Skip to main content

Singapura

Misi kemanusiaan Mercy Relief bantu 2 juta mangsa bencana alam di 25 negara

Sejak ditubuhkan pada 2003, badan bukan pemerintah(NGO) Mercy Relief sudah membantu lebih dua juta penduduk di 25 negara yang terjejas dengan bencana alam.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak ditubuhkan pada 2003, badan bukan pemerintah(NGO) Mercy Relief sudah membantu lebih dua juta penduduk di 25 negara yang terjejas dengan bencana alam.

Demikian luasnya jangkauan bantuan Mercy Relief yang menyambut ulang tahunnya ke-15 tahun ini.

Antara misi bantuan yang dilakukan badan itu termasuk tragedi gempa di Lombok baru-baru ini dan juga sokongan bagi pelarian Rohingya yang berada di Bangladesh.

Sepanjang tempoh 15 tahun itu, badan bantuan kemanusiaan itu juga sudah mengumpulkan lebih S$34 juta dan mengendalikan 50 projek pembangunan di negara-negara seperti Indonesia, Nepal dan Filipina.

MASAGOS GESA RAKYAT S'PURA TERUS SOKONG MERCY RELIEF

Sempena meraikan ulang tahunnya itu, satu acara karnival Ground Zero, diadakan hujung minggu ini di Hab Tampines Kita.

Dirasmikan Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli, beliau menggesa rakyat Singapura agar terus menyokong badan itu dalam menjalankan misi kemanusian.

Encik Masagos yang juga antara pengasas badan itu berkata sumbangan masyarakat kepada Mercy Relief dapat menyediakan air yang bersih, jagaan kesihatan dan pendidikan asas di negara-negara yang dilanda bencana.

"Sedang kita menjalankan tanggungjawab kita di sini, kita boleh membantu mereka yang memerlukan di luar negara apabila bencana alam melanda. Kami berharap untuk dapat membawa keceriaan, ketenangan, harapan dan memberikan semangat kepada mereka yang terjejas," ujar beliau.

TABUNG BANTUAN 'IMPACT FUND' PERLU LAGI $750,000

Sempena sambutan ulang tahunnya itu, Mercy Relief melancarkan usaha mengumpul S$1 juta bagi dana dipanggil Impact Fund.

Sejauh ini ia sudah mengumpul $250,000 bagi menyokong program dan perkhidmatan badan tersebut.

Namun, badan itu berharap masyarakat dapat memberikan sumbangan demi menyempurnakan usaha murni Mercy Relief.

"Bencana baru-baru ini seperti banjir dan gempa bumi mengingatkan bahawa kita perlu mempunyai sikap belas kasihan dan mencari di dalam hati kita, keinginan untuk mendampingi masyarakat-masyarakat berdekatan yang mengalami kesan bencana alam yang teruk. Kita mempunyai peranan dalam membantu mereka," kata Encik Masagos.

Orang ramai dapat memberikan sumbangan mereka secara langsung di Karnival Ground Zero esok (23 Sep) dari 11.00 pagi hingga 9.00 malam. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita