Skip to main content

Singapura

MINDEF: Aloysius Pang alami kecederaan di dada, perut semasa latihan SAF

Pelakon Singapura Aloysius Pang mengalami kecederaan pada bahagian dada ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan pada sebuah meriam Howitzer di Kawasan Latihan Waiouru di New Zealand.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 21 Jan 2019 06:05PM Dikemas Kini : 22 Jan 2019 01:50AM

SINGAPURA: Pelakon Singapura Aloysius Pang mengalami kecederaan pada bahagian dada ketika menjalankan kerja-kerja pembaikan pada sebuah meriam Howitzer di Kawasan Latihan Waiouru di New Zealand.

Demikian menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini (21 Jan), sambil menambah bahawa pelakon berusia 28 tahun itu menjalani pembedahan abdomen pada lewat Sabtu, yang selesai dijalankan pada 11.40 malam (waktu Singapura).

"Satu pembedahan susulan selesai dijalankan pada jam 11.00 pagi (waktu Singapura) hari ini (21 Jan). Satu pasukan perubatan dari Singapura sedang bekerjasama dengan pasukan New Zealand untuk menyediakan penjagaan terbaik bagi CFC (NS) Pang," menurut MINDEF dalam kenyataan medianya.

Insiden berlaku pada Sabtu, sekitar 2.05 petang (waktu Singapura).

Askar Kerahan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), yang berpangkat Korporal Kelas Pertama (Perkhidmatan Negara) itu, sedang mengambil bahagian dalam Latihan Thunder Warrior.

MINDEF menyatakan pada Ahad (20 Jan) bahawa keadaan Pang sedang dipantau di unit rawatan separa rapi selepas menjalani pembedahan di Hospital Waikato, Hamilton.

Persiapan diaturkan bagi keluarga Pang untuk melakukan perjalanan ke New Zealand.

Ibu pelakon itu sudah bertemu dengannya di hospital, menurut MINDEF, sambil menambah bahawa bapa dan saudara lelakinya akan tiba di sana lewat hari ini (waktu Singapura). Mereka ditemani para pegawai SAF.

Siasatan sedang dijalankan bagi menyiasat punca insiden berlaku.

St John New Zealand, sebuah pertubuhan amal yang menyediakan khidmat perubatan, mengesahkan bahawa ia memberikan respons terhadap insiden itu dengan mengerahkan sebuah ambulans dan helikopter, lalu memindahkan Pang yang dalam "keadaan kritikal" ke Hospital Waikato.

NoonTalk Media, syarikat yang menguruskan Pang, mengesahkan pada Ahad (20 Jan) bahawa pelakon itu "terlibat dalam kemalangan" semasa berkhidmat di New Zealand.

Pelakon berkenaan, yang bekerja dengan Mediacorp mengikut projek, dipilih menjadi bintang utama dalam drama Saluran 8 'My One in a Million'. Sesi penggambaran bagi drama tersebut dijangka mula dijalankan pada Februari.

Beliau juga akan tampil dalam siri terbitan tempatan 'From Beijing to Moscow' di Toggle. Siri 13 episod itu akan disiarkan mulai bulan Jun.

Latihan tahunan itu dijalankan sejak 1997.

Latihan tahun ini, yang berlangsung dari 5 Jan hingga 2 Feb, melibatkan lebih 500 anggota daripada Batalion ke-268 dan 24, Artileri Singapura.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita