Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Misi kemanusiaan Gaza: Humanity Matters, badan-badan berbilang agama hantar bekalan S$85,000

Bantuan kemanusiaan bagi penduduk di Gaza mendapat perhatian seluruh rakyat Singapura berbilang agama, dengan pertubuhan bukan meraih untung, Humanity Matters, berjaya mengumpul sumbangan bekalan perubatan bernilai S$85,000.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bantuan kemanusiaan bagi penduduk di Gaza mendapat perhatian seluruh rakyat Singapura berbilang agama, dengan pertubuhan bukan meraih untung, Humanity Matters, berjaya mengumpul sumbangan bekalan perubatan bernilai S$85,000.

Ia bagi menyokong hospital dan pusat perubatan di Gaza, terutama sekali di tengah-tengah pandemik sekarang.

Inisiatif itu juga menyaksikan enam badan berbilang budaya dan agama berganding bahu dengan satu tujuan - membantu mangsa konflik di Gaza.

Ia termasuk International Multi Cultural Organisation (IMC), Taoist Mission, Singapore (TM), Fu Mei Gong (FMG), Persatuan Peguam Muslim (AML), Young Sikh Association (YSA) dan Sree Narayana Mission (SNM).

Hari ini (30 Mei), mereka berkumpul demi menyusun bantuan yang amat diperlukan itu, sebelum dihantar ke Gaza.

"Kami semua tahu bahawa di Gaza, Palestin masyarakat mereka juga berbilang agama seperti Singapura. Jadi ini satu krisis kemanusiaan di mana para penyumbang serta penerima datang dari latar belakang berbilang agama," kata Encik Hassan Ahmad, Penasihat Khusus untuk Kemanusiaan di Humanity Matters.

SUMBANG BEKALAN PERUBATAN DARIPADA DERMA WANG

Memandangkan alat perubatan dan ubat-ubatan sukar didapati di Gaza, Humanity Matters memutuskan untuk menyumbang bekalan yang amat diperlukan penduduk Palestin ketika ini, daripada menderma wang.

Justeru, bekalan jagaan kesihatan yang bakal dihantar termasuk alat pemekat oksigen, sarung tangan dan pelitup pembedahan, selain selimut bagi penduduk yang kehilangan tempat tinggal mereka.

Bekalan seberat empat tan ini dijangka tiba di Mesir minggu depan sebelum diagihkan di Gaza.

Bagi tujuan itu, Humanity Matters bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Mesir (ERCS) dan Palestin (PRCS).

Menurut Encik Hassan, bekerjasama dengan badan-badan yang boleh dipercayai ini amat penting kerana ia boleh menentukan sama ada bantuan yang diberikan itu sampai tepat kepada sasarannya atau tidak.

"Rakyat Singapura yang ingin menyumbang tenaga atau wang harus sentiasa berwaspada," ujar Encik Hassan, yang sudah terlibat dalam kerja-kerja kemanusiaan sejak 2001 lagi.

"Mereka harus mengenali dahulu siapa yang bekerjasama dengan mereka, barangan seperti mana yang akan didermakan, serta siapa penerima bantuan itu," tambahnya.

Sebelum ini, Humanity Matters juga pernah menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan di Gaza pada 2009 dan 2012.

INISIATIF BERMAKNA BAGI RELAWAN

Inisiatif ini juga cukup bermakna bagi para relawan sebagai tanda perpaduan, menyumbang kepada golongan yang memerlukan bantuan kecemasan kemanusiaan segera.

Bagi Cik Shifa' Hannan, 24, ini merupakan kali pertama beliau menyertai inisiatif kemanusiaan sebegini.

"Saya ingin menyumbang masa dan tenaga saya lebih daripada menderma wang semata-mata," kata Cik Shifa' yang bekerja sebagai Eksekutif Projek di Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS).

Seorang lagi sukarelawan, Encik Benjamin Lyman, juga memutuskan untuk menyertai inisiatif ini kerana ingin menyumbang tenaga.

"Saya rasa seseorang itu bukan sahaja boleh menyumbang dari segi wang. Jadi saya datang hari ini kerana ingin menyumbang tenaga saya," kata Encik Lyman.

Selain itu, sebagai seorang sukarelawan di Humanity Matters, beliau berpegang teguh kepada prinsip untuk membantu sesiapa sahaja yang memerlukan.

"Kita sangat bertuah di Singapura kerana mempunyai pemerintah yang sudah melakukan yang terbaik untuk menjaga kebajikan kita. Jadi saya tidak boleh bayangkan betapa sukarnya kehidupan buat mereka di Gaza," ujar beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan