MinLaw, MHA sangkal kenyataan 2 kumpulan hak asasi manusia berhubung hukuman mati
Kementerian Undang-undang (MinLaw) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) pada Khamis (8 Sep) menyangkal kenyataan yang dikeluarkan dua kumpulan hak asasi manusia global mengenai hukuman mati yang dijalankan di Singapura, menyatakan ia mengandungi maklumat "tidak tepat serta salah faham".
Gambar: CNA
The International Bar Association’s Human Rights Institute (IBAHRI) dan International Commission of Jurists (ICJ) pada bulan lalu menerbitkan kenyataan-kenyataan yang menggesa Singapura supaya melaksanakan moratorium atau penggantungan sementara ke atas hukuman mati.
The International Bar Association terdiri daripada pengamal undang-undang, persatuan peguam dan guaman dari lebih 170 negara.
Ia juga mendakwa "dalam beberapa bulan kebelakangan ini, mahkamah Singapura mengenakan arahan mahkamah terhadap peguam kerana memfailkan permohonan yang 'remeh, menyakitkan hati atau menyalahgunakan proses' pada saat-saat akhir bagi pihak anak guam mereka yang akan menjalani hukuman mati.
IBAHRI menambah "perintah kos ganti rugi mahkamah yang membebankan meningkatkan keprihatinan berhubung akses kepada keadilan dan perwakilan undang-undang yang berkesan serta hak ke atas perbicaraan yang adil".
ICJ, yang berusaha untuk membela hak asasi manusia dan peraturan undang-undang di merata dunia, juga melahirkan keprihatinan berhubung perintah kos ganti rugi itu.
Perintah kos ganti rugi membebankan yang dikenakan menghalang banduan yang bakal menjalani hukuman mati akses kepada keadilan dan pemulihan yang berkesan, tambah pertubuhan bukan pemerintah itu.
Kenyataan-kenyataan tersebut tidak tepat, tegas MinLaw dan MHA dalam kenyataan bersama untuk menangani setiap pertubuhan tersebut.
"Di Singapura, semua orang yang berdepan hukuman mati mempunyai akses kepada keadilan dah perwakilan oleh seorang peguam," menurutnya.
“Jika seseorang didakwa dengan kesalahan yang membawa kepada hukuman mati tidak mampu mendapatkan khidmat seorang peguam, peguam akan ditawarkan kepada individu itu secara percuma, tidak kita kewarganegaraan mereka, di bawah Skim Bantuan Guaman untuk Kesalahan Hukum Mati.
“Tindakan tidak pernah diambil terhadap peguam kerana mewakili individu yang berdepan hukuman mati."
Namun hak untuk mendapatkan peguam bagi membela semua defendan tidak bermakna orang ramai boleh menyalahgunakan proses mahkamah, jelas MinLaw dan MHA.
"Dalam banyak bidang kuasa, mahkamah mempunyai kuasa untuk mencegah proses mahkamah daripada disalahgunakan."
Kedua-dua IBAHRI dan ICJ "tidak boleh benar-benar mencadangkan seolah-olah ia mahu menyalahgunakan proses mahkamah supaya tidak dijatuhi hukuman," tambah MinLaw dan MHA.
MAHKAMAH S'PURA TANGANI KES SALAH GUNA
MinLaw dan MHA menyatakan Mahkamah Tinggi Singapura sudahpun mengambil langkah-langkah untuk menangani penyalahgunaan dalam kedua-dua kes hukuman mati mahupun bukan.
Kenyataan dikeluarkan oleh IBAHRI dan ICJ merujuk kepada satu kes melibatkan 24 individu yang diwakili peguam sepenuhnya, yang ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura sebanyak dua kali selepas 24 percubaan untuk membuka semula kes mereka.
ETNIK, STATUS SOSIOEKONOMI 'TIDAK ADA PERANAN'
Dalam kenyataannya, IBAHRI juga merujuk kepada satu komen yang dibuat oleh Pelapor Khas dan anggota Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyatakan bahawa di Singapura "jumlah tidak seimbang mereka yang dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan berkaitan dadah adalah individu daripada kumpulan minoriti dan dari latar belakang kurang bernasib baik dari segi ekonomi."
Begitu juga bagi ICJ, yang menukil satu saranan oleh Jawatankuasa bagi Penghapusan Diskriminasi Perkauman yang meminta Singapura supaya, berhubung kesalahan mengedar dadah, menyemak semula dan meminda "undang-undang serta dasar-dasarnya yang membawa kepada kesan berbeza mengikut perkauman dalam sistem keadilan jenayah". Selain itu, jawatankuasa tersebut juga meminta Singapura supaya melaksanakan "strategi atau pelan tindakan nasional yang berkesan disasarkan untuk menghapuskan diskriminasi struktural".
"Ia akan membantu sekiranya mereka yang membuat komen sedemikian menjelaskan sama ada mereka mencadangkan seolah-olah keadilan bergantung kepada etnik dan status sosio-ekonomi seseorang individu," respons MinLaw dan MHA.
"Etnik dan status sosioekonomi tiada peranan dalam pelaksanaan tugas secara profesional oleh agensi penguatkuasaan undang-undang di Singapura, dalam keputusan pendakwaan Pendakwa Raya serta dalam keputusan Mahkamah."
Kementerian-kementerian itu menambah: "Undang-undang Singapura dikenakan sama rata kepada semua, tanpa mengira kaum, warna kulit, keturunan, etnik mahupun kewarganegaraan. Semua orang dilayan sama rata dan dikenakan proses yang wajar di bawah undang-undang kami."
TIADA KATA SEPAKAT TENTANG HUKUMAN MATI
Berhubung pelaksanaan hukuman mati, MinLaw dan MHA menyatakan "tiada asas" untuk menegaskan bahawa ini merupakan satu pelanggaran undang-undang antarabangsa.
“Tiada kata sepakat antarabangsa terhadap pelaksanaan hukuman mati apabila ia dijatuhkan mengikut proses undang-undang dan dengan perlindungan kehakiman," menurutnya.
"Setiap negara mempunyai hak kedaulatan untuk menentukan sistem keadilan jenayahnya sendiri, dengan mempertimbangkan keadaannya sendiri dan dikenakan mengikut kewajipan undang-undang antarabangsa. Hak ini seharusnya dihormati."
MinLaw dan MHA menyatakan berdasarkan pengalaman Singapura, hukuman mati mempunyai "kesan pencegahan yang jelas" ke atas pengedar dadah dan membantu mencegah sindiket dadah utama daripada bertapak di sini.
Kedua-dua kementerian itu meminta IBAHRI dan ICJ supaya "memeriksa fakta-fakta sebelum mengeluarkan kenyataan-kenyataan sedemikian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.