Skip to main content

Singapura

MND, HDB & CEA siasat iklan mengelirukan 'flat jumbo' S$2 juta di Sengkang

Iklan penjualan hartanah bagi sebuah 'flat jumbo' di Sengkang telah menarik perhatian pihak berkuasa yang menyifatkan iklan itu sebagai mengelirukan.

Anggaran Waktu Membaca:
MND, HDB & CEA siasat iklan mengelirukan 'flat jumbo' S$2 juta di Sengkang

(Gambar: Google Maps)

Diterbitkan : 09 May 2024 11:12AM
SINGAPURA: Iklan penjualan hartanah bagi sebuah 'flat jumbo' di Sengkang telah menarik perhatian pihak berkuasa yang menyifatkan iklan itu sebagai mengelirukan.

Majlis Agensi Hartanah (CEA), pengawal selia bagi industri hartanah Singapura, akan menyiasat perkara itu - iaitu iklan penjualan "flat jumbo" di Sengkang yang disenaraikan pada harga S$2 juta.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Rabu (8 Mei) sebagai respons kepada pertanyaan media, Kementerian Pembangunan Negara (MND), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dan CEA juga mengeluarkan kenyataan mengenai iklan penjualan flat lima bilik Skim Reka, Bina dan Jual (DBSS) di Toa Payoh yang disenaraikan pada harga S$2 juta.

"FLAT JUMBO" DI SENGKANG

Flat yang disenaraikan dalam portal online PropertyGuru itu bukan sebuah 'flat jumbo', tetapi sebenarnya dua flat 5 bilik terletak bersebelahan yang tidak boleh ditukar dan dijual sebagai satu unit, menurut MND, HDB dan CEA.

Tiada flat jumbo di alamat tertera dalam senarai itu, iaitu Blok 314C Anchorvale Link.

Pada harga S$2 juta, harga yang disenaraikan bagi 'flat jumbo' itu jauh lebih tinggi berbanding harga transaksi di kawasan tersebut buaru-baru ini, menurut pihak berkuasa.

"Sepanjang enam bulan lalu, flat-flat lima bilik di kawasan itu dijual pada harga sekitar S$580,000.

"Harga jualan S$2 juta itu justeru S$800,000 lebih tinggi berbanding nilai gabungan dua flat 5 bilik," menurut MND, HDB dan CEA dalam satu kenyataan bersama.

Ejen hartanah yang memuat naik iklan jualan itu juga telah menurunkan iklan tersebut selepas CEA memaklumkannya tentang iklan mengelirukan itu kepada agensi hartanah ejen berkenaan.

"CEA sedang menyiasat hal itu dan akan mengambil tindakan tegas jika berlaku sebarang pelanggaran," menurut pihak berkuasa.

IKLAN JUALAN FLAT TOA PAYOH PADA HARGA S$2 JUTA

Sementara itu, MND, HDB dan CEA juga mengulas tentang iklan jualan flat DBSS di Toa Payoh baru-baru ini.

Pada harga S$2 juta, harga jualan itu hampir separuh juta lebih tinggi berbanding harga transaksi paling tinggi di kawasan itu.

Flat-flat DBSS dibina oleh pemaju hartanah privet di atas tanah yang dibeli daripada HDB. Ia tetap dianggap sebagai flat HDB. Skim itu yang dilancarkan pada 2005, sudahpun digantung sejak 2012.

Ketiga-tiga badan pemerintah itu menyatakan mereka sedia maklum bahawa ejen yang mengiklankan flat itu menyifatkan tawaran tersebut sebagai berbaloi.

Namun, ramai pakar hartanah menganggapnya sebagai tidak realistik sekalipun dengan ciri-ciri yang menarik pada unit tersebut, menurut kenyataan bersama itu.

"Buat masa ini, tiada Hasrat untuk Menjual didaftarkan dengan HDB bagi flat tersebut, yang bermakna bakal penjual flat tersebut tidak menawarkan Pilihan Untuk Membeli (OTP) di peringkat ini," menurut MND, HDB dan CEA.

Pihak berkuasa juga mengingatkan agensi dan ejen hartanah supaya menegakkan integriti dan tahap profesionalisme dalam industri hartanah.

Pihak berkuasa juga menarik perhatian bahawa para pemain industri mempunyai kewajipan etika untuk bertindak bukan sahaja demi kepentingan pelanggan mereka tetapi juga orang awam, termasuk bakal pembeli.
Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita