Skip to main content

Singapura

Minuman 'viral' popular meskipun mahal; versi tenaga berat kafein menimbulkan kebimbangan kesihatan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Minuman ringan 'viral' Prime Hydration adalah produk keluaran pempengaruh YouTube Logan Paul dan KSI yang sangat popular dalam kalangan kanak-kanak sekolah dan remaja di dalam dan luar negara.

Di kedai The SGFR Store yang mempunyai empat cawangan, minuman itu dijual antara S$10 hingga S$45 bagi edisi terhad.

POPULAR DALAM KALANGAN KANAK-KANAK DAN REMAJA

Related article image
70 peratus pembelinya merupakan pelajar sekolah rendah dan menengah yang tertarik dengan minuman pelbagai perisa ini.

Encik Ashaari Kamrani yang ditemui di kedai itu berkata: "Budak-budak kebanyakannya tonton YouTube dan daripada situ dan kebanyakan 'YouTuber' di Amerika banyak promosikan produk itu."

Seorang lagi pembeli ialah Aqil Zuhri yang tidak begitu bimbang tentang harga minuman itu yang mahal.

"Saya lihat salah satu kawan saya minum jadi saya pun mahu cuba. Tidak kisah saya ada duit saya sendiri," kata beliau.

The SGFR store menyatakan ia menjual sehingga 100 botol minuman itu dalam sehari.

"Ada 10 jenis perisa Prime. Ada perisa lain sukar diperolehi. Misalnya hanya 10,000 botol perisa 'Venice Beach Lemonade' yang dihasilkan. Jadi ia lebih mahal namun ada yang tetap membelinya," jelas pengasas bersama The SGFR store Encik Mod Haikkel Firdhaus.

PRIME ENERGY TINGGI KAFEIN
Related article image
Produk terbaharu yang dikeluarkan pada tahun ini, Prime Energy juga sangat popular.

Setiap tin mengandungi 200 miligram kafein, iaitu hampir seganda jumlah minuman tenaga lain, atau kira-kira enam tin minuman kola berkarbonat.

Ia disasarkan kepada mereka yang bersenam di gim, yang tidak mahu tidur malam atau melakukan pekerjaan aktiviti tinggi.

Terdapat amaran di belakang tin minuman bahawa ia "tidak disyorkan" untuk mereka di bawah umur 18 tahun atau "yang sensitif kepada kafein".

"Ada jumlah kafein yang disarankan untuk (orang) dewasa ialah kira-kira 400 miligram dalam sehari. Untuk remaja atau kanak-kanak lebih daripada 12 tahun sekitar 100 miligram sebenarnya," jelas Pakar pemakanan dan pembimbing Kesihatan Chi Tree Health Cik Amirah Rahmat.

Pembungkusan minuman yang serupa dengan versi tanpa kafein menimbulkan kebimbangan ia akan menarik golongan di bawah umur yang disyorkan.

Disebabkan itulah, beberapa buah sekolah di Australia dan United Kingdom sudahpun mengharamkan minuman itu.

Malah, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika (FDA) digesa menyiasat tentang kesan kesihatannya, terutamanya pada kanak-kanak.
Related article image
Menjawab pertanyaan BERITA Mediacorp, Agensi Makanan Singapura (SFA) berkata bahawa "Peraturan Makanan negara tidak menetapkan had ke atas jumlah kafein yang ditambah kepada minuman."

Namun ia menggesa pengguna supaya berwaspada apabila membeli makanan, terutamanya dalam talian.

Menurut Cik Amirah, kadar 400 miligram kafein untuk orang dewasa adalah tinggi dan boleh memudaratkan.

"400 miligram itu di tahap yang tinggi. Kalau kita bandingkan - satu cawan ekspreso yang kecil itu kandungan kafein dalam 40 miligram. Jadi kalau kita lihat dalam satu hari, boleh ke seseorang itu meminum 10 cawan ekspreso? Ada orang minum dalam dua cawan boleh rasa kesannya. Contohnya degupan jantung yang cepat, rasa mabuk, pening kepala," kata beliau.

The SGFR Store menyatakan tidak menjual Prime Energy kepada mereka yang di bawah usia 18 tahun.

"Pada mulanya, ramai kanak-kanak yang mahu membelinya tetapi ramai ibu bapa yang melahirkan kebimbangan. Maka itu kami tampat pelekat amaran tentang kandungan kafein yang tinggi itu pada tin minuman," kata Encik Mohd Haikkal

Tambahnya, kakitangan di kedai akan memeriksa kad pengenalan semua pembeli yang mahu mendapatkan minuman tersebut.
Sumber : BERITA Mediacorp/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita