Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Minat dalam bidang seni & sukan boleh bawa kejayaan jika serius ceburinya

Minat yang mendalam terhadap bidang seni boleh membawa kejayaan dan kerjaya yang bermanfaat. Ini lebih-lebih lagi jika bakat yang dimiliki dapat ditonjolkan dengan cara yang betul di wadah-wadah sosial.

Anggaran Waktu Membaca:
Minat dalam bidang seni & sukan boleh bawa kejayaan jika serius ceburinya

Lima di antara enam belia Melayu tempatan ini yang cemerlang dalam bidang seni atau muzik berkongsi pengalaman mereka dalam acara 'Open Mic Aspirasi #BeliaSG'. (Gambar-gambar: BERITAMediacorp)

BERITAMediacorp: Minat yang mendalam terhadap bidang seni boleh membawa kejayaan dan kerjaya yang bermanfaat. Ini lebih-lebih lagi jika bakat yang dimiliki dapat ditonjolkan dengan cara yang betul di wadah-wadah sosial.

Laluan bukan akademik seperti perjalanan seni dan kerjaya dalam bidang ini di Singapura menjadi antara topik yang dibincangkan dalam acara 'Open Mic Aspirasi #BeliaSG' semalam (17 Mac).

BELIA S'PURA JUGA BOLEH MARTABATKAN SENI TEMPATAN

Apakah platform dan kaedah yang ada sekarang untuk mengejar minat dan memburu kerjaya dalam bidang seni dan sukan? Mampukah seseorang itu berjaya dalam bidang bukan akademik yang 'tidak diterima ramai' ini? Apakah pula definisi kejayaan itu sendiri?

Inilah antara perkongsian enam belia tempatan yang giat dan cemerlang dalam bidang seni dan sukan, yang berkongsi tentang perjalanan mereka memenuhi aspirasi masing-masing.

Antara lain, perkongsian secara santai ini turut menyentuh tentang langkah yang harus diambil,cabaran dan rintangan yang harus dilalui dalam bidang tersebut.

"Masyarakat kita mempunyai stigma tentang kerjaya seni, di mana mereka dapat mencari rezeki, tapi pada saya rezeki itu bermula dengan keberanian, jadi kitalah yang mengorak langkah untuk anak-anak muda yang lain.

"Saya selalu menasihatkan adik-adik saya, adik-adik di dalam bidang seni, untuk terus menjadi pemangkin dan pelopor untuk menyemarakkan lagi suasana, dan apabila suasana itu disemarakkan barulah kita ada butiran-butiran tentang yang lain," kata Encik Noor Iskandar Othman, seorang artis tempatan dan pada masa yang sama juga merupakan seorang penyelidik seni di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Seorang lagi belia yang berkecimpung dalam bidang seni, iaitu secara khusus menjadi seniman jalanan atau 'busker', Encik Firdaus Osman, turut berkongsi pengalamannnya.

"Arena seni dalam masyarakat Melayu bukan sesuatu yang biasa di Singapura, pada pendapat saya ada stigma bahawa 'buskers' di Singapura dilihat sebagai pengemis tapi pada pendapat saya 'busking' merupakan platform untuk sesiapa saja yang tertekan untuk melepaskan tekanan mereka," kongsinya bersama pihak BERITAMediacorp.

MENJADIKAN MINAT DALAM SUKAN SEBAGAI SATU KEJAYAAN
Atlit sukan dayung negara, Sayidah Aisyah Mohamed Raffa’ee, yang merupakan satu-satunya atlit Melayu Singapura yang berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio dua tahun lalu turut diundang untuk berkongsi pengalamannya.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi bagaimana hobi dan minat terhadap sukan membawanya ke Sukan Olimpik, temasya sukan terunggul di dunia. Kunci kejayaan yang menjadi iktibar beliau ialah 'melakukan sesuatu yang diminati dengan serius dan pastikan ia dilakukan dengan cara yang terbaik'.

"Bagi saya definisi kejayaan bukan dalam bentuk wang atau harta,tetapi pada saya kejayaan itu dari pengalaman yang kita alami, dan juga bagaimana kita dapat mengatasi cabaran hidup," tambahnya lagi.

PELUANG & WADAH YANG PELBAGAI DALAM BIDANG SENI, SUKAN

Namun apa yang jelas, kumpulan belia ini bersependapat bahawa terdapat laluan dan peluang bagi kedua-dua bidang ini dan ia boleh membawa kejayaan, sekiranya ia dilakukan dengan serius.

"Sebenarnya saya amat teruja kerana saya sedar bahawa ada belia yang sangat bersemangat dalam bidang yang mereka pilih, saya sendiri rasa macam saya hendak juga mencapai yang terbaik dalam bidang yang saya pilih juga.

"Saya rasa definisi kejayaan itu harus ditetapkan pada orangnya sendiri,dan daripada perkongsian tadi saya rasa semua orang ada kejayaan mereka sendiri dan mereka harus cuba sedaya upaya untuk teruskan minat mereka dan selagi ada minat, saya rasa tentu sekali mereka dapat terus mencapai kejayaan," kongsi Suhaimi Zainal Shah, seorang peserta.

Seorang lagi peserta Muhammad Hanif turut berkongsi bagaimana acara yang dianjurkan semalam (17 Mac) meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

"Pelbagainya bakat-bakat yang terdapat dalam masyarakat belia Melayu kita di Singapura dan ada juga bakat-bakat yang tidak dikenali oleh orang ramai dan tidak diraikan dalam masyarakat kita.Kebanyakannya lebih fokus kepada matematik dan sains dan tidak dalam bidang-bidang seni," katanya.

INISIATIF BARU, BERTERUSAN BERITAMEDIACORP DAMPINGI BELIA

Acara yang dihadiri oleh 30 peserta belia ini merupakan satu inisiatif baru oleh BERITAMediacorp.

Golongan belia dan pelajar juga dipelawa untuk menyumbang karya dan hasil tulisan mereka kepada ruangan remaja portal BERITAMediacorp.

'Open Mic Aspirasi #BeliaSG' yang diadakan buat julung-julung kalinya ini menjadi usaha berterusan BERITAMediacorp untuk mendampingi belia tempatan.
 

Sumber : BERITAmediacorp/ur

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa