Miza Khairina Dzaki dipilih valediktorian bagi kursus Komunikasi Digital dan Media Bersepadu SIT
SINGAPURA: Meneroka sesuatu bidang yang baharu bukanlah mudah.
Itulah hakikat yang perlu ditelan Miza Khairina Dzaki, ketika membuat keputusan berani untuk melanjutkan pengajian dalam Komunikasi Digital dan Media Bersepadu (DCIM) di Institut Teknologi Singapura (SIT).
"Pada tahun pertama pengajian saya, saya tidak terlalu mahir dalam bidang penerbitan video kerana sebelum ini, saya mengkaji perniagaan di politeknik," kongsi Miza, yang memilih untuk mendalami bidang komunikasi pemasaran semasa belajar di Politeknik.
"Jadi kemahiran saya tidak sebanding dengan beberapa rakan sekelas saya dan oleh itu saya sering rasa rendah diri dan juga tidak yakin dengan kemampuan saya," tambahnya.
Valediktorian berusia 26 tahun itu tertarik dengan kursus baharu yang ditawarkan SIT kerana ia selari dengan minatnya dalam pemasaran digital.
Beliau juga mampunyai aspirasi untuk menyumbang dalam kempen dan projek yang dapat mendekati penonton dengan lebih mendalam lagi.
Meskipun menghadapi kesukaran pada awal pengajiannya, Miza berasa beruntung mendapat sokongan rakan-rakan dan keluarganya.
MIZA KHAIRINA DZAKI DIPILIH VALEDIKTORIAN
Beliau meraih Ijazah Sarjana Muda dalam Sains dengan Kepujian.
"Saya benar-benar terkejut sebab saya tidak menyangka saya akan terpilih menjadi valediktorian. Saya juga rasa gementar kerana saya akan mewakili seluruh kohort dan ia merupakan tugas yang agak berat," luah Miza.
"Kejayaan ini amat bererti kepada saya kerana ia telah membanggakan ibu bapa saya dan juga ia menunjukkan bahawa usaha dan kerja keras saya dihargai," tambahnya.
Miza merupakan antara lebih 2,200 graduan SIT yang menerima ijazah mereka sepanjang tiga hari akan datang, hingga Jumaat (13 Okt).
BERANI TEROKA PERKARA BAHARU DAN ASING, JANGAN RASA TERANCAM KETIKA BERDEPAN CABARAN
Ditanya apakah rahsia kejayaannya, ini jawapan Miza:
"Rahsia kejayaan saya mungkin adalah keberanian saya untuk meneroka perkara yang baharu dan asing. Saya percaya bahawa kunci kejayaan adalah untuk tidak berasa terancam ketika berdepan dengan cabaran tetapi menganggapnya (hanya) sebagai satu cabaran.
"Sebagai contoh program ijazah ini ialah program baharu tetapi saya memutuskan untuk mengejarnya. Jadi gabungan keberanian ini dan juga usaha dan tekunan adalah kunci kejayaan saya."
Buat masa terdekat ini, Miza merancang untuk mencari peluang pekerjaan dalam bidang Jenama Eksekutif.
"Saya merancang untuk mencari peluang bekerja sebagai Eksekutif Jenama untuk mendapatkan pengalaman praktikal yang lebih mendalam. Saya percaya bahawa peranan ini akan menggabungkan minat saya dalam bidang pemasaran digital serta kreativiti dan strategi untuk pembentukan identiti jenama," kongsi Miza.
Namun, jika diberikan peluang, Miza berharap dapat mengikut jejak langkah kakaknya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana, satu hari nanti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.