Skip to main content

Singapura

Model baru dikaji pastikan rumah di kawasan mewah dimampui, kata Lawrence Wong

Model baru perumahan sedang dikaji dengan projek HDB di kawasan-kawasan mewah seperti di Great Southern Waterfront, akan menjadi lebih dimampui.

Anggaran Waktu Membaca:
Model baru dikaji pastikan rumah di kawasan mewah dimampui, kata Lawrence Wong

Alex Yam, Lawrence Wong dan Rahayu Mahzam dalam rapat online PAP pada 2 Jul. (Petikan gambar video Facebook Parti Tindakan Rakyat)

Diterbitkan : 03 Jul 2020 09:16PM Dikemas Kini : 03 Jul 2020 09:21PM

SINGAPURA: Model baru perumahan sedang dikaji dengan projek HDB di kawasan-kawasan mewah seperti di Great Southern Waterfront, akan menjadi lebih dimampui.

Ini didedahkan Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong dalam rapat pilihan raya online Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Khamis (2 Jul).

Rapat bertajuk 'Straight Talk with PAP - Improving Housing For All' (Bicara Langsung bersama PAP - Mempertingkat Perumahan Untuk Semua) itu turut disertai calon PAP lain, iaitu Encik Alex Yam dan Cik Rahayu Mahzam.

Encik Wong, yang bakal bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee, berkata model itu dikaji kerana beliau akur harga rumah di beberapa kawasan tertentu, seperti di estet matang, terlalu tinggi bagi sesetengah pembeli kali pertama.

Pada sisi lain, para pembeli yang dimaksudkan juga ingin membeli rumah di kawasan-kawasan tersebut kerana ingin tinggal berdekatan ibu bapa mereka.

"Dan kami juga tidak ingin ada sebarang susun lapis (stratification) dalam masyarakat di mana-mana kawasan," terang Encik Wong lagi.

Model yang diteroka, antara lain, akan menetapkan syarat-syarat berbeza berbanding pembelian flat biasa HDB.

DASAR KERAP DIPINDA KERANA...

Hakikatnya, sebagaimana model baru sedang dikaji, dasar-dasar perumahan sering kali dipinda dan akan terus diubah berdasarkan keperluan.

"Itu komitmen PAP, sama ada sebagai seorang Anggota Parlimen atau dalam Pemerintah, kita komited untuk terus-menerus membuat kemas kini, mempertingkat dasar perumahan dan program perumahan kita, untuk menjadikannya lebih baik," ulas Encik Wong.

Perubahan-perubahan ini memang jelas, tambah Cik Rahayu yang akan bertanding di GRC Jurong.

"(Misalnya) Sebelum ini mereka yang bercerai perlu tunggu selama tiga tahun sebelum mereka mendapat flat bersubsidi. Ia memang sangat sukar (bagi mereka) dan jelas satu keterbatasan dasar perumahan awam. Mereka tidak pilih untuk berada dalam keadaan itu," kata beliau. 

Mengulas lebih lanjut, Cik Rahayu berkata semua perubahan memang "mengambil masa tetapi menunjukkan Pemerintah mendengar".

"Saya seorang peguam perceraian, jadi soal perumahan selepas perceraian agak rumit, terutama jika ada anak.

"Saya berharap untuk melakukan lebih banyak lagi kerana masyarakat kita berubah dan keperluan kita berubah. Jadi saya gembira melihat perubahan-perubahan ke arah ini. Saya berharap, dengan beredarnya masa, kita juga dapat terus mempertingkat dasar-dasar supaya yang paling utama, mereka akan mempunyai akses untuk mendapat rumah," kata Cik Rahayu lagi.

NISBAH HARGA RUMAH DENGAN PENDAPATAN BAWAH LIMA

Satu perkara lagi yang dibangkitkan adalah harga rumah yang terus dimampui di Singapura.

"Memang ibu bapa kita sering mengatakan, dahulu mereka membeli rumah pada harga S$30,000. Tapi harganya sekarang, tambah lagi satu sifar di belakangnya," seloroh Encik Wong.

"Tapi anda harus ingat, pendapatan kita juga terus meningkat. Anda harus pertimbangkan nisbah antara harga dengan pendapatan."

Nisbah di negara-negara lain, tambah beliau, boleh mencecah setinggi 10. Di Hong Kong pula, nisbahnya 20, jelas Encik Wong, yang juga Menteri Kedua Kewangan.

"Di Singapura, HDB komited kekalkan nisbah itu bawah 5. Lebih 80 peratus pembeli kali pertama mampu membeli rumah - sama ada flat baru atau jualan semula. Jumlah tunai yang dikeluarkan sedikit atau kosong sama sekali. Itu sesuatu yang tidak akan anda dapat di negara lain."

Ditanya pula jika HDB akan membuat sesuatu sekiranya pendapatan para pembeli sekarang terjejas oleh COVID-19, Encik Wong menjawab Pemerintah masih mengutamakan "kemampuan" para pembeli.

"Jadi kalau pendapatan mereka terjejas, kami akan menyesuaikan harga dan memastikan setiap pasangan muda yang ingin membeli flat baru, dapat melakukannya."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita