Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Model Gaji Progresif diperluas ke sektor runcit; gaji pekerja dinaikkan mulai 1 Sep 2022

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Para pekerja runcit setempat dijangka akan menerima kenaikan gaji sepanjang tempoh beberapa tahun akan datang selepas saranan-saranan yang diusulkan bagi Model Gaji Progresif (PWM) untuk sektor runcit diumumkan pada Isnin (15 Ogos). 

Saranan-saranan yang diusulkan oleh Kelompok Tiga Pihak bagi Industri Runcit (TCR) - akan dilaksanakan mulai 1 September - termasuk menaikkan gaji permulaan kasar penolong jualan runcit, juruwang dan penolong penyelia runcit mengikut jumlah yang ditetapkan, sehingga 31 Ogos 2025. 

Sebagai contoh, penolong jualan runcit akan dibayar gaji sekurang-kurangnya S$1,850 sebulan, tidak termasuk kerja lebih masa, mulai 1 September. 

TCR menetapkan jumlah tersebut setelah berunding secara meluas dan menimbangkan gaji median sedia ada bagi pekerjaan-pekerjaan tersebut. 

Penolong jualan runcit juga akan mendapat kenaikan gaji minimum sebanyak S$125 mulai 1 September 2023; dan lagi S$200 mulai September 2024. 

Ia merupakan peningkatan lebih daripada 17 peratus, yang menjana kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 8.4 peratus. 

Sekitar 46,000 pekerja sepenuh masa dan pekerja sambilan bertugas dalam industri runcit dan daripada jumlah itu, kira-kira 19,000 pekerja bergaji rendah akan meraih manfaat. 

Bagi penyelia dan pengurus jualan runcit, gaji mereka secara amnya melebihi paras 20 peratus pendapatan terendah dan dengan itu harus diserahkan kepada kuasa pasaran, menurut TCR.

Peluasan PWM itu diumumkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa Rapat Umum Hari Kebangsaan pada tahun lalu. Ia adalah salah satu daripada beberapa langkah untuk meningkatkan gaji dan keadaan kerja bagi pekerja bergaji rendah, yang sudah dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Tempoh penyesuaian" selama enam bulan adalah untuk para majikan menyesuaikan diri dengan syarat-syarat dan peraturan-peraturan baru PWM, dari 1 September ini sehingga 28 Februari 2023. 

Oleh kerana terdapat sedikit turun naik yang disebabkan oleh faktor-faktor musiman dalam sektor runcit, gaji permulaan kasar akan dipuratakan sepanjang tempoh selama tiga bulan untuk memberi kelonggaran kepada para majikan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. 

Para majikan juga boleh menggabungkan komponen gaji berubah-ubah - seperti elaun, insentif prestasi atau komisen - untuk memenuhi gaji kasar yang ditetapkan, menurut TCR. 

Saranan-saranan lain yang dikemukakan oleh TCR termasuk kemajuan kerjaya yang lebih tersusun dan syarat-syarat minimum bagi latihan. 

Ia juga menyarankan agar para pekerja menjalani sekurang-kurangnya satu modul latihan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) bagi semua peranan kerja di bawah PWM. 

TCR turut menggariskan peranan kerja penyelia dan operasi barisan hadapan dalam sektor runcit untuk menawarkann laluan kemajuan kerjaya bagi pekerja-pekerja sedemikian. 

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) akan menguatkuasakan pelaksanaan syarat-syarat PWM Runcit menerusi kelayakan majikan untuk mendapatkan pas kerja. 

Para majikan dikehendaki menepati dan mematuhi syarat-syarat PWM Runcit yang ditetapkan dan mana-mana syarat lain PWM dan Gaji Kelayakan Pekerja Tempatan untuk memohon atau memperbaharui pas kerja, termasuk permit kerja, Pas S dan Pas Pekerjaan. 

Dari tahun ini sehingga 2026, Pemerintah akan membiayai bersama kenaikan gaji PWM di bawah Skim Kredit Gaji Progresif, yang diumumkan sewaktu Belanjawan 2022. 

Dengan tekanan inflasi yang ketara baru-baru ini, Pemerintah pada Jun menyatakan bahagian pembiayaan bersamanya bagi 2022 akan dinaikkan dari 50 peratus kepada 75 peratus bagi gaji pekerja penduduk tempatan dengan gaji kasar sehingga S$2,500 sebulan. 

Ia akan dinaikkan dari 30 peratus kepada 45 peratus bagi pekerja yang membawa pulang gaji kasar melebihi S$2,500 dan sehingga S$3,000 sebulan. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan