Modul kebersihan tandas awam dirintis bagi murid sekolah rendah dalam Kempen Tandas Awam Bersih 2023
Pekerja pembersihan membersihkan sebuah tandas di Pusat Penjaja One Punggol. (Gambar: CNA)
Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kemampanan dan Sekitaran Baey Yam Keng melancarkan kempen tersebut bersama Majlis Kebersihan Awam (PHC), Persatuan Bilik Air Singapura (RAS), Gerakan Baik Budi Singapura (SKM) di Pusat Penjaja One Punggol.
Satu kajian oleh Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang dikeluarkan pada 8 Nov mendapati bahawa tandas di kedai kopi sama kotornya seperti keadaan tiga tahun lalu, manakala standard kebersihan awam di pusat penjaja telah menyaksikan beberapa peningkatan.
Tinjauan SMU itu melibatkan lebih 1,000 tandas di kedai kopi dan pusat penjaja, dan mendapatkan pandangan 9,411 orang.
KEMPEN 2023
Bagi melancarkan kempen tersebut, Encik Baey telah bertemu pemilik gerai serta orang awam untuk berkongsi tentang peri pentingnya tandas yang bersih, di samping menampal poster di dinding pusat penjaja.
Tema Kempen Tandas Awam Bersih tahun ini ialah "Adakah anda berkelakuan baik apabila tiada orang di sekeliling? Lakukan dengan betul untuk semua orang" (“Are you nice when no one’s around? Do it right for everyone”).
NEA akan melibatkan lebih 2,000 premis, termasuk kedai kopi, pusat penjaja, taman, stesen minyak dan prasarana sukan, untuk menguar-uarkan mesej kempen tersebut.
Bercakap kepada Encik Baey berkata kempen itu ingin menggalakkan orang ramai melakukan perkara yang betul walaupun tidak dilihat orang lain.
PENDIDIKAN 'PENTING'
PHC, yang sudah menyokong kempen tersebut sejak 2021, akan merintis sebuah modul kebersihan tandas sebagai sebahagian daripada Bengkel 'Buddy Clean' bagi murid sekolah rendah.
Menurut NEA, program tersebut bertujuan untuk memupuk nilai dan norma sosial yang positif mengenai kebersihan dalam kalangan murid Darjah 3 dan 4.
"Menerusi modul (kebersihan tandas) itu, murid akan belajar kemahiran praktikal dan pengetahuan mengenai bagaimana untuk menjaga kebersihan ruang awam, termasuk tandas awam," jelasnya.
Pengerusi PHC Andrew Khng memberitahu Mediacorp bahawa meskipun butirannya belum lagi ditetapkan, modul tersebut akan melibatkan pelajar membersihkan tandas sekolah, dan dijangka diperkenalkan awal tahun depan.
Sementara itu, RAS memberi kemas kini Kempen LOO (Let's Observe Ourselves) di Pusat Penjaja, yang diperkenalkan pada 2021 dengan tujuan untuk meningkatkan tahap kebersihan di tandas pusat penjaja.
Presiden RAS Ho Chee Kit menarik perhatian bahawa persatuan tersebut telah mendapatkan penyertaan 80 pusat penjaja dan mengedarkan paket tisu pendidikan kepada lebih 25,000 orang serta mendapat lebih 1,200 ikrar secara online untuk memastikan tandas di pusat penjaja bersih.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.