Skip to main content

Singapura

Minat dalami ilmu agama tinggi, cabaran penyertaan wujud: dapatan awal kajian MUIS

Anggaran Waktu Membaca:
Minat dalami ilmu agama tinggi, cabaran penyertaan wujud: dapatan awal kajian MUIS

Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen, semasa pelancaran LearnIslam Fest 2026 di Expo pada Sabtu (4 Jul). (Gambar: MUIS)

Diterbitkan : 04 Jul 2026 06:55PM Dikemas Kini : 04 Jul 2026 06:56PM
SINGAPURA: Keinginan masyarakat Islam di Singapura untuk terus mendalami ilmu agama kekal tinggi dan konsisten di semua peringkat usia.

Namun, terdapat beberapa cabaran yang menjejaskan penyertaan mereka dalam pendidikan Islam separuh masa.

Antaranya termasuk kekangan masa akibat komitmen kerja dan keluarga, serta kekurangan program yang menepati keperluan pelajar daripada latar belakang dan tahap pengetahuan yang berbeza-beza.

Demikian dapatan awal kajian yang dikongsikan oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), berkenaan pendidikan Islam sambilan.

Kajian itu melibatkan belia (18 hingga 25 tahun), 31–50 , dewasa muda (26 hingga 35 tahun) dan golongan ibu bapa (31 hingga 50 tahun) melalui tinjauan serta perbincangan kumpulan fokus antara Jun hingga Julai tahun ini.

Dapatan itu diumumkan Ketua Eksekutif MUIS, Kadir Maideen, semasa pelancaran Pesta LearnIslam 2026 di Singapore EXPO pada Sabtu (4 Jul).

RINTANGAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM TIDAK TERUSKAN DALAM PENDIDIKAN ISLAM SEPARUH MASA

Encik Kadir berkata kajian itu bertujuan memahami corak penyertaan masyarakat serta mengenal pasti kumpulan yang masih belum terlibat dalam pendidikan Islam.

Beliau juga berkongsi bahawa terdapat pelbagai jenis rintangan yang menghalang para individu untuk mencari ilmu agama.

Ini meskipun minat terhadap pembelajaran Islam kekal kukuh.

Encik Kadir berkata: "Sebahagian peserta merasakan program yang ditawarkan terlalu formal, terlalu kaku, atau terlalu membebankan memandangkan pelbagai tanggungjawab lain yang perlu mereka uruskan."

"Ada juga yang tidak mengetahui pilihan yang tersedia di luar apa yang mereka sudah terbiasa dengan sejak usia muda. Ada yang menyimpan kebimbangan secara senyap, sama ada tentang dipandang rendah kerana kekurangan pengetahuan, atau tentang rasa tidak sesuai dalam persekitaran baharu, "ujar Encik Kadir.

Beliau menerangkan bahawa rintangan-rintangan itu bukan bersifat kecil.

Kajian awal turut menunjukkan peserta mahukan pendidikan agama yang lebih berkait rapat dengan kehidupan seharian, selain menekankan kepentingan rasa kebersamaan sebagai faktor utama yang menggalakkan pembelajaran berterusan.

KERJASAMA PELBAGAI INSTITUSI MASYARAKAT

Lantaran itu, Encik Kadir berkata MUIS akan bekerjasama rapat dengan Kumpulan Kerja Pendidikan Islam (IEWG) bagi meneliti dapatan penuh kajian dan menterjemahkannya kepada penambahbaikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Beliau juga menyeru semua pihak termasuk masjid, pusat-pusat dan penyedia pendidikan Islam (IECP), rakan-rakan untuk memikirkan cara untuk memudahkan masyarakat Islam setempat mengambil langkah pertama dengan lebih mudah.

“Dengan kerjasama merentasi masjid-masjid, madrasah, IECP dan rakan-rakan masyarakat, serta dengan memanfaatkan teknologi secara bertanggungjawab, kita berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk memastikan tiada sesiapa yang tertinggal dan bahawa setiap Muslim, pada setiap peringkat kehidupan, mempunyai laluan pembelajaran Islam yang sesuai untuk mereka," kata Encik Kadir.

PERANAN IEWG DAN PERSPEKTIF INSTITUSI PENDIDIKAN ISLAM

Penyelaras Kurikulum, Mutu dan Standard di Perdaus, Nur Afifah Mokhtiaruddin, turut bersetuju dengan dapatan kajian yang menunjukkan kekangan masa sebagai antara cabaran utama dalam pendidikan Islam separuh masa.

“Cabaran yang paling utama adalah komitmen dengan era masa kini ramai pelajar-pelajar yang banyak sibuk dengan hal-hal persekolahan dan pekerjaan jadi komitmen itu adalah satu cabaran yang amat susah untuk mereka untuk mencari masa untuk pergi ke program- program pembelajaran islam.”

Beliau turut menjelaskan bahawa kepelbagaian kaedah pembelajaran masa kini turut menjadi satu cabaran baharu yang perlu ditangani institusi pendidikan Islam.

“Pembelajaran secara pelbagai yang kita boleh dapat dari pelbagai institusi yang menawarkan program-program seperti kelas online, program pembimbing dan sebagainya," kata Cik Afifah.

Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama melalui IEWG akan membantu memperkukuh pembangunan tenaga pengajar serta perkongsian sumber antara institusi.

Beliau menambah bahawa kolaborasi itu juga membuka ruang untuk perkongsian sumber dan pembangunan modul yang lebih relevan dengan keperluan masyarakat.

Sementara itu, Penolong Pengarah Pendidikan di MUIS, Nurul Hidayah Abubakar, berkata pendekatan pengajaran perlu berubah mengikut perkembangan zaman, namun matlamatnya kekal sama.

“Kaedahnya berubah tetapi matlamatnya tetap sama, pada zaman ini kita gunakan teknologi, kita juga ada pertukaran fikiran dengan cara terbuka dan juga pembelajaran interaktif. Semua ini agar golongan muda dapat memahami agama islam”

Beliau berkata pendekatan moden ini penting supaya generasi muda dapat melihat kerelevanan Islam dalam kehidupan mereka.

Kajian itu dijangka dimuktamadkan pada September 2026.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita