Skip to main content

Singapura

Model jagaan warga emas baharu di Tampines bantu warga emas kekal aktif dan terhubung

Anggaran Waktu Membaca:
Model jagaan warga emas baharu di Tampines bantu warga emas kekal aktif dan terhubung

Kemudahan baharu St Andrew’s Mission Hospital (SAMH) dilengkapi ruang yang direka khas serta mesra demensia bagi menyokong penuaan sihat. (Gambar: Petikan skrin CNA)

Diterbitkan : 12 Sep 2026 07:47AM Dikemas Kini : 12 Sep 2026 10:10AM
  • St Andrew’s Mission Hospital memperkenalkan model penjagaan warga emas baharu di Tampines North, menggabungkan rumah jagaan, pusat harian dan sokongan masyarakat.
  • Kemudahan ini direka mesra demensia, terbuka tanpa pagar, serta menyediakan pelbagai aktiviti untuk penghuni kekal aktif dan berhubung dengan masyarakat.
  • Interaksi dengan kanak-kanak prasekolah tempatan membantu penghuni menyesuaikan diri dan mengurangkan rasa kesunyian.
  • SAMH merancang menambah empat lagi rumah jagaan dalam lima tahun, meningkatkan kapasiti kepada 3,500 katil untuk memenuhi keperluan warga emas Singapura.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Model baharu penjagaan warga emas di Tampines North menggabungkan rumah jagaan, pusat jagaan harian dan sokongan masyarakat di bawah satu bumbung, dengan tumpuan untuk membantu warga emas kekal aktif dan berhubung dengan masyarakat.

Kemudahan baharu St Andrew’s Mission Hospital (SAMH) itu dilengkapi ruang yang direka khas serta mesra demensia bagi menyokong penuaan yang sihat. Model ini dijangka menjadi penanda aras bagi pembangunan kemudahan pada masa hadapan.

Pusat berkenaan mampu menampung lebih 270 penghuni rumah jagaan dan sehingga 60 pengguna perkhidmatan jagaan harian setiap hari.

Bagi penghuni rumah jagaan berusia 91 tahun, Cik Sae-Yah Abdul Rahim, pelbagai aktiviti yang disediakan membantunya kekal aktif dan terlibat dalam kehidupan seharian.

Namun, kehadiran kanak-kanak merupakan antara perkara yang paling menggembirakannya.

Kanak-kanak dari prasekolah PCF Sparkletots yang berhampiran kerap mengunjungi para penghuni dan menyertai pelbagai permainan dan aktiviti, sekali gus membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan di situ serta mengurangkan rasa kesunyian.

"Saya gembira bersama kanak-kanak. Saya pernah menjaga anak-anak kecil dan saya juga mempunyai cucu. Sebab itu saya lebih suka berada bersama kanak-kanak. Saya sayang mereka," kata Cik Sae-Yah.

Hubungan dengan masyarakat seperti itu turut diterapkan dalam reka bentuk kemudahan tersebut.

Ia merupakan kemudahan penjagaan bersepadu pertama SAMH yang tidak mempunyai pagar di sekeliling, dan direka agar lebih terbuka serta mudah diakses orang ramai.

"Rumah jagaan tradisional selalunya tidak menyerupai rumah dan ada kalanya terletak di kawasan yang lebih terpencil. Di sini, kami menyediakan ruang yang mudah diakses, mesra pengunjung, bebas halangan dan berkonsep terbuka, betul-betul di tengah-tengah kawasan perumahan HDB. Oleh itu, kemudahan ini dapat disepadukan dengan lancar dengan kemudahan lain di sekitarnya," kata Dr Daniel Lee, Ketua Pegawai Eksekutif Kelompok, di St Andrew's Nursing Home.

Hampir separuh daripada penghuni di sini hidup dengan demensia.

Justeru, ini juga merupakan rumah jagaan St Andrew's pertama yang dilengkapi taman khusus mesra pesakit demensia di bumbung, dengan ciri yang dekat dengan kehidupan harian seperti hentian bas retro untuk memberi rasa selesa kepada penghuni.

Dengan penduduk Singapura yang semakin menua, Menteri Negara yang juga Datuk Bandar Daerah Timur Laut Baey Yam Keng, berkata bandar matang seperti Tampines perlu terus berkembang mengikut keperluan penduduknya.

"Penjagaan tidak boleh disediakan oleh sebuah pertubuhan sahaja. Ia memerlukan rangkaian yang saling berkaitan melibatkan keluarga, penyedia khidmat penjagaan, agensi awam, sukarelawan, sekolah dan kumpulan masyarakat. Melalui kerjasama ini, penjagaan profesional dapat digabungkan dengan hubungan sosial dan peluang yang membantu warga emas terus aktif, berhubung dengan masyarakat dan dihargai."

Model yang diterapkan di situ akan menjadi rujukan bagi pembangunan kemudahan SAMH yang akan datang.

Kumpulan itu menyifatkannya sebagai satu "pelan tindakan hidup", dengan empat lagi rumah jagaan warga emas dirancang dalam tempoh lima tahun akan datang.

Apabila siap kelak, kapasiti keseluruhannya dijangka meningkat daripada kira-kira 2,000 katil kepada 3,500 katil.
Sumber : CNA/KH/ll
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita