Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Model Gaji Progresif sah dilaksanakan dalam sektor penyenggaraan lif pada 2022

Menjelang 2022, Model Gaji Progresif (PWM) akan diwajibkan dalam sektor penyenggaraan lif dan mungkin juga, sektor penyenggaraan tangga bergerak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjelang 2022, Model Gaji Progresif (PWM) akan diwajibkan dalam sektor penyenggaraan lif dan mungkin juga, sektor penyenggaraan tangga bergerak.

Ini bermakna, laluan kerjaya para pekerja dalam dua sektor itu akan menjadi lebih jelas. Gaji mereka pula boleh 'naik' mengikut peringkat kemahiran masing-masing.

Demikian dedah Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad semasa berkongsi lebih lanjut agenda kementeriannya bagi penggal baru Pemerintah.

PWM kini sudahpun diwajibkan dalam tiga sektor - pembersihan, keselamatan dan landskap - dengan sekitar 80,000 pekerja meraih manfaat daripada model tersebut. Memastikan gaji pekerja dalam sektor-sektor tertentu tidak tersekat oleh COVID-19, antara tumpuan utama Kementerian Tenaga Manusia kali ini.

KESAN PWM TERHADAP PEKERJA & MAJIKAN

Di bawah PWM, laluan kerjaya pekerja dilakarkan agar gaji pekerja naik seiring dengan keupayaan masing-masing. Misalnya, gaji minimum pembersih umum adalah S$1,120 tetapi ia boleh meningkat sehingga sekurang-kurangnya S$1,720 apabila pembersih umum tersebut dinaikkan pangkat menjadi seorang penyelia.

Dalam tempoh lima tahun lalu, gaji pekerja dalam tiga sektor PWM, naik lebih 30 peratus.

Perkembangan ini juga, kata Encik Zaqy, ingin dilihat sama dalam sektor penyenggaraan lif dan tangga bergerak.

Encik Zaqy membentangkan lebih lanjut agenda kementeriannya bagi penggal baru Pemerintah. 

Dua sektor ini dikenal pasti MOM sebagai segmen yang dihimpit pelbagai tekanan kos. Gaji pekerja sektor itu lazimnya tidak meningkat kerana pekerja dikerahkan dari sumber luar. Ini akhirnya menyebabkan ramai meninggalkan sektor berkenaan.

"Ada di antara pelajar-pelajar kita dari ITE dan politeknik yang memasuki sektor tersebut kerana ia adalah satu pekerjaan yang baik yang memerlukan kemahiran teknikal. Prospeknya juga baik," kata Encik Zaqy.

"Namun oleh kerana tekanan kos pada sektor itu, mereka tidak melihat kenaikan gaji. MOM ingin memberi sokongan kepada sektor tersebut sepertimana kita melihat gaji dalam sektor PWM naik sebanyak 30 peratus lima tahun yang lalu."

Gerakan buruh juga sedang dalam perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan untuk melaksanakan PWM bagi sektor pengurusan sisa.

PELUANG TERBUKA LUAS BAGI PMET

Mengulas tentang menaikkan gaji kelayakan minimum bagi Pas Pekerjaan dan Pas S yang berkuat kuasa seawal hari ini (1 Sep), Encik Zaqy berkata langkah itu sememangnya untuk membuka laluan kepada rakyat tempatan.

Bermula September, gaji kelayakan minimum bagi calon Pas Pekerjaan (EP) baru akan dinaikkan sebanyak S$600, kepada S$4,500. Ini merupakan kali kedua gaji minimum itu dinaikkan.

Gaji kelayakan bagi calon EP yang berusia 40-an tahun turut dinaikkan, iaitu seganda gaji kelayakan pemohon lebih muda.

Kelayakan gaji minimum pemegang pas S turut dinaikkan sebanyak S$100, berkuat kuasa 1 Oktober 2020.

"Kita mengetatkan lagi kriteria 'S Pass' dan EP supaya majikan dapat memberi pertimbangan kepada pekerja warga Singapura. Jika mereka memerlukan pekerja warga asing, mereka (perlu) mencari mereka yang lebih berkelayakan dan juga mahir supaya kita dapat memberi peluang bagi pekerja Singapura di sini.

Para pekerja kelihatan di Raffles Place semasa waktu makan tengah hari pada 2 Jun 2020. (Gambar: Jeremy Long)

"Kita tidak mengatakan kita tidak memerlukan warga asing. Kita cuma ingin mempunyai teras, atau 'Singapore Core' yang kukuh," tegas Encik Zaqy.

Insentif Pertumbuhan Pekerjaan (JGI) juga akan menyokong lebih baik usaha pengambilan pekerja tempatan, jelas beliau lagi.

"Pemerintah akan memberi subsidi ataupun membiayai gajinya sebanyak 25 peratus, sehingga S$5,000 sebulan, selama 12 bulan. Bagi pekerja lebih matang, Pemerintah akan membiayai 50 peratus gajinya selama 12 bulan. Jadi di sini kita berharap majikan memberi pertimbangan kepada rakyat Singapura oleh kerana Pemerintah memberi sokongan yang tinggi."

Encik Zaqy menambah, MOM akan terus menilai jika syarikat-syarikat menyokong pengambilan PMET tempatan, dan tidak akan teragak-agak meletakkan sesebuah syarikat ke bawah senarai pemerhatian Rangka Kerja Pertimbangan Adil, sekiranya ia kurang mempunyai pekerja Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan