Skip to main content

Singapura

Mikhy Brochez didakwa di mahkamah Kentucky kerana simpan dokumen pengenalan secara haram

Mikhy Farrera-Brochez, rakyat Amerika Syarikat yang dipercayai membocorkan maklumat sulit dari daftar HIV Singapura, didakwa kerana memiliki dan memindah secara haram dokumen-dokumen pengenalan yang dicuri, menurut Jabatan Keadilan Amerika dalam kenyataan medianya pada Jumaat (22 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 23 Feb 2019 02:19PM Dikemas Kini : 23 Feb 2019 10:05PM

SINGAPURA: Mikhy Farrera-Brochez, rakyat Amerika Syarikat yang dipercayai membocorkan maklumat sulit dari daftar HIV Singapura, didakwa kerana memiliki dan memindah secara haram dokumen-dokumen pengenalan yang dicuri, menurut Jabatan Keadilan Amerika dalam kenyataan medianya pada Jumaat (22 Feb).

"Aduan jenayah mendakwa Farrera-Brochez secara haram memiliki dan berniat untuk mengedarkan data mengandungi maklumat perubatan dan peribadi yang sensitif," menurut Pejabat Peguam Negara Amerika, Daerah Timur Kentucky.

"Ketika tinggal di Daerah Timur Kentucky, Farrera-Brochez mengirimkan pautan-pautan ke data dari akaun emelnya kepada beberapa media. Dia juga mengirimkan emel yang mengandungi pautan tersebut kepada beberapa pegawai pemerintah di Singapura."

Farrera-Brochez akan kembali ke mahkamah pada 27 Feb. Pada Isnin (18 Feb), dia hadir di mahkamah bagi kes yang mana dia dikenakan tuduhan menceroboh selepas diberkas pada Disember dan didakwa atas kesalahan sama kerana enggan meninggalkan rumah ibunya.

Pada Januari, Kementerian Kesihatan Singapura mendedahkan bahawa Brochez membocorkan status positif-HIV 14,200 orang. Maklumat sulit mereka seperti nombor kad pengenalan dan nombor telefon turut dibocorkan.

Brochez dihantar pulang ke negara asalnya pada Apr 2018 selepas menjalani hukuman penjara selama 28 bulan atas kesalahan menipu dan dadah. Antara kesalahan yang dilakukan termasuk berbohong tentang status HIVnya untuk mendapatkan pas kerja.

Menteri Kesihatan Gan Kim Yong berkata di Parlimen baru-baru ini bahawa polis Singapura akan "melakukan sedaya upaya" untuk membawa Brochez ke muka pengadilan dan mereka sedang "sedang berurusan dengan rakan-rakan sekerja di Amerika Syarikat dan meminta bantuan mereka dalam siasatan terhadap Brochez."

Para penyiasat juga mendapati Brochez berbohong tentang kelayakan pendidikannya semasa membuat permohonan kerja di mana dia menyerahkan sijil-sijil palsu yang kononnya dari Universiti Vanderbilt dan Universiti Paris.

Selepas Singapura mengumumkan tentang pembocoran data itu, Brochez cuba untuk membersihkan namanya dengan memuat naik beberapa catatan Facebook. Namun, pihak berkuasa Singapura menolak dakwaan-dakwaan tersebut dan menyifatkan dirinya sebagai "seseorang yang suka berbohong".

"Mikhy Brochez berbohong tentang identiti ibunya, tentang identiti diri sendiri dalam pasport, dia berbohong tentang kelayakan pendidikan, tentang status positif-HIV, dan kini dia bohong lagi tentang apa yang sudah dilakukan," kata Menteri Negara Kanan Kesihatan merangkap Undang-Undang Edwin Tong. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita