MINDEF tekankan Amirull Ali tidak cuba pengaruhi rakan NS, tiada peralatan hilang
MINDEF maklumkan ISD Amirull Ali mungkin sudah jadi radikal sendiri.

Replika senapang AK-47 yang dibuat sendiri oleh Amirull menggunakan kayu dan plastik.(Gambar: MHA)
SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) menyatakan bahawa anggota Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa Amirull Ali, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak cuba mempengaruhi rakan-rakannya yang lain di unit NS dan tiada peralatan hilang dalam unitnya.
Demikian menurut MINDEF dalam kenyataan medianya hari ini (10 Mac).
Amirull, 20 tahun ditahan kerana merancang melakukan serangan ke atas masyarakat Yahudi di rumah ibadat mereka di Waterloo Street.
MINDEF mendapati Amirull yang berkhidmat sebagai penolong sokongan pentadbiran mungkin sudah menjadi radikal oleh ideologi-ideologi pelampau.
Siasatan yang dijalankan oleh ISD selepas dimaklumkan oleh MINDEF mengenai Amirull mendedahkan bahawa dia menjadi radikal secara sendiri.
Menerusi kenyataan medianya, SAF menekankan bahawa ia akan terus memastikan tahap kewaspadaan tinggi terhadap tanda-tanda radikalisme dan gejala fahaman pelampau dalam kalangan pegawainya.
Menurut ISD, Amirull sudah membuat persiapan untuk melakukan serangan dengan menggunakan pisau, di rumah ibadat Yahudi di Waterloo Street itu.
Dia juga membuat perancangan teliti untuk pergi ke Gaza di Palestin bagi menyertai sayap tentera kumpulan Hamas, iaitu Briged Izz ad-Din al-Qassam (AQB) bagi memerangi Israel.
Amirull bagaimanapun ditangkap pada 5 Februari 2021 dan pada Jumaat lalu (5 Mac) dia dikenakan Perintah Tahanan di bawah ISA.
ISD menekankan bahawa Amirull ditangkap kerana mahu melakukan pembunuhan, bukan kerana menunjukkan sokongannya terhadap penduduk Palestin.
Jabatan tersebut menyatakan siasatannya sehingga kini menunjukkan bahawa Amirull bertindak sendirian berhubung rancangan-rancangannya itu dan tiada tanda bahawa dia cuba mempengaruhi orang lain.
Dia juga tidak membabitkan orang lain dalam rancangan-rancangan serangannya. Anggota keluarganya sendiri dan orang-orang dalam lingkaran sosialnya juga tidak sedar akan rancangannya untuk melakukan serangan ke atas orang Yahudi di negara ini.
ISD menekankan bahawa ia tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap sebarang individu di Singapura yang menyokong, menggalak, mengambil atau membuat persiapan untuk mengangkat senjata secara ganas, tanpa mengira apa jua alasan mereka atau di mana keganasan itu akan berlaku.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.