Skip to main content

Singapura

Mikhy Farrera-Brochez mengaku tidak bersalah membocorkan data HIV

Mikhy Farrera-Brochez mengaku tidak bersalah di sebuah mahkamah persekutuan Amerika Syarikat di Kentucky pada Selasa (19 Mac) atas tuduhan-tuduhan berhubung mencuri dokumen pengenalan diri daripada daftar HIV Singapura, menurut peguamnya Jay Oakley.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 20 Mar 2019 11:40AM Dikemas Kini : 21 Mar 2019 12:42AM

LEXINGTON: Mikhy Farrera-Brochez mengaku tidak bersalah di sebuah mahkamah persekutuan Amerika Syarikat di Kentucky pada Selasa (19 Mac) atas tuduhan-tuduhan berhubung mencuri dokumen pengenalan diri daripada daftar HIV Singapura, menurut peguamnya Jay Oakley.

Rakyat Amerika itu dituduh mengongsi data peribadi milik beribu-ribu orang daripada daftar HIV. Dia sebelum ini didakwa oleh jemaah juri atas beberapa tuduhan, termasuk percubaan untuk memeras ugut Pemerintah Singapura.

Farrera-Brochez terus ditahan di pusat tahanan Fayette County. Perbicaraan selama tiga hari bagi tuduhan persekutuan yang dikenakan terhadapnya dijadual diadakan pada 7 Mei, kata Encik Oakley.

Peguam itu berkata buat masa ini, anak guamnya mahu kes itu dibicarakan. Bagaimanapun, Encik Oakley masih belum memperolehi perincian mengenai bukti yang dikemukakan oleh Pemerintah Singapura. Beliau akan mendapatkan akses kepada bukti itu sebelum perbicaraan diadakan di mana pihak-pihak terbabit boleh saling bertukar-tukar maklumat.

Farrera-Brochez, 34 tahun, yang sebelum ini bekerja sebagai seorang pensyarah di Singapura, dituduh mengongsi status positif HIV dan maklumat peribadi seramai 14,200 orang daripada daftar HIV Singapura.

Pada awal bulan ini, Farrera-Brochez diarahkan oleh sebuah mahkamah Amerika Syarikat untuk "dengan segera" menyerahkan data yang diperolehi daripada daftar HIV dan maklumat sulit lain kepada pihak berkuasa Singapura.

Farrera-Brochez mesti "memadamkan" semua maklumat yang diperolehi daripada Kementerian Kesihatan (MOH) dan Jabatan Penjara Singapura (SPS) daripada mana-mana komputer, peranti, media penyimpanan atau laman web sebelum 29 Mac, menurut dokumen mahkamah.

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita