Skip to main content

Singapura

Milenial lebih bimbang tentang masalah wang; 40% milenial hanya bayar jumlah minimum untuk kad kredit mereka

Dalam kalangan pekerja dewasa di Singapura, golongan milenial - yang berusia 21 hingga 39 tahun - adalah kumpulan yang paling bimbang dengan masalah wang, seperti tidak dapat menjaga orang tersayang, tidak mampu membeli rumah atau tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan sebaya.

Anggaran Waktu Membaca:
Milenial lebih bimbang tentang masalah wang; 40% milenial hanya bayar jumlah minimum untuk kad kredit mereka

(Gambar hiasan: AFP/Frederic J Brown)

Diterbitkan : 24 Nov 2020 03:02PM Dikemas Kini : 24 Nov 2020 03:05PM

SINGAPURA: Dalam kalangan pekerja dewasa di Singapura, golongan milenial - yang berusia 21 hingga 39 tahun - adalah kumpulan yang paling bimbang dengan masalah wang, seperti tidak dapat menjaga orang tersayang, tidak mampu membeli rumah atau tidak dapat bersaing dengan rakan-rakan sebaya. Mereka juga kurang berhemat dengan perbelanjaan mereka.

Dapatan tinjauan ini dikeluarkan pada Isnin (23 Nov) sebagai sebahagian daripada Indeks Kesejahteraan Kewangan OCBC yang dilancarkan tahun lalu.

Tinjauan tahun ini dijalankan secara online pada September dan kajian tersebut meninjau sekitar 2,000 pekerja dewasa, rakyat Singapura dan penduduk tetap yang berusia 21 tahun hingga 65 tahun mengenai tabiat kewangan dan sikap mereka.

Indeks itu dikira menggunakan 10 kriteria yang berkaitan dengan kesejahteraan kewangan, seperti tabiat menabung, pelaburan tetap dan hutang yang terurus.

Markah 75 dan ke atas menunjukkan bahawa responden berada di landasan yang betul untuk menepati sasaran kewangannya.

Indeks secara keseluruhannya merosot sedikit dari 63 dalam indeks pertama pada 2019 kepada 61 pada tahun ini, sekali gus menunjukkan bahawa rakyat Singapura secara keseluruhannya kurang kukuh dari segi kewangan.

Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa rakyat Singapura kurang berkeupayaan untuk melunaskan pinjaman perumahan dan merancang untuk bersara dan mempunyai pendapatan pasif yang kurang tetap berbanding tahun lalu.

Secara purata, 32 peratus responden memandang rendah mengenai jumlah yang diperlukan untuk bersara dan baki tiga suku tidak menepati sasaran bagi perancangan persaraan.

Dalam kalangan milenial, 57 peratus mempunyai rancangan persaraan dan 55 peratus sudah membuat rancangan kewangan bagi ahli keluarga mereka selepas kematian mereka, berbanding purata nasional masing-masing 63 peratus dan 67 peratus.

Sungguhpun demikian, tinjauan itu menunjukkan bahawa rakyat Singapura masih menabung dengan kerap, lebih mampu menampung perbelanjaan perubatan dan dapat menampung kewangan mereka selama enam bulan jika tidak bekerja.

MILENIAL PALING BIMBANG TENTANG WANG

- Sekitar separuh, atau 49 peratus daripada golongan milenial bimbang tentang wang pada minggu sebelum tinjauan tersebut dijalankan.

- Antara pelbagai kumpulan usia, golongan milenial paling tidak mampu berbelanja dengan selesa, dengan hanya 46 peratus dapat berbuat demikian.

- Hampir 4 daripada 10 milenial biasanya hanya membayar jumlah minimum untuk kad kredit mereka.

- Mereka lazimnya meminjam wang daripada kawan atau saudara-mara, dengan 15 peratus berkata mereka kerap berbuat demikian.

- 39 peratus pelabur milenial membuat spekulasi secara berlebihan untuk meraih keuntungan dengan pantas.

- Hanya 26 peratus akan mendapatkan nasihat profesional apabila melabur.

- Tinjauan itu juga mendapati bahawa golongan milenial lazimnya
lebih cenderung untuk membuat kajian sendiri sebelum membuat keputusan kewangan dan mendapatkan sumber-sumber online bagi mencari maklumat.

Golongan milenial mula melabur lebih awal berbanding generasi yang lebih tua kerana keutamaan mereka adalah untuk mengembangkan kekayaan mereka, meskipun 42 peratus tidak tahu cara yang terbaik untuk melakukannya. 

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita