MND umum kriteria pemilikan flat HDB lebih ketat di kawasan utama, termasuk tempoh penginapan 10 tahun
Pembeli flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di lokasi-lokasi utama akan tertakluk di bawah tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun, sebagai sebahagian daripada model baru bagi memastikan flat HDB di kawasan itu kekal dalam kemampuan dan inklusif bagi rakyat Singapura, menurut HDB pada Rabu (27 Okt).
SINGAPURA: Pembeli flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di lokasi-lokasi utama akan tertakluk di bawah tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun, sebagai sebahagian daripada model baru bagi memastikan flat HDB di kawasan itu kekal dalam kemampuan dan inklusif bagi rakyat Singapura, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (27 Okt).
Tempoh MOP selama 10 tahun - iaitu tempoh penginapan minimum penduduk perlu tinggal di flat masing-masing sebelum boleh menjualnya di pasaran terbuka - adalah dua kali lebih lama berbanding tempoh biasa bagi projek-projek BTO.
Flat di bawah model itu akan diberi subsidi tambahan selain geran-geran sedia ada, namun pembeli yang menjual flat mereka kemudian perlu membayar semula kepada HDB sebahagian peratusan harga jualan semula flat tersebut.
Langkah itu diumumkan lebih dua tahun selepas HDB pertama kali mengumumkan bahawa beribu-ribu rumah baru akan dibina di kawasan Persisiran Selatan atau Greater Southern Waterfront (GSW), sebuah lokasi utama yang memerlukan sebuah model perumahan yang baru.
Bercakap di satu taklimat media, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee berkata jika diserahkan sepenuhnya kepada kuasa pasaran yang ditentukan menerusi tawaran dan permintaan, lokasi-lokasi ini akan menjadi mahal dan eksklusif, dengan perumahan hanya boleh dimampui golongan berada.
"Kami lihat ini berlaku di banyak bandar merata dunia... Namun kami mahu memastikan ini tidak berlaku di Singapura," kata Encik Lee.
Model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) yang baru itu terdiri daripada pelbagai peraturan lebih ketat, hasil daripada usaha mendampingi orang ramai selama 10 bulan.
Ia hanya tertakluk kepada projek-projek BTO yang akan datang - dengan yang pertama dilancarkan di Rochor bagi penjualan BTO pada November.
DIKEMBALIKAN SUBSIDI
Memandangkan flat di lokasi utama itu "secara semulajadi akan bernilai lebih tinggi dalam pasaran", harga unit akan disertakan dengan kos subsidi tambahan selain geran sedia ada bagi semua flat BTO.
"Ini akan memastikan harga flat boleh dimampui setiap lapisan rakyat Singapura," menurut HDB.
Namun pembeli yang menjual flat mereka kemudian perlu membayar sebahagian peratusan daripada harga jualan semula unit mereka kepada HDB, sekaligus membolehkan pihak berkuasa mendapatkan semula subsidi tambahan yang diberikan.
Encik Lee berkata ini akan menangani kebimbangan berhubung pemberian subsidi tambahan yang akan menyebabkan "keuntungan berlebihan" dan sama ada ia adil bagi pembeli BTO di kawasan lain Singapura.
Peratusan subsidi yang dikembalikan itu sejajar dengan jumlah asal subsidi tambahan yang diberikan, menurut HDB.
Lebih banyak butiran akan diumumkan semasa sesi penjualan BTO pada November. Namun Encik Lee berkata jumlah perasutsan itu mungkin disesuaikan bagi projek-projek lain di masa hadapan, bergantung pada keadaan pasaran dan subsidi yang diperlukan.
KUOTA LEBIH RENDAH BAGI SKIM KEUTAMAAN
Untuk membeli unit BTO di kawasan-kawasan utama, kriteria kelayakannya adalah sama bagi pembeli flat BTO di kawasan lain.
Namun kuota bagi peruntukan keutamaan di bawah Skim Keutamaan Anak Yang Sudah Berumah Tangga (MCPS), akan dikurangkan.
Pada masa ini, skim itu memperuntukkan sehingga 30 peratus unit BTO untuk mereka yang ingin tinggal bersama atau berdekatan ibu bapa atau anak-anak mereka di kawasan tersebut.
Kuota bagi projek-projek PLH pada masa depan akan disesuaikan bergantung pada lokasi mereka.
TEMPOH PENGINAPAN MINIMUM 10 TAHUN
Pembeli flat PLH perlu memenuhi tempoh penginapan minimum selama 10 tahun sebelum boleh menjual flat mereka di pasaran terbuka atau melabur dalam hartanah perumahan privet.
Selain itu, mereka tidak boleh menyewakan keseluruhan flat mereka pada bila-bila masa meskipun setelah tempoh MOP sudah tamat. Mereka hanya dibenarkan untuk menyewakan bilik tidur kosong.
Syarat-syarat itu juga tertakluk kepada pembeli flat PLH, baik menerusi skim BTO atau pasaran jualan semula nanti.
SEKATAN LEBIH KETAT UNTUK BELI FLAT JUALAN SEMULA
Selain itu, jualan semula flat berkenaan dihadkan kepada mereka yang memenuhi kriteria kelayakan untuk membeli flat BTO.
Ini termasuk memenuhi had pendapatan isi rumah, yang kini ditetapkan pada S$14,000, dan anggota sebuah keluarga, seperti pasangan yang sudah berkahwin.
"Tanpa sekatan sedemikian, harga jualan semula flat di lokasi utama mungkin meningkat di luar jangkauan ramai rakyat Singapura.
"Jadi kami mengekalkan sekatan flat jualan semula selama sekurang-kurangnya separuh daripada tempoh pegangan 99 tahun bagi setiap flat di lokasi utama, sebelum kami mempertimbangkan sama ada untuk melakukan semakan semula," kata Encik Lee.
LOKASI UTAMA
Model PLH itu tertakluk kepada projek-projek perumahan awam yang terpilih di lokasi utama dan tengah, seperti kawasan pusat bandar dan sekitarannya, termasuk GSW, menurut HDB.
Projek pertama yang akan dilancarkan di bawah model PLH adalah tapak di Rochor.
Terletak di Kelantan Road dan Weld Road, ia akan menawarkan 960 unit flat tiga bilik dan empat bilik serta 40 unit flat sewa dua bilik.
"BELUM DIPUTUSKAN SEPENUHNYA"
Encik Lee juga menekankan bahawa seperti dasar-dasar yang lain, model PLH "belum diputuskan sepenuhnya".
"Ia masih baru dan kami akan terus menyemaknya dari semasa ke semasa, berdasarkan pengalaman kami melalui projek-projek yang akan dilancarkan di masa hadapan.
"Kami akan membuat penyesuaian sewajarnya bagi memastikan model ini mencapai matlamat kami dan kekal relevan memenuhi keperluan rakyat Singapura."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.