Skip to main content

Singapura

Model AI SIMFONI mungkin diperluas kepada pengamal perubatan swasta SG jika pelaksanaan sektor awam berjaya

Model kecerdasan buatan (AI) jagaan kesihatan SIMFONI mungkin diperluaskan kepada pengamal perubatan swasta jika pelaksanaan awalnya dalam sektor penjagaan kesihatan awam menunjukkan hasil yang baik.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Aug 2026 07:06PM Dikemas Kini : 06 Aug 2026 10:22PM
SINGAPURA: Model kecerdasan buatan (AI) jagaan kesihatan SIMFONI mungkin diperluaskan kepada pengamal perubatan swasta jika pelaksanaan awalnya dalam sektor penjagaan kesihatan awam menunjukkan hasil yang baik.

Model AI Yayasan Perubatan Singapura atau SIMFONI pada peringkat awal memberi tumpuan kepada penyakit mata serta penyakit kardiometabolik seperti kencing manis dan tekanan darah tinggi.

Keupayaan model tersebut boleh diperluas untuk merangkumi lebih banyak bidang kepakaran pada masa depan.

Di institusi perubatan awam, SIMFONI digunakan untuk membantu mencadangkan diagnosis, kaedah rawatan dan langkah seterusnya.

Model tersebut dilatih menggunakan data klinikal dan garis panduan perubatan tempatan.

Model AI lain mungkin mampu memberikan cadangan serupa tetapi tidak disesuaikan dengan konteks dan amalan perubatan Singapura.

PRIVASI DATA PESAKIT

Beberapa Anggota Parlimen daripada PAP dan pembangkang membangkitkan keprihatinan mengenai perlindungan privasi pesakit apabila teknologi AI digunakan dalam sistem jagaan kesihatan.

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berkata langkah perlindungan perlu dilaksanakan, namun pada masa sama terdapat keperluan untuk mencapai keseimbangan agar Singapura dapat memanfaatkan teknologi tersebut.

"Kita mesti mempunyai perlindungan, saya setuju, tetapi kita mesti mencapai keseimbangan antara memanfaatkan teknologi dengan melaksanakan langkah perlindungan," kata Encik Ong di Parlimen pada Rabu (5 Ogos).

Menurutnya, keyakinan orang ramai terhadap teknologi itu akan meningkat apabila mereka dapat melihat peningkatan dalam khidmat penjagaan kesihatan tanpa berlakunya banyak insiden.

Encik Ong berkata sebelum ini bahawa AI merupakan teknologi yang boleh membantu Singapura menangani beberapa cabaran utama, termasuk tenaga kerja dan penduduk yang semakin menua serta jumlah pesakit yang meningkat.

Beliau bagaimanapun menekankan bahawa penggunaan AI perlu dilakukan secara berhati-hati.

Data yang digunakan perlu melindungi identiti pesakit, sementara teknologi AI perlu disepadukan dengan sistem dan aliran kerja sedia ada supaya keputusan akhir kekal dibuat oleh doktor.
Sumber : CNA/DY/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita