyarakatan (Psikologi, Kaunseling, Kerja Sosial)."

"Pelajar turut berpeluang menjalani program penghayatan luar negara di institusi seperti Dar al-Ifta (Mesir), Universiti Al-Qarawiyyin (Maghribi) dan Universiti Jordan," tambah beliau.

Mengulas lebih lanjut tentang program yang ditawarkan itu, Pengarah Kanan di MUIS, Ustazah Farah Aljunied berkata bahawa para penuntut akan mempelajari Pengajian Islam klasik pada dua tahun pertama pengajian.
Related article image
Ustazah Farah Aljunied berkongsi perincian kurikulum SCIS. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Mereka akan mengikuti program-program yang akan memastikan pemahaman agama mereka mantap. Pada waktu yang sama, sekiranya mereka ikuti jalur sains kemasyarakatan, mereka juga akan ada tutorial supaya mereka dapat memahami pembelajaran sains kemasyarakatan itu dari sudut pandangan agama, bagaimana agama mungkin memberikan satu pandangan ataupun satu kefahaman yang akan menguatkan lagi kefahaman mereka ataupun amalan mereka dalam Sains Kemasyarakatan," jelas beliau.

Berkenaan program penghayatan yang boleh dilalui para penuntut SCIS, Ustazah Farah berkata: "Program penghayatan yang akan pelajar ikuti kemungkinan sepanjang satu semester, sedang dilakar, demi memberi pelajar peluang mendalami dan berinteraksi dengan komuniti Islam di institusi-institusi kerabat, agar pelajar juga dapat mengasah kemahiran bertutur dengan penutur asli dalam Bahasa Arab."

Ustazah Farah juga mengulas tentang keunikan program SCIS yang memberi peluang kepada para penuntut berinteraksi secara dekat bersama cendekiawan luar negara.

"Mereka boleh adakan bengkel, kursus halaqah-halaqah yang intim, di mana mereka dapat berinteraksi dengan lebih dekat dengan pelajar. Dan pelajar tidak hanya mengikuti ceramah, tetapi dapat berbincang, bersoal jawab dengan cendekiawan ini dengan lebih intim. Ini akan menguatkan lagi pembelajaran mereka dan memberikan mereka akses langsung kepada cendekiawan ini," ujar Ustazah Farah.

Para mahasiswa tahun keempat pula akan dikehendaki melakukan projek tahun akhir.

Dalam ucapannya juga, Dr Faishal juga menerangkan bahawa para siswazah SCIS akan meraih Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS) Peringkat 1 selepas tamat pengajian.

"Ini bermakna bahawa para siswazah SCIS akan diiktiraf sebagai asatizah bertauliah, tanpa perlu menjalani program Sijil Pos Siswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS), kerana kurikulum SCIS sudah disesuaikan mengikut konteks Singapura," ujar Dr Faishal dalam ucapannya.

SESI PENDAMPINGAN DENGAN 70 PELAJAR MADRASAH PRA-U

Di samping acara pendampingan itu, Ustazah Farah berharap agar para pelajar mendapat gambaran lebih luas dan jelas untuk membuat keputusan mengikuti program SCIS.

Ustazah Farah berkongsi bahawa para pelajar menyuarakan keprihatinan yang wajar dan bernas semasa sesi pendampingan itu.

"Ada juga yang bertanya siapakah yang akan menjadi fakulti yang akan mengajar di Kolej dan juga mutu pembelajaran, mengapa penting ada Kolej Islam di Singapura? Kami rasakan keprihatinan ini semua adalah kerana Kolej Islam memang satu program yang baharu, yang tentu sekali mereka merasa ini adalah satu keputusan yang paling penting untuk mereka ambil sebagai pelajar," luah Ustazah Farah.

