Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Modul pembelajaran harus mudah diakses dan dimampui golongan dewasa, kata Chan Chun Sing

Daripada kembali ke bilik darjah tradisional, institusi-institusi pengajian tinggi sebaliknya harus memberi tumpuan kepada usaha menjadikan modul pendidikan lebih mudah diakses dan dimampui, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Anggaran Waktu Membaca:
Modul pembelajaran harus mudah diakses dan dimampui golongan dewasa, kata Chan Chun Sing

Para pelajar duduk di kawasan terbuka di NUS. (Gambar fail: Darius Boey)

Diterbitkan : 13 Feb 2025 12:23PM Dikemas Kini : 13 Feb 2025 12:33PM
SINGAPURA: Daripada kembali ke bilik darjah tradisional, institusi-institusi pengajian tinggi sebaliknya harus memberi tumpuan kepada usaha menjadikan modul pendidikan lebih mudah diakses dan dimampui, kata Menteri Pendidikan Chan Chun Sing.

Pemerintah mempunyai "banyak perkara" yang ingin dilakukannya untuk pendidikan dan latihan berterusan, kata Encik Chan, dalam temu bual bersama CNA bagi mengimbas kembali dasar-dasar pendidikan di bawah pemerintah sekarang.

"Tiada siapa yang akan kembali ke sekolah. Tetapi bagaimana kita boleh menjadikan modul kita lebih mudah dihadam, boleh diakses tanpa kembali ke bilik darjah. Mereka hanya perlu mengadakan perbincangan, kerja secara berkumpulan," katanya.

Institusi-institusi mesti mencabar diri mereka untuk memikirkan semula pendekatan masing-masing dari segi menyampaikan kandungan pendidikan supaya lebih ramai orang boleh meningkatkan kemahiran tanpa perlu berada di sekolah, tambah Encik Chan.

Selain menggalakkan rakyat Singapura untuk mendakapi pembelajaran sepanjang hayat menjangkaui nilai ekonomi, industri-industri juga perlu menyesuaikan diri.

Syarikat-syarikat "tidak boleh terus mencari pekerja", kata Encik Chan.

Beliau berkongsi contoh majikan yang pada mulanya takut pekerja yang lebih mahir akan diburu oleh syarikat lain tetapi kemudian menyedari bahawa risiko sebenar adalah mempunyai pekerja yang tidak menjadi 'buruan' sama sekali.

"Kita perlu mengembangkan kakitangan kita dan kita perlu melatih tenaga kerja kita sendiri. Jangan takut untuk melatih mereka."

Pemerintah juga sedang berusaha untuk mengembangkan penyelidikan pada pedagogi dewasa - cara orang dewasa belajar dengan baik.

Walaupun institusi-institusi seperti Institut Pendidikan Nasional (NIE) dan Institut Nasional Pembangunan Awal Kanak-Kanak (NIEC) mengkaji bagaimana kanak-kanak sekolah dan pelajar muda berkembang, dan Encik Chan berharap Institut Pembelajaran Dewasa, dengan kerjasama Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), akan menerajui penyelidikan pendidikan dewasa.

Kemajuan teknologi, seperti program yang dipacu kecerdasan buatan (AI), juga membentuk semula landskap. AI kini boleh menjana pelan latihan yang diperibadikan dalam masa 45 minit sahaja.

Di sebalik usaha Kementerian Pendidikan (MOE) untuk menawarkan lebih banyak penyesuaian kepada pelajar di sekolah, mengkhususkan pendidikan untuk orang dewasa kekal sebagai cabaran yang lebih besar, kata Encik Chan. Beliau menggesa universiti-universiti untuk memainkan peranan yang lebih aktif, dengan menarik perhatian bahawa mereka mempunyai "banyak maklumat" yang boleh dimanfaatkan.

"Saya mahu mereka tahu bahawa anda adalah kumpulan yang mempunyai keistimewaan. Anda adalah kumpulan yang lebih berkebolehan, dan penting untuk anda menyumbang," kata Menteri Pendidikan itu.

Beliau telah meminta institut-institut pengajian tinggi untuk memantau jumlah pelajar yang kembali untuk melanjutkan pelajaran selepas tamat pengajian.

Ini adalah "ujian asas" sebenar sama ada modul institut itu relevan, katanya.

"Jika orang dewasa dalam kehidupan bekerja mereka mengatakan bahawa saya bersedia untuk menghabiskan sumber kewangan, meluangkan masa untuk kembali belajar sesuatu daripada anda, ia mesti mengatakan sesuatu tentang jenis kursus yang anda lakukan."
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan