MLLPC lancar 2 novel kanak-kanak & pertandingan tulis cerpen berilhamkan karya Zubir Said
Bagi memberi peluang untuk para pelajar menghayati dan mendalami lagu-lagu karya Allahyarham Zubir Said, sebuah pertandingan menulis cerpen dilancarkan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC) pada Sabtu (15 Feb).
Di samping memberi penghargaan kepada tokoh seni negara itu, pertandingan yang dibuka kepada para pelajar sekolah rendah hingga pos menengah itu bertujuan menguji daya kreativiti generasi muda dalam menterjemahkan karya-karya muzik ke dalam bentuk penulisan.
Tetamu terhormat majlis pelancaran itu, Menteri Kedua Pendidikan, Dr Mohamad Maliki Osman berkata pertandingan itu membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengenali serta menghayati karya-karya agung Zubir Said.
"Usaha ini bukan sekadar menggalakkan kemahiran menulis malah bertujuan untuk memupuk penghayatan yang lebih mendalam terhadap warisan budaya kita. Saya yakin bahawa inisiatif ini akan menjadi pemangkin untuk memunculkan bakat-bakat muda dalam bidang penulisan dalam kalangan masyarakat kita. Melalui inisiatif yang kreatif ini, kami di MLLPC berharap dapat menyemai rasa cinta dan penghargaan terhadap khazanah seni tanah air dalam kalangan anak-anak muda kita," kata Dr Maliki yang juga merupakan Pengerusi MLLPC.
Butir-butir penyertaan akan dikongsikan kepada semua sekolah bermula hari ini.
Pertandingan itu akan berlangsung sehingga April 2025 dan pemenangnya akan diumumkan di acara Fiesta Bahasa pada 26 Julai 2025.

Di majlis yang sama, Dr Maliki turut melancarkan dua novel kanak-kanak oleh penulis tempatan Amanah Mustafi dan Nur-El-Hudaa Jaffar.
Buku-buku tersebut hasil daripada geran pertama MLLPC yang dianugerahkan pada tahun 2023 bagi penerbitan buku cerita Bahasa Melayu.
Ia merupakan sebuah inisiatif bagi meningkatkan bahan bacaan berkualiti yang mencerminkan konteks dan budaya Singapura, sekaligus memperkaya dunia kesusasteraan Melayu tempatan.
"Usaha sebegini penting untuk melahirkan lebih ramai pembaca yang gemar menyelami karya sastera tempatan. Dengan memupuk budaya membaca, kita bukan sahaja mengekalkan penggunaan Bahasa Melayu tetapi juga memastikan bahasa Melayu terus berkembang pada tahap yang mantap dan bermutu tinggi," tambah Dr Maliki yang juga menyandang jawatan Menteri di Pejabat Perdana Menteri.

Antara buku yang dilancarkan ialah 'Bukan Mimpi' hasil karya penulis, Amanah Mustafi.
Selain mendedahkan kanak-kanak kepada sejarah Singapura dari zaman penjajahan Jepun hingga ke era 80-an, ia juga kaya dengan mesej serta pengajaran yang boleh dibincangkan bersama ibu bapa.
"Buku 'Bukan Mimpi' mengisahkan seorang budak lelaki bernama Rudi, 12 tahun, yang hidup dalam serba kemewahan. Akibat kesenangan yang datang dengan mudah itu membuat Rudi memiliki perwatakan yang negatif. Dia tidak ada rasa belas terhadap orang susah dan tidak bersimpati. Beliau jadi pemarah dan pentingkan diri sendiri. Sikap pemarahnya itu membawa padah kepada Rudi hingga menyebabkan dia terjerumus ke zaman silam, bukan sekali tetapi sebanyak tiga kali," kata Cik Amanah.
'BUKAN MIMPI' LAHIR ATAS KEPRIHATINAN SIKAP GENERASI MUDA
Inspirasi bagi buku kelimanya itu juga timbul disebabkan sifat prihatinnya terhadap generasi muda hari ini.
"Isu yang saya ketengahkan dalam 'Bukan Mimpi' ini sudah lama mengganggu fikiran saya. Ia mengganggu sehingga bertukar menjadi keresahan. Jika kita lihat anak-anak di Singapura sekarang ini kebanyakan daripada mereka hidup dalam kesenangan tapi apa yang kita bimbang sikap ini akan mencorak perangai budak itu. Mereka menjadi seorang yang pentingkan diri sendiri, seorang yang tidak tahu rasa belas, tak ada empati," ujarnya.
Ibu dua orang anak itu berharap bukunya itu juga boleh dijadikan teladan.
"Melalui pengalaman, kita pelajari akan kekuatan, kelemahan dan nilai hidup kita. Pada hakikatnya, pengalaman yang baik atau buruk itu adalah penting untuk mendidik jiwa dan hati seorang anak," ujar Cik Amanah.
'KECOH DI LERENG BUKIT' MULA DITULIS SEJAK 2017
Sebuah lagi buku yang dilancarkan ialah 'Kecoh Di Lereng Bukit' tulisan Nur-El-Hudaa Jaffar.
Buku tersebut yang turut kaya dengan ilustrasi oleh Ross Monday mewarnakan lagi jalan cerita yang berlatarbelakangkan era pra-kemerdekaan Singapura.
"Bayangkan anda seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun tinggal di kuarters pekerja sekolah di lereng bukit dan anda terjumpa seorang budak yang cedera dan juga berumur 10 tahun yang katanya dia baru diculik orang tetapi dia tidak mahu dibantu. Apakah tindakan anda selanjutnya? Jadi inilah cerita Asiah dalam cerita dalam buku ‘Kecoh Di Lereng Bukit’ yang mana Asiah cuba membantu David kembali ke pangkuan keluarganya. Dalam dia membantu David, Asiah mendapat kejutan demi kejutan," kata Cik Nur-El-Hudaa yang mula menulisnya sejak 2017.

Beliau berharap, bukunya itu dapat memberi inspirasi bagi si pembaca dan sentiasa menanamkan sikap positif.
"Adakalanya, kita menghadapi suasana atau situasi yang kita fikir di luar kawalan kita baik tekanan dari dalam keluarga atau di sekolah dan sebagainya dan saya harap daripada cerita ini, mereka mendapat inspirasi atau mendapat fikiran bahawa keadaan itu mungkin tidak begitu kelam. Ada jalan keluar dan mungkin ada langkah yang mereka lakukan untuk menjernihkan suasana.
"Kadang-kadang kita membuat kesilapan dan kadang-kadang rasa bersalah itu boleh mengganggu kita tetapi kita harus cari usaha untuk menangani keadaan itu agar kita tidak terganggu dengan rasa kesalahan itu dan kita harus yakin bahwa keadaan akan berubah menjadi lebih baik dan sebarang kesilapan boleh diperbaiki," tambahnya.
Kedua-dua buku itu akan diedarkan ke semua perpustakaan sekolah-sekolah.
Orang ramai boleh mendapatkan buku-buku tersebut secara online dari laman Ungu Pen dan Pustaka Islamiyah.
PUSINGAN KEDUA GERAN PENERBITAN BUKU MLLPC DIBUKA
Bagi menggalak lebih ramai bakat-bakat penulisan tempatan, Dr Maliki turut mengumumkan pusingan kedua bagi geran penerbitan buku.
Usaha itu kata beliau dapat membantu mengembangkan industri penerbitan tempatan dan menyokong perkembangan bakat-bakat baharu dalam dunia penulisan bahasa Melayu.
Majlis pelancaran yang berlangsung di auditorium Perpustakaan Daerah Woodlands itu dihadiri sekitar 150 tetamu termasuk para anggota MLLPC, Kementerian Pendidikan (MOE), wakil-wakil pertubuhan, rakan-rakan masyarakat daripada badan-badan kesenian dan kesusasteraan Melayu, guru-guru, ibu bapa dan para pelajar.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.