Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MND terus prihatin tentang ehwal kewangan AHTC

Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan pada Khamis (5 Dis) ia prihatin terhadap pelibatan berterusan Cik Sylvia Lim dan Encik Low Thia Kiang dalam ehwal kewangan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 05 Dec 2019 08:34PM Dikemas Kini : 05 Dec 2019 09:19PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan pada Khamis (5 Dis) ia prihatin terhadap pelibatan berterusan Cik Sylvia Lim dan Encik Low Thia Kiang dalam ehwal kewangan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC).

Pada Oktober, Cik Lim dan Encik Low didapati bertanggungjawab dalam kes penting yang menyiasat penyalahgunaan puluhan juta dolar daripada dana majlis bandaran itu.

Para pemimpin Parti Pekerja (WP) tersebut dikatakan melanggar tanggungjawab fidusiari mereka dengan melantik FM Solutions and Services (FMSS) sebagai ejen pengurusan AHTC dan gagal bertindak untuk kepentingan terbaik majlis bandaran berkenaan.

Berikutan penghakiman Mahkamah Tinggi, Parlimen pada bulan lalu menggesa majlis bandaran tersebut supaya melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghendaki kedua-dua pemimpin itu untuk menarik diri "daripada segala perkara berkaitan dengan dan pengawasan ke atas hal kewangan AHTC".

Pada 30 Nov lalu, AHTC menyatakan Cik Lim dan Encik Low tidak perlu menarik diri daripada hal kewangan majlis bandaran tersebut setelah anggota majlis mengundi perkara itu di mesyuarat suku tahunan. 

Dalam satu kenyataan media pada Khamis, MND menekankan bahawa Mahkamah Tinggi mendapati kedua-dua anggota majlis bandaran AHTC yang dipilih itu "berkelakuan tidak jujur dan melanggar tanggungjawab fidusiari mereka serta kelakuan kurang integriti serta ketelusan".

Sekalipun dapatan ini "serius dan berat", AHTC memutuskan bahawa Cik Lim dan Encik Low tidak perlu menarik diri daripada masalah kewangan AHTC, menurut MND.

Kementerian itu menyatakan bagi sebuah pemerintahan yang baik, AHTC harus mengambil langkah-langkah interim untuk melindungi proses pemerolehan dan pembayaran dengan segera.

"Sehingga dan melainkan dapatan Mahkamah berhubung kelakuan Cik Lim dan Encik Low dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan, mereka dalam keadaan baik dan perlu diambil serius oleh AHTC," menurut MND.

Kementerian tersebut menyatakan ia menulis kepada AHTC semalam untuk meminta maklumat mengenai alasan majlis bandaran itu di atas langkah mereka tidak memerlukan Cik Lim dan Encik Low menarik diri daripada ehwal kewangannya.

Setelah menerima respons daripada AHTC, MND akan menimbangkan sama ada tindakan peraturan perlu diambil "untuk memastikan penjagaan betul wang awam yang diamanahkan kepada majlis bandaran".

MND juga menyatakan AHTC meraih penilaian "hijau" dalam penilaian tadbir urus korporat bagi Laporan Pengurusan Majlis Bandaran FY2018 tetapi ini disebabkan "sebahagian besarnya daripada usaha KPMG yang membantu AHTC dalam memulihkan kegagalan kawalan dan mata audit masa lalu" selama lebih dua tahun.

Kementerian itu terus prihatin tentang sama ada langkah-langkah yang dilaksanakan di bawah bimbingan KPMG memadai untuk "mengelak kegagalan kawalan masa lalu daripada berulang" jika Cik Lim dan Encik Low terus terlibat dalam ehwal kewangan AHTC.

Ini terutama sekali memandangkan sama ada langkah-langkah itu memadai bergantung sepenuhnya kepada pelaksanaan oleh individu-individu yang terlibat dalam ehwal kewangan AHTC, menurut pihak berkuasa itu.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan