Skip to main content

Singapura

Minat pelaburan halal meningkat; platform sehenti RizqX dilancarkan

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Sep 2023 09:50PM Dikemas Kini : 24 Sep 2023 09:48AM
SINGAPURA: Kini lebih mudah untuk mendapatkan maklumat tentang produk-produk pelaburan halal di dalam dan luar negara.

Syarikat penasihat kewangan Islamic Finance Singapore (IFSG) melancarkan platform percuma 'RizqX' untuk memenuhi permintaan meningkat bagi pelaburan berlandaskan rukun syariah pada Sabtu (23 Sep).

Antara ciri-ciri platform tersebut ialah menyediakan maklumat dan nasihat berkaitan kewangan dan pelaburan Islam khusus untuk masyarakat Muslim setempat.

Mengambil sekitar setahun untuk dibangunkan, segala maklumat dan rujukan yang disediakan untuk lebih 100 produk pelaburan berdasarkan Syariah, hasil usahasama para pakar kewangan Islam dan cendekiawan Syariah.

Ini didorong permintaan bagi produk kewangan Islam di Singapura yang semakin rancak.

"Ada keinginan daripada masyarakat untuk melabur. Tetapi tidak ada satu tempat untuk mereka melabur dan melabur di mana-mana peluang-peluang di Singapura ataupun di luar negara. Kerana itu kami melancarkan 'RizqX'. Jadi masyarakat kami dapat melabur dalam pelbagai pelaburan Islam yang di Singapura ataupun di luar negara," kata Pengarah Urusan IFSG, Encik Muhammad Ridhwaan Radzi.

PELABUR ISLAM PUNYA LEBIH BANYAK PILIHAN BERBANDING 10-15 TAHUN LALU

Bersempena dengan pelancaran platform itu, satu pesta pelaburan turut diadakan - Rizq Investment Festival 2023.

Bermula dari jam 9 pagi hingga 6 petang, festival yang diadakan buat julung-julung kalinya itu turut menyajikan seminar dan sesi perbincangan.

Ia sebahagian usaha untuk memupuk kecelikan kewangan dan budaya melabur dalam masyarakat Islam.

Lebih 10 pakar kewangan diundang dan mereka menggunakan kesempatan itu untuk berkongsi tentang trend dan peluang dalam pelaburan mengikut Syariah serta memberi pencerahan tentang soal halal haram dalam pelaburan.

"Pelabur-pelabur Islam mempunyai banyak pilihan berbanding 10-15 tahun yang lalu. Bagi mereka yang tidak boleh ambil risiko, ambil pelaburan yang kurang risiko, kurang turun naik seperti ‘sukuk’. Biasanya pelaburan ‘sukuk’ itulebih stabil dan tidak begitu turun naik dan sebagainya. Tetapi kalau kita hendak ambil risiko, kita boleh beli ekuiti dan saham dan sebagainya," kata Pengarah Ekonomi dan Pasaran syarikat Financial Alliance, Encik Sani Hamid.

Menurut Encik Sani yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam bidang kewangan, kebanyakan peserta berminat dalam pelaburan halal namun kurang faham tentang pelaburan mengikut prinsip-prinsip Syariah.

Antara peserta hadir ialah Encik Mohdhamad Ajwad Abdul Rahman.

"Peluang melabur di Singapura ini besar sangat. Ada 143 saham yang mematuhi Syariah yang masyarakat kita boleh melabur. Kami tidak tahu apakah cabaran-cabaran masa hadapan dalam hal ehwal ekonomi. Jadi kami harus bersiap-siap," kata Encik Ajwad, seorang jurutera.

Turut berkongsi pendapat yang sama ialah Encik Muhammad Dzulfaidz Ismail, seorang Pengurus Pelaburan: "Saya pelajari tentang perancangan harta di mana apabila saya mungkin telah pergi daripada dunia ini, apa akan jadi kepada keluarga saya, adakah mereka akan terjaga dan bagaimana."

Seramai 60 peserta menghadiri acara tersebut yang disokong sembilan syarikat kewangan dan pelaburan.
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita