Skip to main content

Singapura

Milenial S'pura mudah kecewa, kurang puas hati dengan kehidupan berbanding rakan sebaya global

Golongan milenial tempatan kurang berpuas hati dengan kehidupan mereka berbanding rakan sebaya mereka di merata dunia dan sebahagian besar daripada mereka bersikap pesimis atau lebih mudah kecewa terhadap ramalan ekonomi Singapura dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Milenial S'pura mudah kecewa, kurang puas hati dengan kehidupan berbanding rakan sebaya global

Golongan belia di sebuah institusi pendidikan. (Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 23 May 2019 09:57AM Dikemas Kini : 23 May 2019 10:05AM

SINGAPURA: Golongan milenial tempatan kurang berpuas hati dengan kehidupan mereka berbanding rakan sebaya mereka di merata dunia dan sebahagian besar daripada mereka bersikap pesimis atau lebih mudah kecewa terhadap ramalan ekonomi Singapura dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sebahagian besar milenial Singapura juga mengharapkan gaji lebih besar atau kekayaan sebagai antara cita-cita mereka, berbanding purata global, berdasarkan tinjauan baru oleh firma audit dan khidmat nasihat kewangan Deloitte.

Related article image
Gambar fail. (Gambar: Francine Lim)

Tinjauan Milenial Deloitte 2019, yang dikeluarkan pada Selasa (21 Mei), mengkaji pemikiran dan pandangan mereka yang berusia antara 25 hingga 36 tahun di merata dunia. Tinjauan itu melibatkan 13,416 individu milenial dari 42 negara - termasuk 200 peserta dari Singapura - pada Disember tahun lalu hingga Januari tahun ini.

Berdasarkan hasil tinjauan itu, Deloitte merumuskan bahawa golongan milenial dan Generasi Z (individu-individu yang dilahirkan antara 1995 hingga 2002) "berasa kecewa dengan institusi-institusi tradisional, meragui tujuan perniagaan dan bersikap pesimis terhadap kemajuan ekonomi dan sosial".

Cik Michele Parmelee, ketua pegawai bakat Deloitte Global, berkata, dari kemelesetan ekonomi sepuluh tahun lalu hingga ke revolusi perindustrian keempat sekarang ini, golongan milenial membesar dalam era yang serba tidak menentu dari segi ketersambungan, kepercayaan,privasi, mobiliti sosial dan pekerjaan.

KURANG OPTIMIS BERBANDING PURATA GLOBAL

Milenial Singapura mencatat 35 mata, iaitu lebih rendah berbanding purata 39 mata dalam indeks baru Deloitte yang memantau sejauh mana para peserta bersikap optimis terhadap topik-topik utama politik, peribadi, persekitaran dan sosio-ekonomi dari tahun ke tahun.

Indeks yang lebih rendah itu disebabkan oleh keprihatinan terhadap keadaan ekonomi dan sosial serta politik.

Deloitte mendapati kaum lelaki lebih optimis berbanding wanita.

RAMALAN EKONOMI DAN SOSIO-POLITIK

Golongan milenial tempatan berpandangan negatif terhadap keadaan ekonomi, dengan hanya 16 peratus responden berpendapat keadaan ekonomi akan bertambah baik dalam tempoh 12 bulan akan datang, jauh lebih rendah berbanding 56 peratus yang berpendapat sedemikian tahun lalu. Perangkaan itu juga lebih rendah berbanding purata global, iaitu sebanyak 26 peratus.

Related article image
Para pekerja pejabat di pusat kewangan Raffles Place pada 14 Januari 2014. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Antara keprihatinan utama dalam kalangan milenial Singapura adalah ketidaksamarataan pendapatan (28 peratus), pengangguran (27 peratus) dan perubahan iklim (22 peratus).

43 peratus daripada milenial tempatan, berbanding purata global 29 peratus, berpendapat bahawa Pemerintah adalah pihak yang paling berupaya untuk mengatasi cabaran-cabaran paling sengit di dunia.

ASPIRASI

Hanya seperlima (20 peratus) rakyat Singapura yang ditinjau berkata mereka berpuas hati dengan kehidupan mereka sekarang berbanding hampir satu daripada 10 individu (29 peratus) di negara-negara lain.

Cita-cita utama bagi hampir enam daripada 10 (59 peratus) milenial Singapura adalah untuk mendapat gaji yang tinggi dan hidup mewah, berbanding purata global sebanyak 52 peratus.

Jumlah milenial yang hampir sama (58 peratus) ingin merantau ke luar negara.

Antara lima cita-cita utama milenial adalah untuk memiliki rumah sendiri (48 peratus), meninggalkan kesan positif dalam masyarakat (36 peratus) dan mempunyai anak (35 peratus).

KURANG PERCAYA DENGAN PERNIAGAAN

Berbanding tahun lalu, golongan milenial Singapura kurang yakin terhadap peranan perniagaan untuk memanfaatkan masyarakat.

Apabila ditanya jika perniagaan secara amnya mempunyai kesan positif terhadap masyarakat lebih luas, hanya lebih separuh (54 peratus) responden bersetuju, jauh lebih rendah berbanding 77 peratus pada 2018.

HILANG PEKERJAAN KERANA TEKNOLOGI?

Sejajar dengan tinjauan global, 81 peratus milenial Singapura percaya bahawa mereka mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan sedang persekitaran pekerjaan dibentuk oleh revolusi perindustrian keempat.

Namun, lebih ramai milenial Singapura percaya bahawa 'Industri 4.0' - iaitu trend automasi dan pertukaran data bagi teknologi pengilangan - menyukarkan mereka untuk mendapat atau menukar pekerjaan pada masa akan datang.

Enam daripada 10 (61 peratus) responden tempatan berpendapat demikian, berbanding purata global 46 peratus. 

Sumber : Today/ZM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita