Skip to main content

Singapura

MINDEF sedia benarkan lebih ramai 'henti sementara' NS untuk jalani latihan, beraksi dalam pertandingan antarabangsa

Anggaran Waktu Membaca:
MINDEF sedia benarkan lebih ramai 'henti sementara' NS untuk jalani latihan, beraksi dalam pertandingan antarabangsa

Rekrut dari kumpulan BMT 02/21 (Gambar: Facebook/Pusat Latihan Asas Tentera)

SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) bersedia untuk membolehkan lebih ramai orang buat sementara waktu henti menjalani Perkhidmatan Negara (NS) sepenuh masa mereka untuk menjalani latihan dan mengambil bahagian dalam pertandingan antarabangsa.

Demikian dinyatakan Menteri Pertahanan Ng Eng Hen di Parlimen pada Selasa (5 Jul).

Dr Ng akur atlit negara mahu melakukan yang terbaik dalam NS dan juga pertandingan. Meskipun ada yang sudahpun mencapainya, kata beliau ia "bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan" dan menasihatkan agar tidak membuat jangkaan tidak realistik ke atas mereka semua.

"Sekalipun demikian, untuk mereka yang mahu mengejar kedua-dua matlamat, MINDEF bersedia untuk membenarkan lebih banyak hentikan NS mereka buat sementara waktu untuk menjalani latihan dalam pertandingan antarabangsa," kata beliau.

"Ini berdasarkan pemahaman bahawa mereka akan memenuhi tempoh penuh (NS) selepas itu dan juga menjalankan tugas NS pada tahap memuaskan semasa menjalani Perkhidmatan Negara."

Gangguan itu adalah bagi jangka pendek, sementara penangguhan adalah bagi jangka panjang dan mungkin melengahkan mereka mula menjalani NS secara sepenuh masa.

"MINDEF menekankan bahawa semua Anggota Kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) mesti menjalankan tugas mereka, dan gangguan jangka pendek atau cuti bagi atlit untuk menjalani latihan dan bersaing dalam pertandingan antarabangsa hanya dibenarkan di luar waktu genting NS," kata Dr Ng.

Atlit yang dibenarkan berhenti sementara atau cuti untulk menyertai Sukan SEA baru-baru ini pada Mei termasuk atlit tenis meja Koen Pang, atlit lompat pagar Ang Chen Xiang dan atlit triatlon Luke Chua.

Dr Ng berkata demikian semasa menjawab pertanyaan NCMP Parti Kemajuan Singapura (PSP), Leong Mun Wai, yang ingin tahu sama ada MINDEF akan melonggarkan kriteria kelayakan untuk menangguh NS bagi mereka yang berpotensi mencapai kejayaan besar dalam bidang sukan dan seni.

"Penangguhan jangka panjang daripada NS sepenuh masa, seperti yang disebut oleh Anggota Parlimen, hanya bagi keadaan luar biasa, untuk mereka yang berpotensi menang pingat dalam pertandingan-pertandingan antarabangsa peringkat tinggi seperti Sukan Olimpik," kata beliau.

Dr Ng memberi contoh perenang negara Joseph Schooling dan Quah Zheng Wen, yang dibenarkan menangguh (NS) masing-masing selama tujuh dan enam tahun bagi Sukan Olimpik 2016 dan 2020.

"Oleh itu, setiap rayuan untuk menangguh dan ganggu sementara NS mereka bagi bakat sukan dan seni mesti lulus kriteria yang tinggi," kata beliau.

"Setiap permintaan dinilai berdasarkan merit sendiri, menerusi rundingan dengan MCCY (Kementerian Budaya, Masyarakat dan Belia), mengambil kira pencapaian lalu pemohon dan potensi untuk cemerlang dalam pertandingan antarabangsa dan mengharumkan nama negara."

Meskipun diberi kebenaran, MINDEF mesti memastikan bahawa tugas NS pemohon masih dipandang serius dan mereka mesti dilatih untuk menjadi cekap dalam tugas yang ditetapkan, ujar Dr Ng.

Ini termasuk tempoh seperti Latihan Asas Tentera (BMT), kursus spesialis dan komander serta operasi utama unitnya, yang mesti dipenuhi pemohon sebagai sebahagian daripada tugas NS.

Meskipun terdapat kriteria yang ketat, Dr Ng berkata tidak semua rakyat Singapura menyokong menangguhkan atau mengganggu tempoh NS bagi atlit negara, sambil merujuk surat forum yang menyatakan lebih penting untuk menjalani NS demi keselamatan dan keamanan Singapura berbanding dengan meraih pingat.

"MINDEF juga menerima surat daripada rakyat Singapura dari masa ke masa mempersoalkan keadilan, apabila atlit yang diberi penangguhan menerima hadiah berupa wang menerusi tajaan
produk, manakala yang lain perlu menjalani Perkhidmatan Negara seperti yang diwajibkan," kata beliau.

"Saya memetik kritikan-kritikan ini, untuk menunjukkan bahawa meskipun kebenaran diberikan secara berhati-hati, penangguhan dan gangguan boleh mewujudkan kesan merosakkan, menyebabkan perbandingan antara individu bahawa sebahagian daripada mereka diberi layanan khas dan tidak menjalankan tugas NS mereka."

Meskipun MINDEF meneruskan semakan jawatankuasa untuk menangani perkara itu dan isu-isu lain NS sebagai insiatif atas ke bawah, terdapat juga "ruang" bagi dialog dengan masyarakat, kata Dr Ng.

"Apabila semakan seterusnya dasar-dasar NS dijalankan, MINDEF akan menyertakan pandangan daripada seluruh spektrum penyokong dan pengkritik penangguhan dan gangguan bagi bakat sukan dan seni," kata beliau.

Dr Ng menekankan bahawa semua orang, tidak kira bakat atau status, mesti memenuhi kewajipan NS mereka sebagai keutamaan dan semua kegiatan peribadi "adalah yang kedua" semasa menjalani NS sepenuh masa.

"Saya bangga bahawa atlit negara kita memahami dan menerima tugas Perkhidmatan Negara," tambah beliau.

"Tiada antara mereka yang meminta dikecualikan daripada tugas Perkhidmatan Negara, termasuk mereka yang gigih menjalani latihan dan menyertai acara-acara serantau dan antarabangsa baru-baru ini."
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita