MJ12 Gerun Malam 2.0: Sambutan hangat dan skala lebih besar di Panggung Capitol

MJ12 Gerun Malam 2.0 diadakan di Panggung Capitol, yang menawarkan kapasiti lebih besar. (Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Acara MJ12 Gerun Malam oleh Mediacorp RIA 897 telah kembali diadakan pada Sabtu, 25 Januari, pada skala yang lebih besar.
Acara itu berlangsung di Panggung Capitol yang menawarkan kapasiti lebih besar.
Penolong Pengarah Program Mediacorp RIA 897, Azlin Ali, berkongsi, “Sambutan pada tahun ini cukup menggalakkan. Tahun lepas kami adakan acara MJ12 di Stephen Riady Auditorium @NTUC, tapi kali ini, MJ12 Gerun Malam 2.0 diadakan di Capitol Theatre dan kapasitinya adalah dua kali ganda lebih besar. Tiket-tiket hampir habis dijual sebaik sahaja dilancarkan.”
MJ12 Gerun Malam 2.0 menampilkan perkongsian menakutkan oleh duo Santau Santai, Zuhairi Idris dan Ustaz Fadhly Rosli, serta cerita-cerita seram yang menggerunkan oleh kumpulan True Horror Stories POV.

Selain itu, penonton turut disajikan dengan persembahan tarian yang menyeramkan kepada lagu Ulek Mayang oleh kumpulan Sri Warisan.
Ustaz Fadhly Rosli berkongsi beberapa kelainan untuk edisi kali ini.
"Saya dan Zuhairi tidak lagi hanya menunjukkan perkara-perkara berkaitan sihir seperti tahun lepas. Sebaliknya, kami menampilkan kesan-kesan yang dialami oleh mangsa akibat terkena sihir. Selain itu, kami juga mengetengahkan audio baharu yang diambil daripada pesakit, berbeza daripada audio yang ditampilkan pada tahun sebelumnya. Kali ini, kami turut menyertakan klip video eksklusif daripada seorang pengamal alternatif yang menambah dimensi baharu kepada penceritaan," ujarnya.

Beliau juga menambah, "Untuk MJ12, kami mengetengahkan perkara-perkara yang belum pernah kami kongsi dalam mana-mana edisi Santau Santai yang terdahulu. Jadi kami menggunakan pengalaman daripada program Santau Santai sebelum ini untuk memperbaiki aspek yang diperlukan bagi memastikan persembahan MJ12 menjadi lebih baik, padat, dan berkesan."
PERKENALKAN DEEJAY BAHARU KEPADA PENDENGAR

Acara MJ12 Gerun Malam juga menjadi platform untuk mendekatkan pendengar dengan deejay-deejay RIA 897, termasuk yang baharu seperti Far Anwar, yang kini mengendalikan rancangan itu sejak 13 Januari, dari pukul 12.00 tengah malam hingga 2.00 pagi.
"MJ12 Gerun Malam merupakan antara rancangan radio yang sinonim dengan pendengar serta pengikut Mediacorp RIA 897. Kalau lazimnya, pendengar dan pengikut sekadar mendengar atau melihat deejay-deejay RIA di udara serta di laman digital.
"Acara-acara ‘on-ground’ pula memberi ruang dan peluang bagi personaliti-personaliti Mediacorp RIA 897 beramah-mesra bersama pendengar atau pengikut kami dengan lebih dekat dan peribadi lagi, terutama sekali DJ terbaru Mediacorp RIA 897, Far Anwar," kata Azlin.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.