Pelajar Pra-U 1 Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ahmad Afeef Danisy Mohammad Suhaimi berkongsi: "Pada saya yang paling menarik tentang SCIS ialah pendekatan silang disiplin dan pembelajaran gunaan. SCIS bukan hanya fokus kepada teori agama, tetapi juga dalam mengajar pelajar untuk memahami isu-isu masyarakat secara menyeluruh dan holistik."
Related article image
Pelajar Prauniversiti 1 Madrasah Aljunied Al-Islamiah, Ahmad Afeef Danisy Mohammad Suhaimi. (Gambar: BERITA Mediacorp/Roslinda Rahmat)
"Sebagai contoh, pelajar bukan hanya akan mempelajari ilmu syariah atau bahasa Arab tetapi juga akan mempelajari bagaimana ilmu tersebut dapat diaplikasikan di dalam konteks masyarakat yang moden. Dan saya rasa perkara ini sangat penting di dalam masyarakat kini kerana ia dapat melahirkan individu-individu yang bukan sahaja mahir dalam sudut agama tetapi juga relevan dalam menyumbang kepada masyarakat kini," ujar Afeef yang mulanya ingin tahu bagaimana SCIS dapat menggabungkan di antara ilmu agama dengan akademik.

Pelajar Pra-u 1 Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah, Muhammad Uzair Hasan pula mengalu-alukan program penghayatan yang bakal ditawarkan.

"Pada pendapat saya, program penghayatan ini suatu perkara yang baik terhadap pelajar-pelajar yang minat mempelajari ilmu dari negeri-negeri lain seperti Mesir dan sebagainya. Dan pendedahan tersebut dapat memberikan mereka pengalaman dan pengajaran baharu, serta dapat berinteraksi dengan para ilmuwan seperti syeikh-syeikh dan Mufti," luah Uzair.

ASAS KUKUH KONTEKS SG, DENGAN PENDEDAHAN ANTARABANGSA YANG BERMAKNA

Dalam ucapan pembukaannya, Dr Faishal turut menyusuri sejarah bagaimana SCIS telah lama menjadi aspirasi masyarakat Islam tempatan dan tertubuh berkat usaha bersama masyarakat.

Beliau berkata bahawa para asatizah, golongan ibu bapa dan para pemimpin masyarakat telah mengharapkan satu laluan untuk pengajian Islam diteruskan ke peringkat lebih tinggi, dan dibentuk mengikut konteks Singapura.

"Para ulama terdahulu seperti Shaykh Maqsud Faris al-Azhari dan Ustaz Pasuni Maulan telah lama memperjuangkan penubuhan sebuah institusi pengajian Islam peringkat tinggi yang boleh kita banggakan seperti apa yang kita mahu lakarkan. Ini adalah sebagai usaha kita sendiri," ujar beliau.
Related article image
Ustaz Pasuni Maulan menyampaikan ucapan semasa Majlis Penghargaan & Pelantikan Lembaga Pengiktirafan Asatizah 2025. (Gambar: MUIS)
Dr Faishal menambah: "Cita-cita ini (SCIS) tidak bermula hari ini, dan ia bukan milik seorang individu atau satu generasi. Encik George Yeo telah menyokong idea sebuah Kolej Islam tempatan sejak awal 1990-an lagi. Pada 2016, mantan Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam Dr Yaacob Ibrahim telah membawa cita-cita ini ke agenda negara. Menteri Masagos Zulkifli kemudian meneruskan usaha ini dengan mewujudkan struktur dan kerjasama SCIS dengan institusi tempatan dan antarabangsa," jelas Dr Faishal.
Related article image
Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, yang kini merupakan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (dua dari kanan) beramah mesra dengan para graduan di Majlis Tamat Kursus bagi Sijil Possiswazah Islam dalam Masyarakat Kontemporari (PCICS) 2023. (Gambar: MUIS)
Related article image
Mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim (dua dari kanan) berinteraksi dengan para pelajar di Majlis Anugerah Pelajar Madrasah 2017. (Gambar: MUIS)
Beliau menambah lagi bahawa SCIS dibangunkan untuk memberikan para pelajar asas yang kukuh dalam ilmu Islam selain membangunkan kemahiran praktikal dalam pelbagai bidang lain termasuk pemahaman sosial dan penglibatan masyarakat.

MUIS akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai yuran, sokongan kewangan dan kriteria kemasukan SCIS sebelum pendaftaran dibuka pada 2027.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita