Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MINDS Hub Central tawar akses sehenti bagi golongan kurang daya intelek

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Premis baru MINDS Hub Central yang dirasmikan hari ini (16 Nov) bertujuan berfungsi sebagai pusat sehenti bagi golongan kurang daya Intelek.

Ia menyediakan program dan perkhidmatan khusus termasuk penilaian, perancangan jagaan masa depan, sokongan pekerjaan dan banyak lagi.

Selain itu, pemeriksaan gigi dan mata yang ditawarkan bagi golongan kurang daya intelek disediakan secara percuma.

--

Bangunan yang terletak di kawasan kejiranan Queen's Road itu bertujuan mendampingi golongan kurang daya intelek dan keluarga mereka dengan lebih rapat.

Ini sekali gus membantu mereka memanfaatkan perkhidmatan-perkhidmatan yang sedia ada untuk memenuhi keperluan mereka.

Selain itu, MINDS Hub juga adalah ruang selamat tambahan bagi para penjaga untuk berkumpul bersama dan saling memberi sokongan serta berkongsi pengalaman masing-masing.

Berucap di pembukaan rasmi MINDS Hub pada Rabu (16 Nov), Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Masagos Zulkifli menekankan pentingnya ruang seperti itu untuk membolehkan golongan kurang daya intelek mengambil bahagian secara aktif dalam masyarakat serta hidup berdikari.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa MSF baru-baru ini melantik MINDS untuk menyediakan khidmat-khidmat menyeluruh di bawah Program Aplikasi Timbalan Dibantu (ADAP).

Program tersebut memudahkan permohonan timbalan oleh para penjaga kurang daya intelek yang tidak memiliki keupayaan mental.

Ini memberi hak kepada para penjaga untuk membuat keputusan guaman bagi pihak mereka.

"Sebagai Agensi ADAP yang dilantik, MINDS akan menyokong sekolah-sekolah Pendidkan Khas, Pusat Aktiviti Harian dan Bengkel-Bengkel Terlindung dalam menjalankan penilaian keupayaan mental bagi para pelajar dan klien-klien dan membimbing para penjaga dalam proses pentadbiran bagi memohon untuk timbalan.

"Dengan pelantikan Agensi ADAP, lebih ramai penjaga akan dapat memanfaatkan program itu," kata Encik Masagos.

Menurut CEO MINDS Encik Kelvin Koh, sehingga 80 peratus golongan kurang daya intelek dalam masyarakat mungkin tidak didiagnos atau menerima bantuan.

"Lantaran ini kami berperanan untuk menghubungkan dan merujuk mereka kepada perkhidmatan yang diperlukan, sekali gus memadankan mereka kepada khidmat-khidmat yang betul. Ini agar keperluan klien mahupun penjaga dipenuhi," ujar Encik Kelvin Koh kepada BERITAmediacorp.

Tambahnya, para penjaga individu kurang daya intelek kini juga lebih peka mengenai khidmat-khidmat berasaskan masyarakat.

Sebagai seorang penjaga, Encik Mohamed Syahid memberitahu BERITAmediacorp bahawa inisiatif-inisiatif yang dikendalikan MINDS telah banyak membantunya.

--

Menurutnya, beliau menghubungi MINDS kerana ingin adiknya, Encik Saiful Azfar menjalani rawatan kesihatan dan mendapatkan sokongan yang sewajarnya dalam kehidupan sehariannya.

Kata Encik Syahid: "Melalui inisiatif seperti ini, ia dapat membantu kita sebagai penjaga. Kita terlampau banyak tanggungjawab, jadi kita tidak ada kemampuan untuk mencari lebih banyak maklumat. Jadi kalau maklumatnya lebih mudah untuk kita dapati dan memahami, ia akan lebih memberi manfaat untuk kita semua."

MINDS merancang untuk menubuhkan dua lagi pusat MINDS di kawasan barat dan timur Singapura dalam masa dua tahun.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan