Skip to main content

Singapura

Mobiliti sosial Melayu SG meningkat, namun kekurangan modal sosial terus pengaruhi peluang: Kajian RIMA

Anggaran Waktu Membaca:
Mobiliti sosial Melayu SG meningkat, namun kekurangan modal sosial terus pengaruhi peluang: Kajian RIMA

Dapatan dari kajian tersebut menunjukkan kemajuan yang jelas dari segi pendidikan. (Gambar: AMP Singapura)

SINGAPURA: Mobiliti pendidikan dan pekerjaan dalam kalangan masyarakat Melayu di Singapura menunjukkan peningkatan ketara merentasi generasi, namun modal sosial terutamanya akses kepada rangkaian profesional dan pementoran terus mempengaruhi mobiliti sosial seseorang dari segi pendidikan dan kerjaya.

Demikian menurut dapatan satu kajian baharu yang dikeluarkan Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (RIMA), cabang kajian AMP Singapura pada Selasa (12 Mei).

Kajian bertajuk 'Mobiliti Antara Generasi dalam Kalangan Masyarakat Melayu di Singapura' itu meneliti perubahan merentasi tiga generasi — datuk nenek, ibu bapa dan responden — melalui tinjauan terhadap 267 responden serta 33 temu bual mendalam yang dijalankan antara Oktober 2024 hingga Januari 2025.

Dapatan menunjukkan kemajuan yang jelas dari segi pendidikan.

Hampir 60 peratus generasi datuk nenek hanya mempunyai pendidikan rendah atau tiada pendidikan formal, manakala dalam kalangan responden hari ini, sekitar 62 peratus telah mencapai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda.

Ramai juga telah memasuki sektor pekerjaan PMET (Profesional, Pengurus, Eksekutif dan Juruteknik) serta meraih keadaan kewangan yang lebih baik berbanding generasi terdahulu.

Kajian tersebut turut mendapati 79 peratus responden mengalami mobiliti pendidikan berbanding ibu bapa mereka, sementara 70 peratus menunjukkan peningkatan berbanding generasi datuk nenek.

Lebih separuh responden pula mencatatkan peningkatan pendidikan yang konsisten merentasi ketiga-tiga generasi.

RANGKAIAN PROFESIONAL DAN MODAL SOSIAL TERUS MEMPENGARUHI MOBILITI SOSIAL

Namun begitu, laporan tersebut menegaskan bahawa pencapaian akademik sahaja tidak menjamin hasil kerjaya yang setara. Akses kepada rangkaian profesional, bimbingan, peluang dan hubungan sosial dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi kemajuan pendidikan dan kerjaya.

Responden yang mempunyai modal sosial yang lebih kukuh, termasuk akses kepada mentor, ahli keluarga dalam bidang profesional atau rangkaian industri, didapati lebih mampu mengharungi laluan pendidikan dan kerjaya.

Sebaliknya, mereka yang kurang akses kepada rangkaian tersebut lebih bergantung kepada usaha individu dan kelayakan formal semata-mata.

Antara cabaran utama yang dikenal pasti dalam mobiliti pekerjaan termasuk tanggungjawab keluarga, kekangan kewangan dan kekurangan rangkaian profesional.

Selain itu, beberapa responden turut melaporkan pengalaman layanan tidak setara di tempat kerja walaupun memiliki kelayakan dan pengalaman yang relevan, termasuk keperluan untuk bekerja lebih keras bagi membuktikan keupayaan serta terlepas peluang pekerjaan atau kenaikan pangkat.

Kajian itu juga menyorot kewujudan kekurangan modal sosial dalam sebahagian masyarakat Melayu, dengan ramai responden menyatakan mereka membesar tanpa akses kepada rangkaian, mentor atau maklumat mengenai peluang seperti biasiswa dan laluan alternatif.

Ia menyebabkan mereka terpaksa bergantung kepada pengalaman sendiri tanpa bimbingan, sekali gus menjejaskan atau melambatkan perkembangan kerjaya.

PENDEDAHAN KEPADA LEBIH BANYAK PELUANG, SOKONGAN KEWANGAN DAN INFRASTRUKTUR ANTARA SARANAN

Sokongan kewangan yang lebih bersasar, pendedahan kepada lebih banyak peluang yang tersedia, pembelajaran sepanjang hayat dengan pulangan kerjaya yang jelas, pengukuhan modal sosial serta infrastruktur penjagaan dan inklusiviti antara saranan yang diketengahkan dalam kajian tersebut bagi memperkukuh mobiliti sosial.

Ini termasuk bantuan bagi mengurangkan tekanan kewangan keluarga, memperluas akses kepada bimbingan dan rangkaian sosial, serta mewujudkan hab sehenti bagi maklumat biasiswa dan panduan pendidikan.

Saranan itu juga menekankan kepentingan sistem tempat kerja dan penjagaan keluarga yang lebih inklusif bagi mengurangkan ketidaksamarataan serta memastikan peluang kerjaya yang lebih adil.

Menurut RIMA, walaupun kajian tersebut dijalankan dalam kalangan peserta daripada rangkaian AMP dan RIMA yang terdiri daripada golongan dengan tahap pendididkan lebih tinggi, dapatan tersebut mampu menyumbang kepada perbincangan lebih luas mengenai peranan rangkaian sosial, bimbingan, tanggungjawab keluarga dan akses kepada peluang dalam membentuk mobiliti sosial di Singapura, selain faktor pendidikan dan usaha individu.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita