Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MINDS tawar hamper biskut hasil air tangan golongan istimewa khas bagi sambutan Hari Ibu

Sebaik sahaja mendapat tahu beliau bakal menimang seorang anak istimewa, tiga perkara membelenggu fikiran Cik Mastura Zulkiflee.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Sebaik sahaja mendapat tahu beliau bakal menimang seorang anak istimewa, tiga perkara membelenggu fikiran Cik Mastura Zulkiflee.

Dapatkah dia menerima seorang anak yang mengalami Sindrom Down? Bolehkah anaknya itu berdikari seperti anak-anak lain? Kalau sudah tiada nanti, siapa yang bakal menjaganya?

Siapa sangka, 23 tahun kemudian, anak yang dinamakan Siti Rasyidah itu, menjadi bunga yang tumbuh mekar dalam taman hatinya. Bahkan, Rasyidah membuktikan mereka yang mengalami Sindrom Down juga boleh mencari sesuap nasi sendiri.

Rasyidah kini bekerja sebagai seorang pembuat biskut di Gerakan Bagi Golongan Kurang Upaya Intelektual (MINDS). Bersama rakan-rakan lain, beliau menerap, membakar dan membungkus biskut bagi memenuhi tempahan-tempahan korporat.

Bukan calang-calang pembuat biskut, Rasyidah juga pernah bertungkus-lumus memenuhi lebih 1,000 tempahan pada satu-satu masa. Yang terkini pula, beliau dan para pembuat biskut MINDS Bakers, mengambil tempahan biskut sempena sambutan Hari Ibu, 12 Mei.

Pastinya, melihat sendiri anaknya itu berdikari dan membawa kemanisan kepada mereka yang bergelar Ibu, menjadi satu 'hadiah' tak ternilai bagi Cik Mastura, 55 tahun.

DULU HARAPAN TIPIS DAPAT MASUK SEKOLAH, KINI BAWA PULANG ELAUN

Mengenang kembali detik-detik Rasyidah membesar, Cik Mastura menceritakan kepada BERITAmediacorp bagaimana anak gadisnya itu perlahan-lahan melangkah mencapai kemajuan dalam hidup sehingga dapat bekerja di bawah projek keusahawanan sosial MINDS Bakers.

"Peluang dia dapat masuk sekolah dulu sangat tipis. Sebab itu, antara detik paling manis bagi saya adalah ketika mendapat tahu dia dapat bersekolah di Rainbow Centre. Lepas tu dia melangkah ke sekolah MINDS," cerita Cik Mastura.

Rasyidah juga menjalani pelbagai terapi agar dapat bertutur dan mempelajari kemahiran-kemahiran yang perlu baginya untuk berdikari.

Pada usia 18 tahun, Rasyidah mengikuti kursus Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dan berjaya mendapat sijil. Minat dan sijil yang diraih Rasyidah pula menjadi 'tiket' baginya untuk bekerja di baking room MINDS.

Sudah lima tahun Rasyidah bekerja dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang pada hari-hari biasa - membawa pulang elaun hasil titik peluhnya sendiri. Namun, sepanjang Rasyidah bekerja, ini merupakan kali pertama beliau dan 21 pembuat kuih istimewa lain mengambil tempahan khusus sempena Hari Ibu.

Lebih manis lagi, beberapa hari sebelum Hari Ibu, ibunya dapat menyaksikan sendiri beliau bekerja. Melihat Cik Mastura di tempat kerjanya, tiada apa yang dapat diungkapkan, kecuali deraian air mata kerana berasa terharu. Apa lagi Cik Mastura tidak segan-segan mengatakan beliau bangga akan anaknya itu. 

MINDS RANCANG KEMBANGKAN LAGI KEUSAHAWANAN SOSIAL

Sejak ditubuhkan pada 2012, MINDS Bakers membantu mereka yang kurang upaya intelektual mempelajari kemahiran-kemahiran asas di dapur.

Semasa ditubuhkan, hanya ada lima pekerja dan seorang jurulatih di mana resipi-resipi mudah digunakan. Bagaimanapun, sepanjang tujuh tahun lalu, MINDS Bakers terus berkembang. Kini 22 pembuat biskut istimewa bekerja dengan MINDS Bakers!

"Sokongan daripada syarikat-syarikat korporat dan masyarakat umum sangat memberangsangkan. Ada yang membuat tempahan besar, ada yang tempah bagi acara perkahwinan, sambutan hari jadi," kata Pengarah Pembanguan Perusahaan Sosial & Pengambilan Pekerja, Kevin Chew.

Menariknya, biskut-biskut yang dihasilkan merupakan pilihan makanan lebih sihat, di mana tiada bahan pengawet digunakan. Gula juga dikurangkan.

Namun, ramai yang ingin membeli biskut-biskut MINDS Bakers sebenarnya ingin merasakan kemanisan istimewanya. "Ia hasil air tangan mereka yang kurang upaya dan ia tidak mudah bagi mereka. Jadi nilainya lebih tinggi berbanding jika anda membeli hadiah di luar," kata seorang pembeli yang sempat ditemui BERITAmediacorp.

Semua hasil penjualan pula diperuntukkan bagi para pembuat biskut, yang membawa pulang elaun setiap bulan.

"Memandangkan sambutannya sangat baik sekali, kami merancang untuk mengembangkan lagi MINDS Bakers. Bermakna dari segi menyediakan kemudahan lebih besar dan lengkap atau mengambil lebih ramai pembuat biskut istimewa," dedah Encik Chew.

Malah, ada juga perancangan untuk mendapatkan sijil halal bagi biskut-biskut yang dihasilkan pada masa akan datang. Buat masa ini, MINDS Bakers memastikan semua bahan-bahan yang digunakan dalam dapurnya adalah dari sumber halal.

DAPUR DULU BAGAI "PERANG DUNIA KEDUA", KINI PEMBUAT KUIH KIAN MAJU

Hakikatnya, MINDS Bakers juga pernah berdepan dengan banyak cabaran sebelum mencapai kejayaan.

"Dulu saya dan rakan tidak tahu-menahu tentang membuat kuih. Kemudian kita harus belajar cara mengendalikan kelas ini," kata jurulatih, Encik Mohd Rohaizat Amat.

"Dapur kita pun kecil. Kita mesti duduk, fikir bagaimana cara jalankan operasi. Banyak cabaran. Mula-mula nak katakan macam perang dunia kedua. Terpekik sana, terpekik sini. Alhamdulillah, kini seperti yang anda lihat sekarang, semuanya lancar," tambahnya.

Bukan sahaja operasi MINDS Bakers kian lancar, para pembuat biskut yang istimewanya juga dapat mempelajari kemahiran-kemahiran baru.

"Siti Rasyidah dulu pemalu. Pemalu sekali. Kerjanya pun tak secepat mana yang sekarang. Tetapi sekarang dia punya perubahan, cukup bagus. Dia banyak inisiatif sendiri, dan kebanyakannya semua dia boleh bikin," cerita Encik Rohaizat.

Yang pasti, yang paling teruja melihat perkembangan Rasyidah tidak lain dan tidak bukan adalah ibu bapanya. Sebagai seorang ibu, Cik Mastura berharap, anak ketiga daripada empat beradik itu akan terus dapat belajar untuk berdikari dan dijaga saudaranya apabila beliau sudah tiada nanti.

"Dia satu anugerah bagi keluarga kita. Mungkin untuk kita bersama, Happy Family. Bond together. Sama-sama. Kita belajar menyayangi satu sama lain. Kita tak pernah endah dia, kita selalu sayang dia, it shows that family loves her so much."  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan