Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MinLaw, IPOS minta maklum balas awam bagi rangka Rang Undang-Undang Hak Cipta

Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Pejabat Hak Milik Intelektual Singapura (IPOS) sedang meminta maklum balas orang ramai mengenai rangka Rang Undang-Undang yang bertujuan untuk memansuhkan dan menggantikan Akta Hak Cipta sedia ada.

Anggaran Waktu Membaca:
MinLaw, IPOS minta maklum balas awam bagi rangka Rang Undang-Undang Hak Cipta

Gambar fail: Kementerian Undang-Undang Singapura

Diterbitkan : 05 Feb 2021 04:51PM Dikemas Kini : 05 Feb 2021 04:58PM

SINGAPURA: Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dan Pejabat Hak Milik Intelektual Singapura (IPOS) sedang meminta maklum balas orang ramai mengenai rangka Rang Undang-Undang yang bertujuan untuk memansuhkan dan menggantikan Akta Hak Cipta sedia ada.

Rangka Rang Undang-Udang itu bertujuan untuk mengemas kini undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hak baru untuk pencipta kandungan, memperluas hak penggunaan bagi pengguna dan memperbaiki huraian untuk perantara.

Perubahan-perubahan ini akan "dapat menangani dengan lebih baik bagaimana karya dengan hak cipta dihasilkan dan digunakan hari ini," kata pihak berkuasa dalam kenyataan media pada Jumaat (5 Feb).

Rang Undang-Undang tersebut juga akan meningkatkan akses serta ketelusan undang-undang tersebut, tambah MinLaw dan IPOS.

Pencipta kandungan akan dilindungi dengan lebih baik di bawah rangka Rang itu, yang memberi pereka dan penghibur "hak untuk dikenal pasti setiap kali karya atau persembahan mereka digunakan secara terbuka".

Mereka juga secara automatik memiliki karya yang ditugaskan kepada mereka, termasuk gambar, potret, ukiran, rakaman suara dan filem, kecuali dinyatakan sebaliknya dalam kontrak.

HAK DIPERLUAS BAGI PENGGUNA KARYA

Rang Undang-Undang itu juga akan menawarkan "hak penggunaan diperluas" kepada semua pengguna karya hak cipta.

Bagi guru dan pelajar, ini bermakna hak baru untuk menggunakan bahan online yang sesuai untuk tujuan pendidikan, sama ada untuk sesi pembelajaran online atau secara bersemuka.

Galeri, perpustakaan, arkib dan muzium juga akan mempunyai hak lebih luas bagi penggunaan tertentu hasil-hasil karya untuk memudahkan tugas mereka. Ini termasuk bagi tujuan pameran atau pemeliharaan dan menyediakan senarai karya.

Kategori pengguna ketiga - perantara - juga akan mendapat manfaat dari rangka Rang tersebut, yang memperuntukkan "kewajipan sivil dan jenayah baru bagi urusan komersil bagi kotak set-top TV haram". Kotak set-top haram biasanya digunakan untuk penstriman kandungan tanpa kebenaran dari pemilik hak cipta.

TARIKH AKHIR 1 APR UNTUK BERI MAKLUM BALAS

Proses maklum balas awam itu dilakukan dalam dua bahagian, dengan kedua-duanya berakhir pada 1 April.

Bahagian pertama yang melibatkan rundingan awam, bermula 5 Februari, di mana peserta diminta memberi pandangan tentang sama ada rangka Rang itu "akan melaksanakan dengan sewajarnya usulan yang dikemukakan sebelum ini pada 2016 dan diterbitkan dalam laporan pada 2019", kata pihak berkuasa.

Ia juga akan mendapatkan pandangan tentang sama ada bahasa yang disemak dalam rangka Rang itu memudahkan undang-undang tersebut difahami.

Bahagian kedua maklum balas awam, yang akan dikeluarkan pada 22 Februari, akan meminta "pandangan mengenai peruntukan berhubung peraturan yang berkaitan dengan badan pengurusan kolektif, yang secara berasingan diketengahkan bagi maklum balas awam pada 2017 dan 2020", kata MinLaw dan IPOS.

Orang ramai, terutamanya pengamal undang-undang, cendekiawan, pereka kandungan, pengguna kandungan, penghibur dan institusi yang berminat dipelawa untuk memberikan maklum balas mereka, dan dapat melihat makalah perundingan awam di sini.

Semua maklum balas harus diserahkan dengan tajuk“Feedback on Copyright Bill Consultation Paper” dan dihantar menerusi emel ke MLAW_Consultation [at] mlaw.gov.sg.  

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan