MND akan terus sediakan rumah dimampui, mudah diakses rakyat SG: Chee Hong Tat
Menteri Pembangunan Negara Chee Hong Tat berikrar akan terus menyediakan perumahan awam yang mampu dimiliki dan mudah diakses untuk rakyat Singapura.
Komitmen itu diterapkan secara rasmi dalam misi baharu kementeriannya.
Encik Chee berkata bahawa langkah tersebut bertujuan untuk mengingatkan pasukannya tentang tanggungjawab mereka kepada rakyat Singapura.
Ikrar baharu itu melengkapi tiga tunggak utama sedia ada dalam kenyataan misi Kementerian Pembangunan Negara (MND), iaitu membangunkan prasarana bertaraf dunia, membina masyarakat yang berakar umbi dan bersatu padu, serta mewujudkan persekitaran yang bertenaga, berdaya tahan dan mampan.
"Saya ingin jelaskan, perkara ini bukan baharu. Ia adalah sesuatu yang kami sudah lakukan sekian lama.
"Pemilikan rumah merupakan asas dasar perumahan awam sejak kita mencapai kemerdekaan 60 tahun lalu pada 1965," kata Encik Chee.
Encik Chee mengumumkan misi yang diperbaharui itu semasa satu majlis penyampaian biasiswa pada Isnin (14 Jul).
Seramai 38 penerima biasiswa akan berkhidmat di kementerian tersebut selepas menamatkan pengajian.
Menurut Encik Chee, mereka harus sentiasa ingat kepada empat tunggak utama itu semasa melanjutkan pengajian mereka.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.