Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mobiliti sosial, perubahan nilai hidup antara faktor golongan usia 25-34 masih bujang

Mengutamakan mobiliti sosial serta wujudnya perubahan dalam nilai hidup dan keutamaan, menjadi antara sebab golongan bujang antara usia 25 hingga 34 tahun menangguhkan perkahwinan. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Mengutamakan mobiliti sosial serta wujudnya perubahan dalam nilai hidup dan keutamaan, menjadi antara sebab golongan bujang antara usia 25 hingga 34 tahun menangguhkan perkahwinan.

Demikian menurut golongan bujang dan pakar perkahwinan yang kami temui, sedang data terkini Jabatan Perangkaan (DOS) mendapati bilangan bujang dalam kumpulan usia itu terus meningkat.

Banci Penduduk tahun 2020 menunjukkan jumlah bujang berusia 25-29 tahun meningkat 15 peratusan mata kepada 69% bagi perempuan, dan bertambah 7 peratusan mata kepada lebih 81% bagi lelaki berbanding 10 tahun lalu.

Bagi mereka berusia 30-34 tahun, ia juga menyaksikan kenaikan ketara antara 5 hingga 7 peratusan mata.

Dalam kalangan masyarakat Melayu pula Jabatan Perangkaan memberitahu kami, bagi golongan usia 25 hingga 34 tahun, ada lebih 41,900 orang yang masih bujang tahun lalu atau mewakili 44.5 peratus daripada kumpulan usia itu.

Pada 2010 pula bilangan bujang dalam kumpulan usia itu adalah sekitar 26,600 dan mewakili 40.4 peratus.

Jadi ini mencerminkan pertambahan 4 peratusan mata bagi 2020 berbanding sedekad lalu.

MASYARAKAT PENTINGKAN PENDIDIKAN DAN KERJAYA

Pakar seperti Dr Suriani Suratman, Timbalan Ketua Jabatan Pengajian Melayu NUS, berkata fenomena ini berkait langsung dengan sikap masyarakat yang mementingkan pendidikan dan juga kerjaya.

"Saya rasa trend ini menunjukkan bagaimana kita membuat keputusan harian serta keputusan hidup. Ia bukannya bermakna satu-satunya buruk atau tidak," kata Dr Suriani.

"Pendidikan dan kerjaya itu penting dalam masyarakat Singapura. Ia penting untuk mobiliti sosial dan ia juga penting sebagai sumber ekonomi untuk setiap individu di Singapura," menurutnya lagi.

Lantaran itu, Dr Suriani menambah bahawa tidak menghairankan untuk melihat golongan tersebut menangguhkan perkahwinan kerana masa yang lebih lama diluangkan untuk memperoleh pendidikan dan selepas tamatnya pengajian pula kerjaya menjadi tumpuan mereka.

BINA KESTABILAN KEWANGAN DAN BERDIKARI DAHULU

Ternyata, ada pelbagai sebab golongan berkenaan kekal membujang termasuklah peralihan pandangan hidup.

(Gambar: Nur Jannah)

(Gambar: Nur Jannah)

Misalnya wanita seperti Cik Nur Jannah Cheang. Pada usia 30 tahun sekarang ini, dia tidak tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga.

"Memang dalam hidup saya ini, saya tak pernah menghadapi tekanan dari diri sendiri ataupun keluarga saya dan sesiapa pun untuk cepat-cepat berkahwin," kata Cik Jannah, yang merupakan anak bongsu, kepada BERITAmediacorp.

Wanita itu menambah bahawa membina kestabilan kewangan serta berdikari dahulu adalah keutamaan bagi dirinya.

"Sekarang sudah tahun 2021. Jadi saya tidak rasa bahawa kita patut ada apa-apa stigma terhadap golongan yang tidak berkahwin kerana persoalannya - adakah perkahwinan itu matlamat muktamad dalam hidup kita?" ujar Cik Jannah.

FAKTOR JAGA KELUARGA

Faktor kewangan juga menjadi faktor utama mengapa orang seperti Encik Muhammad Fursham terus membujang buat masa ini. Mentelah lagi dalam iklim ekonomi negara yang kurang baik.

(Gambar: Muhammad Fursham)

(Gambar: Muhammad Fursham)

Menurut jejaka 31 tahun ini, walaupun mempunyai wang simpanan, ia masih belum mantap.

"Saya masih menjaga keluarga saya. Ayah saya sakit sebab itu saya perlu membantu ibu saya untuk menanggung keluarga dari segi pembelanjaan barangan dapur dan bil-bil," kongsi Encik Fursham, abang sulung kepada dua orang adik beradik.

Kini, ayahnya tidak lagi bekerja kerana sakit dan Encik Fursham perlu mengambil alih untuk menampung pembelanjaan keluarga.

Bukan Encik Fursham sahaja yang masih membujang, kata Fursham mengenai rakan-rakan di sekelilingnya.

"Saya punya kawan baik pun ada juga yang belum kahwin. Sebenarnya ramai jugalah dalam (usia) 28, 29 (tahun), umur dekat-dekat saya pun masih belum berkahwin," kongsi Encik Fursham tentang pemerhatiannya.

Yang pasti, trend itu memprihatinkan kerana lingkungan usia 25 hingga 34 tahun berkait rapat dengan tempoh genting kesuburan, sekali gus kadar kesuburan negara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan