Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MND arah AHTC 'hadkan' kuasa Sylvia Lim dan Low Thia Khiang dalam urusan kewangan

Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengeluarkan perintah yang memerlukan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Parti Pekerja (WP) Low Thia Khiang dan Sylvia Lim.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jan 2020 07:23PM Dikemas Kini : 03 Jan 2020 09:57PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) mengeluarkan perintah yang memerlukan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) untuk mengambil tindakan terhadap pemimpin Parti Pekerja (WP) Low Thia Khiang dan Sylvia Lim.

Kenyataan itu dikeluarkan pada Jumaat (3 Jan).

Pada Oktober 2019, dua anggota majlis bandaran itu didapati bertanggungjawab dalam kes yang melibatkan salah guna puluhan ribu dolar dari dana majlis bandaran.

Mereka dikatakan sudah melanggar tanggungjawab fidusiari dengan melantik FM Solutions and Services (FMSS) sebagai ejen pengurusan AHTC. Ini selain gagal mengutamakan kepentingan majlis bandaran itu.

MND menyatakan, ia mengarahkan AHTC untuk "mengehadkan kuasa mereka (Sylvia Lim dan Low Thia Khiang) dalam urusan kewangan tertentu, agar masalah yang disebabkan oleh mereka itu tidak berulang lagi".

"Arahan itu tidak menghalang Cik Lim dan Encik Low daripada terus berkhidmat sebagai ahli majlis bandaran AHTC, mahupun menjalankan tanggungjawab jawatan masing-masing, termasuk mengambil bahagian dalam perbincangan dan mengundi dalam jawatankuasa," tambah MND dalam kenyataannya.

Kenyataan itu dikeluarkan sekitar sebulan selepas MND mengutarakan keprihatinan tentang pelibatan berterusan dua ketua Parti Pekerja itu dalam urusan kewangan AHTC.

Menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi, Parlimen menggesa AHTC agar dua pemimpin berkenaan dilepaskan daripada tanggungjawab yang melibatkan urusan kewangan majlis bandaran.

Namun AHTC pada 30 Nov menyatakan bahawa Cik Lim dan Encik Low tidak perlu berbuat demikian, selepas ahli majlis bandaran membuat undian mengenai perkara itu dalam satu mesyuarat suku tahunan.

Pada 5 Dis, MND mengesahkan bahawa ia tahu tentang keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati Cik Lim dan Encik Low "bersikap tidak jujur dan melanggar tanggungjawab fidusiari, dan perbuatan mereka menunjukkan kurang integriti dan kurang bersikap berterus terang".

MND menarik perhatian, AHTC memutuskan Cik Lim dan Encik Low tidak perlu dikecualikan daripada urusan kewangan majlis bandaran walaupun mereka didapati melakukan kesalahan "serius".

Dalam kenyataannya hari ini (3 Jan), MND menyatakan ia sudah "mempertimbangkan dengan teliti" surat AHTC bertarikh 13 Dis, yang menjawab permintaan kementerian untuk menjelaskan sebab-sebab mengapa Cik Lim dan Encik Low tidak dikecualikan dalam urusan yang disebutkan.

"Kami sudah mempertimbangkan sebab-sebab mengapa AHTC tidak mengecualikan Cik Lim dan Encik Low daripada urusan-urusan kewangan AHTC, dan lebih penting lagi, tidak mengelirukan daripada dapatan Mahkamah mengenai perbuatan Cik Lim dan Encik Low dibentangkan," menurut kementerian itu.

"Walaupun AHTC sudah menjalankan langkah-langkah tertentu, masih tidak jelas dan AHTC tidak menunjukkan bagaimana ia akan secara berkesan mencegah perkara seperti ini daripada berulang akibat ahli majlis bandaran yang tidak bersikap jujur," tambah MND.

Mediacorp sudah menghubungi AHTC dan WP untuk mengulas soal ini. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan