Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MinLaw usul Khidmat Undang-Undang dibahagi dua

Draf undang-undang diusulkan pada Isnin (4 Okt) untuk membahagi Khidmat Undang-Undang kepada dua suruhanjaya berbeza yang membolehkan pengkhususan lebih luas dalam tugas para pegawai.

Anggaran Waktu Membaca:
MinLaw usul Khidmat Undang-Undang dibahagi dua

Gambar fail Mediacorp.

Diterbitkan : 04 Oct 2021 02:28PM Dikemas Kini : 04 Oct 2021 02:34PM

SINGAPURA: Bagi menawarkan pengkhususan yang lebih luas kepada para pegawai khidmat perundangan dan kehakiman, Pemerintah hari ini (4 Okt) mengemukakan dua Rang Undang-Undang yang mengusulkan untuk menyusun semula Khidmat Undang-Undang kepada suruhanjaya yang berasingan untuk dua kumpulan yang berbeza itu.

Langkah yang diusulkan itu adalah disebabkan bertambahnya jumlah pegawai Perkhidmatan Undang-Undang saban tahun, daripada 235 pada 1995 kepada sekitar 800 sekarang.

Kesemua mereka dikerahkan di seluruh badan pemerintah dan badan-badan negara, sama ada dalam peranan kehakiman seperti di mahkamah, atau dalam peranan undang-undang dalam kementerian dan Pejabat Peguam Negara.

Berdasarkan dua draf undang-undang itu - Rang Undang-Undang (Pindaan) Perlembagaan Republik Singapura dan Rang Undang-Undang (Pelbagai Pindaan) Khidmat Kehakiman - yang dibentangkan di Parlimen hari ini oleh Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong, Pemerintah mengusulkan satu Suruhanjaya Khidmat Kehakiman baru yang diketuai oleh Ketua Hakim Sundaresh Menon.

Sekiranya kedua-dua Rang Undang-Undang tersebut diluluskan, sekitar 220 pegawai yang memegang jawatan kehakiman, seperti penolong pendaftar di Mahkamah Tinggi serta hakim daerah dan majistret di Mahkamah Negara dan Mahkamah Keluarga, akan menjadi sebahagian daripada suruhanjaya baru itu.

Lagi 580 pegawai khidmat undang-undang lain dicadangkan membentuk Suruhanjaya Khidmat Undang-Undang yang disusun semula, dipimpin oleh Peguam Negara Lucien Wong.

Rang Undang-Undang tersebut mengusulkan agar kedua-dua perkhidmatan tersebut termasuk Pengerusi Suruhanjaya Khidmat Awam, yang buat masa ini adalah Encik Lee Tzu Yang, yag menyandang jawatan sebagai sebagai naib presiden.

Pindaan tersebut, jika diluluskan, dijangka akan dilaksanakan pada Januari tahun depan.

Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dalam satu kenyataan setelah Rang Undang-Undang tersebut dibentangkan, menyatakan bahawa langkah-langkah yang diusulkan itu akan membolehkan Khidmat Undang-Undang meraih manfaat daripada pengkhususan yang lebih luas dan meletakkannya pada "kedudukan yang lebih baik untuk masa depan".

Anggota Parlimen (AP) Bukit Batok Murali Pillai, dalam usul pada hujung sidang Parlimen pada Julai, berhujah bahawa Suruhanjaya Khidmat Kehakiman yang berasingan, dengan sekretariat dan kemampuan sendiri untuk melantik pegawai, akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memupuk karyawan pakar pegawai kehakiman.

Ini boleh menjadikan kos undang-undang lebih rendah bagi mereka yang terlibat dalam tuntutan mahkamah, kata Encik Pillai, peguam kanan dan rakan kongsi di firma undang-undang Rajah & Tann.

Ketika itu, Menteri Undang-Undang K Shanmugam menjawab bahawa Pemerintah bersedia untuk menimbangkan penyusunan semula Khidmat Undang-Undang dengan syarat beberapa ciri yang diinginkan, seperti memastikan luasnya pendedahan bagi para pegawai muda, dapat dikekalkan dengan cara wajar.

MinLaw hari ini menyatakan bahawa ia memutuskan untuk mengambil langkah itu sekarang untuk menyusun semula Khidmat Undang-Undang "ketika sistem ini stabil dan berfungsi dengan baik", sehingga membolehkan ruang untuk memberikan ruang memperhalusi apa yang diperlukan selepas penyusunan semula dilaksanakan.

Peguam Negara Wong berkata bahawa langkah yang diusulkan itu merupakan langkah yang perlu dalam evolusi rangka kerja perundangan Singapura, sementara Ketua Hakim Menon berkata pengasingan berstruktur itu akan membolehkan pembangunan rangka kerja pengurusan pegawai serta membuka peluang bagi latihan pakar dan pembangunan profesional.

Ini, kata ketua hakim, akan "memenuhi keperluan tertentu pegawai undang-undang sektor awam dengan lebih baik".

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan