Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Model baharu bukan raih untung boleh sediakan lebih banyak pilihan bagi jagaan kesihatan swasta kos rendah

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Feb 2024 11:04PM Dikemas Kini : 06 Feb 2024 12:08AM
SINGAPURA: Model baharu bagi hospital akut swasta bukan meraih untung, yang diperkenalkan bulan lalu, boleh menyediakan lebih banyak pilihan untuk jagaan kesihatan swasta kos rendah bagi melengkapi jagaan kesihatan awam dengan lebih baik.

Encik Ong berkata demikian pada Isnin (5 Feb) semasa menjawab pertanyaan parlimen yang difailkan Anggota Parlimen Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) mengenai model akut swasta bukan meraih untung yang sedia ada di Singapura sebagai perbandingan dengan model-model yang dilaksanakan di negara-negara maju lain.

Di samping itu, Encik Tan mengajukan soalan sama ada kepelbagaian tambahan dalam model hospital akut akan saling melengkapi landskap penjagaan sedia ada negara ini.

Beliau turut bertanya mengenai faktor-faktor yang mungkin mengekang daya maju peserta dalam industri baharu di negara ini dan bagaimana ia dapat dibendung.

Kementerian Kesihatan (MOH) pada 8 Jan lalu menyatakan bahawa keperluan kapasiti katil hospital akut perlu dipertingkat dalam sektor jagaan kesihatan awam dan swasta di tengah-tengah permintaan yang kian meningkat bagi khidmat jagaan kesihatan disebabkan penduduk Singapura yang semakin menua.

"Model baharu bagi hospital akut swasta bukan meraih untung itu bertujuan untuk menyediakan lebih banyak pilihan bagi rakyat Singapura yang ingin mendapatkan jagaan di sektor jagaan kesihatan swasta tersebut," nyata MOH pada ketika itu.

Kementerian Kesihatan itu juga mempelawa para pengendali jagaan kesihatan swasta untuk mengambil bahagian dalam perundingan industri bagi model baharu tersebut, yang akan berlangsung sehingga April.

Di parlimen pada Isnin, Encik Ong menarik perhatian bahawa sistem jagaan kesihatan awam itu dilengkapi dengan sistem jagaan kesihatan swasta, di mana terdapat pelbagai hospital.

"Kebanyakannya agak mahal, dan anda perlu ... sama ada berkemampuan atau mempunyai perlindungan insurans yang baik untuk mengaksesnya, dengan sedikit atau tiada masa menunggu," katanya.

Encik Ong menambah bahawa terdapat beberapa hospital swasta yang lebih rendah dari segi kos, seperti Hospital Mount Alvernia - satu-satunya hospital swasta, bukan meraih untung di Singapura.

"Pandangan MOH adalah kami boleh meningkatkan pilihan bagi hospital swasta kos rendah agar jagaan kesihatan swasta lebih saling melengkapi jagaan kesihatan awam dan kita mempunyai pelbagai pilihan yang lebih mencukupi untuk rakyat Singapura."

CIRI-CIRI HOSPITAL SWASTA SETERUSNYA

Encik Ong juga menarik perhatian bahawa hospital-hospital mungkin beroperasi sebagai pertubuhan bukan meraih untung, memandangkan ia "sejajar" dengan misi kesihatan awam institusi, dan ia membantu mereka mengakses dana dermawan.

"Selain itu, tidak ada perbezaan besar yang wujud dalam cara hospital mencari untung dan bukan meraih untung yang baik dijalankan, dari segi mutu penjagaan, perhatian kepada jagaan berasaskan nilai, pengambilan serta pembangunan bakat," katanya.

Mendedahkan bahawa MOH sedang berunding dengan industri untuk menubuhkan sebuah hospital swasta seterusnya, Encik Ong menambah bahawa aspek bukan meraih untung yang dicadangkan "bukan ciri utama".

Beliau berkata bahawa "ciri-ciri yang lebih penting" adalah hospital itu diperlukan untuk berkhidmat terutamanya bagi rakyat Singapura.

Terdapat juga tadbir urus yang lebih kukuh, di mana hospital itu hanya akan mempunyai satu lesen jagaan kesihatan.

"DALAM KEADAAN LEBIH BAIK" DENGAN SISTEM YANG PELBAGAI

Pada Isnin, Menteri Kesihatan itu sedia maklum bahawa terdapat peralihan bahagian antara beban kerja hospital awam dengan swasta, dengan nisbahnya semakin berpihak kepada hospital awam.

"Ini baik dalam erti kata bahawa ia menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap hospital awam, tetapi ia tidak begitu positif kerana ia menambah beban yang besar kepada sistem jagaan kesihatan awam," jelas Encik Ong.

"Kami dalam keadaan lebih baik dengan sistem yang pelbagai, di mana penduduk yang mempunyai perlindungan insurans swasta serta tidak terlalu perlukan subsidi, boleh pilih hospital swasta kos rendah jika mereka mahu."
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan