Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Moderna tubuhkan anak syarikat di S'pura bagi sokong pelaksanaan vaksinasi mRNA

Syarikat pembuat vaksin, Moderna, pada Selasa (15 Feb) mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah anak syarikat yang baru di Singapura serta tiga lagi di Malaysia, Taiwan dan Hong Kong.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Feb 2022 12:22PM Dikemas Kini : 16 Feb 2022 11:09PM

SINGAPURA: Syarikat pembuat vaksin, Moderna, pada Selasa (15 Feb) mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah anak syarikat yang baru di Singapura serta tiga lagi di Malaysia, Taiwan dan Hong Kong.

Anak syarikat baru itu akan mengukuhkan kehadirannya di Singapura bagi menyokong pelaksanaan vaksinasi menggunakan vaksin jenis mRNA dan ubat-ubatan serta rawatannya di sini, menurut Moderna dalam satu kenyataan media.

Moderna menyatakan ia sedang "secara aktif membentuk sebuah pasukan untuk mengukuhkan kehadiran dalam pasaran sedang rancangan ubat-ubatan dan rawatan mRNA syarikat itu berkembang untuk memberi manfaat kepada Singapura dan rantau lebih meluas".

"Rancangan syarikat ini untuk membangunkan sebuah anak syarikat tempatan menggambarkan peranan strategik Singapura sebagai sebuah hab sains bioperubatan yang terkemuka,"terang Moderna.

Ia menambah Singapura menawarkan jumlah tinggi pekerja yang berkemahiran, sokongan pemerintah bagi sektor itu dan sekitaran pengawalseliaan yang mesra perniagaan.

CEO Moderna Stéphane Bancel berkata beliau "berbesar hati" untuk mengumumkan pengembangan syarikat itu ke Singapura sambil merujuk kepada negara ini sebagai "pusat bioteknologi Asia".

"Seperti Moderna, industri biofarmaseutikal Singapura menyaksikan tempoh pertumbuhan yang menakjubkan. Kami teruja untuk menjadikan Moderna sebahagian daripada perjalanan itu dan akan terus memanfaatkan wadah mRNA kami untuk membantu menghuraikan cabaran-canaram kesihatan di seluruh rantau Asia-Pasifik," tambah beliau.

ASIA-PASIFIK BAHAGIAN 'PENTING' PERNIAGAAN MODERNA

Rantau Asia-Pasifik membentuk bahagian penting dalam perniagaan Moderna, yang juga mempunyai pejabat-pejabat di Jepun, Korea Selatan dan Australia, menurut syarikat itu dalam kenyataan media.

Encik Bancel berkata: "2021 merupakan tahun yang membawa kesan kepada Moderna dan saya berbangga melihat pertumbuhan berterusan pada 2022 sedang kami meningkatkan kehadiran kami di Asia."

"Dengan tambahan empat anak syarikat di Asia, kami menantikan peluang-peluang baru untuk memanfaatkan wadah mRNA kami bagi membantu menyelesaikan cabaran kesihatan, termasuk yang membawa beban penyakit yang tinggi di rantau Asia-Pasifik," katanya.

Portfolio Moderna dalam vaksin dan pelbagai penyakit memberi "peluang yang tiada tandingannya" untuk menggunakan teknologi mRNA di Asia, menurut syarikat itu.

Syarikat bioteknologi itu buat masa ini mempunyai kehadiran di 12 pasaran di seluruh dunia.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan