Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Minat biologi sejak di madrasah; kini miliki PhD Biologi dan Perubatan Bersepadu Duke-NUS

Anggaran Waktu Membaca:
BERITAmediacorp: Dr Nurul Jannah Mohamed Nasir, 29 tahun kagum dengan biologi dan anatomi tubuh manusia sejak di sekolah rendah lagi.

Bekas pelajar Madrasah Al-Arabiah dan Madrasah Al-Ma'arif itu tidak memenuhi tersebut dengan mengambil kursus sains bioperubatan di Politeknik Ngee Ann dan kemudian di Universiti Teknologi Nanyang (NTU).

Atas sokongan keluarga-keluarga dan teman, beliau menyambung pengajian di Sekolah Perubatan Duke-NUS pada 2017.

Dr Nurul Jannah memilih program Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Biologi dan Perubatan Bersepadu kerana lebih cenderung kepada kajian penyelesaian penyakit kronik.

Menerusi program penyelidikan biologi barah dan sel induk, beliau menyiasat tentang 'bedsores' atau keadaan melecet dalam kalangan pesakit kerana baring terlalu lama di katil.

"Hingga kini tiada rawatan yang efektif yang memulihkan ulser tekanan. Kajian saya mendapati salah satu punca mengapa ulser tekanan sukar untuk sembuh. Saya berpeluang menguji sejenis ubat yang boleh digunakan dan ia menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Ia dapat mengurangkan kesan tekanan dan meningkatkan penyembuhan luka," kata Dr Nurul Jannah, anak bongsu tiga beradik.

Pada tahun lalu, Dr Nurul Jannah membentangkan hasil kajiannya di mesyuarat Persatuan Penyembuh Luka (WHS) antarabangsa di Amerika Syarikat, di mana beliau menerima Anugerah Penyiasat Muda WHS.

Beliau kini mahu mendalami bidang imunoterapi barah di Duke-NUS.

"Impian saya adalah untuk mendapatkan rawatan yang lebih efektif untuk salah satu punca utama kematian secara global iaitu barah. Saya mahu penyelidikan saya bukan sahaja memuaskan rasa ingin tahu saya, tetapi juga saya mahukan penyelidikan itu dapat memanfaatkan orang juga secara umum," jelas Dr Nurul, yang memendam impian untuk memiliki makmalnya sendiri.

PROGRAM DUKE-NUS TARIK PELAJAR PELBAGAI LATAR BELAKANG

Dr Nurul Jannah dalam kalangan 89 pelajar yang menerima ijazah mereka pada Sabtu (3 Jun) di acara Konvokesyen Duke-NUS.

Beliau adalah lulusan wanita Melayu pertama program PhD sekolah perubatan itu.

74 graduan tahun ini adalah lulusan program Doktor Perubatan (MD).

Menurut Duke-NUS, program tersebut juga semakin menarik pelajar daripada pelbagai latar belakang,

Ia bagi memenuhi keperluan penjagaan kesihatan yang berubah-ubah.

"Sekitar 20 peratus (pelajar) datang dari bidang kejuruteraan. Itulah adalah jumlah yang besar. Kami juga menerima pelajar dari bidang-bidang lain seperti Seni, Perniagaan dan lain-lain lagi kerana mereka membawa dimensi yang berbeza kepada penjagaan kesihatan juga," kata Profesor Lucien Ooi, daripada Program Klinikal Akademik Pembedahan, SingHealth Duke-NUS.

Menurutnya pandemik COVID-19 misalnya membawa cabaran-cabaran baru.

Ini mendorong Duke-NUS untuk memberi lebih tumpuan kepada usaha menghasilkan doktor yang dapat menyumbang kepada bidang kajian serta inovasi dalam sektor perubatan.

"Kami juga telah menerapkan elemen-elemen 'Design Thinking' ke dalam program tersebut. Jadi para pelajar bukan sahaja belajar menjadi doktor, mereka belajar menjadi doktor yang boleh mengenalpasti masalah-masalah dan mencari huraian-huraian juga," tambahnya.

Menurutnya, selain ASEAN, Duke-NUS turut menarik penuntut dari negara-negara Timur Tengah.
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan