Skip to main content

Singapura

mm2 umum perubahan lembaga pengarah, terima lagi tuntutan bayaran berhubung Cathay Cineplexes

Anggaran Waktu Membaca:
mm2 umum perubahan lembaga pengarah, terima lagi tuntutan bayaran berhubung Cathay Cineplexes

Cawangan Cathay Cineplexes di pusat beli-belah JEM. (Gambar fail: Facebook/Cathay Cineplexes)

Diterbitkan : 30 Jul 2025 02:35PM Dikemas Kini : 30 Jul 2025 02:36PM
SINGAPURA: Pemilik dan pengendali Cathay Cineplexes, mm2 Asia mengumumkan beberapa perubahan terhadap lembaga pengarah pada lewat malam Selasa (29 Jul), termasuk persaraan CEO Chang Long Jong.

Dalam satu pemfailan Bursa Singapura pada kira-kira pukul 11.00 malam pada Selasa, mm2 menyatakan Encik Chang akan bersara pada 1 September dan pengasas syarikat Melvin Ang akan memikul tanggungjawab CEO buat sementara waktu sedang syarikat itu mencari CEO baharu.

Encik Chang adalah CEO mm2 sejak April 2017.

Beliau memainkan 'peranan penting dalam mengembangkan jejak langkah mm2 dalam industri hiburan serantau', menurtu syarikat itu dalam satu kenyataan, sambil mengucapkan terima kasih kepada Encik Chang atas kepimpinannya.

Ia juga mengumumkan Encik Ang Chiang Meng akan menyertai syarikat itu sebagai Ketua Pegawai Penyusunan Semula mulai 1 Ogos.

Beliau adalah pengasas bersama dan rakan kongsi pengurusan Argile Partners, sebuah firma rundingan serantau dan pengarah eksekutif R&O Company, yang mempunyai pengkhususan semula dalam penyusunan semula korporat dan hutang.

Langkah itu diambil selepas "mengambil kira rundingan pemiutang berkaitan pawagam itu dan cabaran kewangan berpanjangan yang berpunca daripada pandemik", menurut mm2.

"Dengan pengalaman merentasi sempadan selama beberapa dekad merangkumi Singapura, tanah besar China, Asia Tenggara dan hab-hab kewangan luar pesisir, beliau berkelayakan unik untuk memimpin pengurusan hutang mm2 dan penyusunan semula operasi syarikat," menurut syarikat.

"Kelayakannya sebagai pengarah kanan yang bertauliah, penilai bertauliah dan pakar penyusunan semula adalah penting dalam proses peralihan ini."

TUNTUTAN PEMBAYARAN

Dalam satu lagi pemfailan Bursa Singapura, mm2 menyatakan Cathay Cineplexes menerima surat tuntutan S$577,235.58 dari Resorts Concept, iaitu pemberi lesen unit-unit pawagamnya di E!Hub@Downtown East.

Jumlah itu merangkumi bayaran lesen, kos perkhidmatan, utiliti, faedah dan kos-kos lain, menurut syarikat itu.

Cathay sedang berhubungan dengan Resorts Concept bagi "merunding dan menyelesaikan isu-isu berkaitan bayaran yang tertunggak", ia menambah.

Cathay pada Isnin juga menerima tuntutan berhubung premis pawagamnya di pusat beli-belah Jem.

Tuntutan itu difailkan oleh para peguam yang mewakili Lendlease Retail Investments 3 di Mahkamah Tinggi.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita