Minat pada seni karya tanah liat satukan 3 jiran tetangga ini
Ada yang mengeratkan silaturrahim sesama jiran tetangga dengan berkongsi minat terhadap sukan atau bercucuk tanam di kebun masyarakat.

(Dari kiri) Amisha Gaikar, Joyce Tan dan Wong Fun Eng, ketua Kumpulan Minat Seni Tanah Liat Bukit Batok East. (Gambar: Tay Suan Chiang)
Bagi tiga penduduk Bukit Batok East - Amisha Gaikar, Joyce Tan dan Wong Fun Eng, minat mereka untuk berkarya menggunakan tanah liat atau 'clay modelling' merupakan satu cara untuk mereka mengukuhkan lagi persahabatan mereka.
Selain berkarya menggunakan tanah liat sebagai hobi, ketiga-tiga wanita itu juga mengajar penduduk lain tentang seni itu.
Ketiga-tiga wanita itu adalah ketua Kumpulan Minat Seni Tanah Liat Bukit Batok East (BBE) yang ditubuhkan oleh Wong pada 10 tahun lalu.
Wong, 64 tahun, yang bekerja sambilan, mula berjinak-jinak dengan seni karya menggunakan tanah liat selepas menghadiri sebuah bengkel yang diadakan oleh Persatuan Rakyat (PA).
Beliau memulakan Kumpulan Minat Seni Tanah Liat BBE dan kini, kumpulan itu mempunyai sekitar 20 penduduk yang merupakan anggota tetap.
Kumpulan itu menggunakan tanah liat kering udara yang tidak perlu dibakar dalam tanur.
Tanah liat itu juga dibeli dari Malaysia dan ia menjadi kering selepas 24 jam. Ia juga lebih mudah untuk dibentuk, tidak berbahaya dan sesuai untuk mereka yang baru sahaja mula berjinak-jinak berkarya dengan tanah liat.
MINAT YANG SAMA TERHADAP SENI KARYA GUNA TANAH LIAT
Ciri-ciri serba boleh pada tanah liat itulah yang memikat Wong untuk cuba berkarya menggunakan tanah liat.
"Tiada had terhadap apa yang boleh anda cipta menggunakan tanah liat kering," kata Cik Wong, yang gemar mencipta bunga dan haiwan daripada tanah liat.
"Walaupun tanah liat ini menyeronokkan untuk digunakan bagi berkarya, ia juga agak mencabar untuk menghasilkan karya-karya bersaiz kecil atau miniatur," kata Cik Tan, 61 tahun.
Beliau memberi contoh proses membuat telur goreng dalam hidangan nasi lemak yang bersaiz miniatur, iaitu hanya sebesar 1 sentimeter.

"Anda perlu kesabaran dan minat untuk karya ini," katanya.
Proses pembuatan karya-karya miniatur itu juga melibatkan beberapa peringkat, kata Cik Gaikar.
Ini kerana sesetengah bahagian perlukan lebih banyak masa untuk kering, kemudian ia perlu dicat dan diberikan sentuhan akhir supaya ia kelihatan lebih realistik.
"Masa untuk menyelesaikan satu karya boleh mengambil masa kurang lima minit bagi karya-karya lebih mudah atau beberapa jam bagi rekaan yang lebih rumit," katanya.
Ketiga-tiga wanita itu turut menganjurkan bengkel bagi penduduk Bukit Batok East secara kerap, di mana ia seringkali diadakan sempena sambutan perayaan.
Contohnya, mereka baru-baru ini mengadakan bengkel bagi penduduk membuat kuih bulan miniatur sempena perayaan musim luruh.
Bengkel-bengkel itu dianjurkan secara percuma dan bahan-bahan serta alat-alat disediakan.
"Kami menggunakan alat-alat yang mudah untuk didapatkan, supaya para peserta boleh terus berkarya di rumah," kata Cik Gaikar.
REKOD SINGAPURA UNTUK PAPARAN TERBESAR MODEL SENI 'CLAY' MAKANAN
Baru-baru ini, para penduduk Bukit Batok East dan Toh Guan berganding bahu untuk menyiapkan 200 model makanan yang diperbuat daripada tanah liat di mana ia menampilkan lebih 50 makanan tempatan dan antarabangsa, seperti ais kacang, kuih nyonya, ramen dan piza.

Projek itu direka sempena Pesta PAssionArts 2024 yang membawa seni, budaya dan persembahan serta bengkel-bengkel ke tempat-tempat kejiranan.
Kumpulan itu mengambil tempoh dua setengah bulan untuk menyiapkan 200 rekaan makanan miniatur yang diperbuat daripada tanah liat.
"Kami berasa sangat tertekan apabila kehabisan tanah liat semasa menyiapkan kesemua rekaan itu. Pembekal kami juga kehabisan stok. Akhirnya, kami meminta bantuan artis-artis seni tanah liat yang lain supaya bantu membelikan lebih banyak tanah liat," kata Cik Tan.
Kesemua rekaan itu dipaparkan semasa Pesta PAssionArts Bukit Batok East pada Julai lalu dan ia diiktiraf dalam Buku Rekod Singapura bagi Paparan Terbesar Model Makanan Daripada Tanah Liat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.