Skip to main content

Singapura

Model jagaan pesakit di hospital awam diperkemas; pesakit hanya perlu jumpa satu 'doktor utama'

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Sep 2025 06:49PM Dikemas Kini : 02 Oct 2025 03:10PM

SINGAPURA: Daripada perlu berjumpa beberapa pakar perubatan, para pesakit di hospital awam yang mengalami beberapa kondisi kesihatan tidak lama lagi hanya perlu berurusan dengan seorang doktor yang akan menyelia sebuah pasukan yang diperkemas untuk menjaga pesakit itu.

Mengumumkan butiran lanjut tentang cara hospital akan menyusun pasukan mereka pada Sabtu (20 Sep), Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata doktor itu - yang dikenali sebagai doktor utama - perlu mempunyai kecekapan dan pengalaman yang luas untuk menyelaras dan menyepadukan penjagaan merentas pakar.

Ramai doktor pakar berpengalaman yang pernah merawat pesakit yang mengalami pelbagai kondisi kesihatan dan di luar bidang kepakaran mereka boleh menjadi doktor utama, katanya.

"Itu, walau bagaimanapun, tidak mencukupi. Kini, kita perlu melatih klinisian untuk memperoleh kecekapan merangkumi pelbagai bidang, sebagai laluan kerjaya yang berbeza daripada menjadi seorang pakar," kata Encik Ong.

Perubahan itu diumumkan secara ringkas pada awal tahun ini.

Kementerian Kesihatan (MOH) menyatakan pada Mac lalu bahawa walaupun hospital-hospital awam sudah pun mempunyai pakar yang boleh menguruskan sistem organ tertentu, para doktor semakin perlu memimpin pasukan dalam menyelaras dan mengurus isu silang kepakaran bagi menyatukan keperluan jagaan pesakit.

Menjelang 2026, satu daripada lima warga Singapura akan berusia 65 tahun dan ke atas, dan Singapura akan menjadi sebuah masyarakat "yang sangat tua", dengan jangkaan mempunyai lebih ramai pesakit warga emas yang menghidap pelbagai kondisi kesihatan, menurut MOH pada Sabtu.

APAKAH PERBEZAAN SKIM BAHARU DENGAN YANG LAMA?

Sebelum ini, jika pesakit itu mengalami pelbagai kondisi kesihatan yang menjejas beberapa bahagian tubuh, mereka perlu berjumpa dengan beberapa pakar, yang masing-masing akan memimpin pasukan sendiri.

Sebagai contoh, seorang pesakit warga emas mungkin dimasukkan ke hospital dengan kecederaan kepala selepas terjatuh, yang disebabkan oleh pening kepala.

Pesakit itu mungkin akan berjumpa dengan seorang doktor pakar otak atau pakar bedah saraf untuk periksa jika terdapat darah beku dalam otak, seorang pakar paru-paru untuk periksa jika mereka mengalami radang paru-paru (pneumonia) atau cecair dalam paru-paru yang mungkin menyebabkan mereka terjatuh, serta seorang pakar buah pinggang kerana mereka mengalami kegagalan buah pinggang yang kronik.

Dengan tiga kumpulan pakar berurusan dengan pesakit yang sama, mereka mungkin mengulangi sejarah kesihatan yang sama, atau melakukan pemeriksaan atau ujian darah yang sama bagi memahami kondisi pesakit, menurut MOH.

"Setiap pakar cenderung memberi tumpuan terhadap bidang kepakaran masing-masing. Bagi pesakit dan keluarga mereka, ini mungkin bermakna mereka perlu berurusan dengan beberapa pakar, menjelaskan simptom yang dialami beberapa kali, diberikan banyak pelan rawatan dan ubat, dan cuba memahami semuanya," kata Encik Ong pada Sabtu.

"Selepas dibenarkan pulang, pesakit itu mungkin mempunyai beberapa lawatan klinik susulan. Kadangkala, pesakit itu perlu tunggu selama beberapa jam untuk berjumpa dengan doktor pakar, namun sesi itu hanya mengambil masa beberapa minit sahaja jika keadaannya stabil. Dan pengalaman ini dialami berulang kali di beberapa klinik."

Dengan adanya pasukan jagaan yang diperkemas dan bersatu, para pesakit hanya perlu berjumpa dengan seorang doktor utama, kata Kementerian Kesihatan.

Doktor utama itu mungkin seorang pakar yang memiliki kecekapan merangkumi pelbagai bidang atau seorang klinisian hospital yang dilatih dengan kecekapan pelbagai bidang sewajarnya.

Di bawah struktur itu, pesakit warga emas tersebut yang dimasukkan ke hospital selepas terjatuh akibat rasa pening kepala hanya perlu berjumpa dengan doktor utama, yang akan menentukan rawatannya.

MUTU JAGAAN PESAKIT TIDAK TERJEJAS

Perubahan itu dilaksanakan secara berperingkat dalam disiplin terpilih di semua hospital awam sejak awal tahun ini, kata Encik Ong pada Sabtu.

Ia diperkenalkan dalam empat disiplin - Perubatan Umum, Pembedahan Umum, Pembedahan Ortopedik dan Perubatan Pediatrik.

Empat bidang kepakaran itu merangkumi lebih daripada separuh jumlah doktor pakar dalam institusi jagaan kesihatan awam di seluruh Singapura, menurut MOH.

Apabila ditanya mengenai pesakit yang mungkin prihatin tentang jumlah kes yang perlu diuruskan oleh para doktor, MOH menekankan ia bergantung kepada keperluan pesakit.

Jika pesakit di bawah jagaan doktor itu mempunyai keperluan jagaan yang lebih rendah, mereka boleh mengambil lebih banyak kes, manakala doktor yang mempunyai pesakit dengan keperluan jagaan lebih tinggi, mereka boleh mengambil jumlah kes yang lebih rendah kerana pesakit mereka lebih rumit untuk diuruskan.

Kebiasaannya, setiap doktor selalunya mengambil lapan hingga 12 pesakit, namun jumlah itu mungkin mencecah sehingga 20 pesakit bergantung kepada keperluannya, menurut MOH.

"Mutu jagaan pesakit tidak akan terjejas," tegas MOH.

Situasi itu juga mungkin berubah bergantung kepada bagaimana keadaan pesakit itu berubah.

Dalam sesetengah kes, doktor utama itu mungkin dapat menguruskan jagaan pesakit dengan input pakar, menurut MOH.

Struktur itu juga dapat menghalang daripada berlaku pengkhususan secara berlebihan, menurut MOH.

Sebagai contoh, seorang pakar bedah ortopedik sepatutnya melakukan semua tugas klinik berkaitan ortopedik, tetapi sesetengah pakar bedah mungkin mula hanya memberi tumpuan kepada pembedahan tulang belakang, dan tidak menimbangkan keadaan ortopedik yang lain.

Kementerian Kesihatan juga mengumumkan pelan untuk meningkatkan kemajuan para klinisian di hospital, yang merupakan pegawai perubatan yang memiliki kecekapan merangkumi pelbagai bidang.

Skim Klinisian Hospital - bertujuan memupuk doktor perubatan yang dapat menyokong para doktor pakar - pertama kali diperkenalkan pada 2020, dan kini terdapat kira-kira 150 doktor di bawah program itu.

Buat masa ini, daripada 12,000 doktor dalam sistem jagaan kesihatan awam, kira-kira 5,000 adalah doktor pakar, menurut MOH.

Dengan pengenalan skim Klinisian Hospital, terdapat tiga laluan kerjaya utama bagi para doktor dalam jagaan kesihatan awam - doktor keluarga dan pakar perubatan keluarga, yang mengendalikan penjagaan utama dan berasaskan masyarakat serta klinisian dan doktor pakar yang berpangkalan di hospital.

MOH akan memperkenalkan gred apex baharu bagi klinisian yang memikul tanggungjawab kepimpinan profesional yang ketara, serupa dengan pakar dan Pakar Perunding Perubatan Keluarga, menurut MOH sambil menambah ia sedang menyemak gaji para doktor perubatan di bawah skim Klinisian Hospital.

Sumber : CNA/HZ/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita