MINDEF, SAF kerjasama dengan pendidik untuk galak lebih ramai dari keluarga susah pohon biasiswa
Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mahukan lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk memohon biasiswa pertahanan.
(Gambar: MINDEF)
SINGAPURA: Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mahukan lebih ramai pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan untuk memohon biasiswa pertahanan.
Ini demi memperluas pencarian bagi pemimpin generasi seterusnya supaya dapat memastikan sistem meritokrasi Singapura berfungsi sebaiknya.
Demi tujuan tersebut, para pegawai kanan MINDEF dan SAF akan bekerjasama dengan pengetua sekolah dan politeknik untuk menggalakkan lebih ramai pelajar daripada keluarga sedemikian, termasuk yang tinggal di rumah-rumah satu bilik hingga tiga bilik, untuk memohon biasiswa pertahanan.
Demikian didedahkan Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen di satu majlis penyampaian biasiswa di Istana pada Jumaat (20 Jul).
"Kriteria pemilihan tetap berdasarkan merit, namun kita perlu akur bahawa mereka yang datang daripada keluarga kurang berkemampuan memerlukan lebih dorongan dan sokongan," kata Dr Ng.
Beliau menambah: "Saya tidak mahu satu hari nanti di Singapura berlakunya situasi di mana seorang yang datang daripada keluarga susah berkata 'Saya tidak mahu membuat permohonan biasiswa kerana saya tidak ada peluang'."
Dr Ng turut berkata bahawa walaupun meritokrasi banyak menyumbang kepada negara, cara ia dilaksanakan perlu dikemas kini sejajar perubahan yang dilalui Singapura.
Ketenteraan juga tidak dapat lari daripada perubahan dan beliau berkata medan siber merupakan "medan pertempuran baru yang boleh membawa kesan parah jika tidak dipertahankan degan baik”. Maka itu, biasiswa merupakan sebahagian penting strategi mempertahankan Singapura bagi generasi seterusnya - iaitu dengan pelaburan ke atas "pemimpin berkhidmat” bagi generasi seterusnya, kata Dr Ng.
Beliau menambah: "Saya gembira melihat pemenang biasiswa kita (tahun ini) datang daripada sekolah dan politeknik yang berbeza-beza - bukan dua, bukan tiga, (tetapi) 17 institusi berbeza. Ada yang datang daripada golongan sederhana - tinggal di rumah HDB 3-bilik atau lebih kecil."
Secara keseluruhan 84 biasiswa dianugerahkan dalam lapan kategori, daripada lebih 1,300 permohonan tahun ini. Menurut Dr Ng, ini merupakan bilangan tertinggi. Bilangan pemohon juga meningkat saban tahun. Para pemohon tahun ini adalah 60 peratus lebih ramai berbanding 2014.
Daripada 84 penerima biasiswa, sembilan daripada mereka dianugerahkan Biasiswa SAF. Kohort biasiswa tahun ini termasuklah 22 orang penerima wanita - seganda lebih tinggi berbanding sedekad lalu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.