MINDEF sahkan pemeriksaan dijalankan bagi halang individu tertentu peroleh kemahiran 'sebagai askar'
Proses pemeriksaan dijalankan bagi memastikan individu yang menimbulkan ancaman keselamatan tidak diberi peranan yang membolehkan mereka membina kemahiran "sebagai askar", menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) pada Khamis (9 Jan).
![MINDEF sahkan pemeriksaan dijalankan bagi halang individu tertentu peroleh kemahiran 'sebagai askar' MINDEF sahkan pemeriksaan dijalankan bagi halang individu tertentu peroleh kemahiran 'sebagai askar'](https://dam.mediacorp.sg/image/upload/s--hT7RrIgu--/c_fill,g_auto,h_468,w_830/f_auto,q_auto/v1/mediacorp/berita/images/2025/01/09/soldier.jpg?itok=_1bpa3Ov)
(Gambar: Facebook/BMTC)
MINDEF menyatakan demikian selepas tiga lelaki yang menjadi radikal sendiri ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada November 2024.
Salah seorang daripadanya, Nurisham Yusoff, 44 tahun berkata bahawa kemahiran mengendalikan senjata yang diperolehi semasa di Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dapat membantu dalam hasratnya menyertai sayap tentera Hamas.
"Ia adalah satu kebimbangan yang sah dan ancaman keselamatan apabila anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) boleh menggunakan kemahiran yang ditimba dari SAF untuk melakukan tindakan jenayah atau pengganasan," kata seorang jurucakap MINDEF dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp.
Jabatan Keselamatan Tentera MINDEF kerap menjalankan pemeriksaan bagi mengenal pasti individu yang mungkin menimbulkan ancaman sedemikian, katanya.
"Jika dikenal pasti, individu tersebut tidak akan diberi peranan yang memerlukan kemahiran sebagai askar atau mendapat akses kepada peralatan yang menimbulkan ancaman."
Jabatan Keselamatan Tentera juga bekerja rapat dengan agensi-agensi keselamatan pemerintah yang lain, menurut MINDEF.
Ia menambah para komander SAF sering mendampingi askar-askar mereka bagi "mengukuhkan perpaduan dan memupuk persefahaman antara individu daripada latar belakang berbeza".
PENGENDALIAN SENJATA API
Menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD), Nurisham, 44 tahun yakin bahawa ia adalah tanggungjawabnya dari segi agama untuk pergi ke Gaza dan menyertai sayap tentera Hamas, iaitu Briged Al-Qassam (AQB).
Dia bahkan telah mengambil langkah untuk mempersiapkan dirinya untuk melibatkan diri dalam pengganasan bersenjata dan percaya bahawa latihannya bersama SAF adalah "berguna" apabila dia menyertai AQB, menurut ISD.
Nurisham juga telah membuat perancangan untuk membiasakan diri dengan cara menggunakan senjata di sebuah tempat menembak di Batam.
Dia bertindak seorang diri dan tiada petunjuk yang mencadangkan bahawa dia telah menghasut orang lain supaya menjadi radikal atau mengerahkan orang lain di Singapura, menurut ISD.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.