Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Model kewujudan bersama budaya dan agama Maghribi patut dipelajari: Masagos

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli berharap Singapura dapat mempelajari model kewujudan bersama budaya dan agama Maghribi serta bagaimana ia boleh menjadi sebahagian daripada pengetahuan agama yang dikongsi masyarakat Islam lain di seluruh dunia. 

Beliau berkata demikian dalam satu catatan Facebook pada Jumaat (4 Nov) selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Wakaf dan Ehwal Agama Maghribi, Ahmed Toufiq. 

"Saya berkongsi dengan beliau tentang usaha Singapura untuk membangunkan gedung-gedung ilmu agama bagi membimbing masyarakat Islam mengemudi isu-isu kontemporari dengan yakin dalam masyarakat berbilang agama dan sekular menyusuli Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) baru-baru ini," kata Encik Masagos.

Beliau mengetuai delegasi Singapura ke Maghribi sejak 28 Oktober lalu untuk bertemu para menteri, pegawai kanan dan ulama Islam dari negara itu.

Semasa lawatannya itu, Encik Masagos turut berkongsi bahawa usaha penyejagatan merupakan satu-satunya cara untuk kekal relevan di dunia pada masa sekarang. 

Beliau memberikan contoh tentang para pelajar Singapura di merata dunia, yang antara lain sedang menuntut ilmu di luar negara atau menghadiri program pertukaran masing-masing. 

"Lulusan madrasah kita merupakan sebahagian daripada masyarakat Singapura di luar negara ini, termasuk beberapa pelajar di Fez," tambah Encik Masagos dalam catatannya. 

Dalam lawatannya itu, Encik Masagos turut bertemu dengan lima mahasiswa Singapura yang menuntut di Universiti Al-Qarawiyyin dan Universiti Sidi Mohamed Ben Abdellah di Fez.

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Menurut beliau, para pelajar seperti mereka memainkan peranan penting sebagai bakal asatizah dan pemimpin masyarakat Islam Singapura.

Encik Masagos berkata: "Saya bangga kerana pelajar madrasah kita melebarkan sayap mereka dan berfikiran global sambil mendalami ilmu Islam. Saya berharap apabila mereka tamat pengajian dan pulang ke Singapura kelak, mereka akan membawa bersama mereka pemikiran terbuka yang bersauh kepada tradisi, kerana mereka belajar daripada ulama Islam yang dihormati seperti Prof Sheikh Driss Fassi Fihri, Naib Presiden Universiti Al-Qarawiyyin, yang sempat saya temui."

Dalam catatannya, Encik Masagos mengatakan bahawa lawatannya ke Maghribi memberinya peluang untuk memikirkan bagaimana masyarakat Singapura boleh terus berkongsi kepakaran dan ilmu. 

Selepas lawatannya ke Maghribi, Encik Masagos bersama delegasi dari Singapura akan mengadakan lawatan ke Turki. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan