Mikhy Brochez ada 'masalah mental'; ibu mengaku 'sangat takut' dengannya
Ibu warga Amerika Mikhy Ferrera Brochez - lelaki yang dipercayai membocorkan maklumat sulit daripada daftar HIV Singapura - memberitahu ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa anaknya mempunyai masalah mental dan beliau "sangat takut dengannya".
Mikhy Farrera Brochez dipercayai bertanggungjawab atas pembocoron data milik 14,200 orang yang positif HIV. (Gambar: Mikhy Brochez)
SINGAPURA: Ibu warga Amerika Mikhy Ferrera Brochez - lelaki yang dipercayai membocorkan maklumat sulit daripada daftar HIV Singapura - memberitahu ejen Biro Siasatan Persekutuan (FBI) bahawa anaknya mempunyai masalah mental dan beliau "sangat takut dengannya".
Dalam satu salinan afidavit yang dilihat oleh Mediacorp, ejen khas FBI Chelsea Holliday juga mengatakan bahawa Brochez antara lain, menuduh Pemerintah Singapura mencuri, memalsukan dokumen-dokumen serta "menyamar sebagai pegawai polis" tetapi "tidak dapat memberikan sebarang bukti atau saksi bagi dakwaan-dakwaan tersebut".
Cik Holliday memfailkan afidavit pada Jumaat (22 Feb) sebagai menyokong satu aduan jenayah yang dibuat kepada Mahkamah Daerah Amerika Syarikat di Daerah Timur Kentucky.
Brochez didakwa pada hari yang sama atas tuduhan mencuri dan mengedarkan dokumen-dokumen pengenalan yang dicuri, menurut Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat dalam kenyataannya.
"Aduan jenayah mendakwa bahawa Farrera-Brochez secara haram memiliki dan berniat untuk mengedarkan data yang mengandungi maklumat perubatan dan peribadi sensitif," menurut Pejabat Peguam Negara Amerika Syarikat, Daerah Timur Kentucky.
Dalam afidavitnya, ejen Holliday menyatakan bahawa Brochez juga memberitahunya menerusi satu panggilan telefon bahawa dia akan "membunuh diri" sebelum menyerahkan pangkalan data tersebut.
BERMULA DENGAN ADUAN BROCHEZ
Pada Nov 2018, sebuah agensi FBI menerima aduan menerusi laman biro tersebut daripada Brochez yang mendakwa bahawa suaminya, Ler Teck Siang, mengahwininya "atas dasar kepura-puraan dan bersubahat dengan Pemerintah Singapura untuk salah memenjarakannya".
Ler sebelum ini merupakan ketua di Unit Kesihatan Awam Nasional Kementerian Kesihatan (MOH) dan mempunyai akses kepada Daftar HIV. MOH mendapat maklumat pada 2016 bahawa Brochez memiliki maklumat sulit yang kelihatan seperti dari Daftar HIV kementerian itu.
Brochez juga memberitahu FBI bahawa dia dipaksa untuk mengaku bersalah bagi kesalahan-kesalahan yang tidak dilakukan.
Ejen Holliday berkata bahawa beliau menghubungi Brochez dan memintanya hadir bagi satu temu bual. Brochez datang ke agensi tersebut dan mengulangi dakwaan-dakwaannya.
Ejen itu mengatakan bahawa beliau menasihati Brochez supaya menghubunginya sekiranya dia boleh memberikan bukti kerana "FBI tidak dapat memulakan siasatan terhadap pemerintah asing hanya berdasarkan kata-katanya".
Pada Januari, Brochez menghubungi Cik Holliday sekali lagi. "Brochez memberitahu bahawa dia mempunyai maklumat penting dan dia percaya bahawa Pemerintah Singapura akan cuba menculiknya lagi," tulis beliau dalam afidavit tersebut. "Brochez enggan menjelaskan apa yang dikehendakinya dari FBI, kelihatan terganggu emosinya dan tidak keruan."
Pada Februari, ejen itu mendapat tahu daripada laporan-laporan bahawa Brochez memiliki pangkalan data yang mengandungi maklumat lebih 14,000 orang penghidap HIV.
Dari Jun 2018 hingga paling awal Jan 2019, semasa dia tinggal di Kentucky, Brochez menerusi emel menghantar pautan-pautan yang memberi akses kepada pangkalan data perubatan tersebut kepada beberapa saluran media - termasuk Alvinology.com, Mothership, The Straits Times dan CNN.
Ejen itu cuba untuk menghubungi Brochez tetapi gagal. Pada 19 Feb, beliau akhirnya dapat menghubunginya menerusi telefon.
"Brochez mengatakan bahawa dia akan 'membunuh diri' sebelum dia menyerahkan data itu," katanya. "Dia kemudian mengatakan bahawa dia akan menyerahkan data itu sekiranya saya boleh meyakinkan Pemerintah Singapura untuk membebaskan suaminya." Ler sedang menjalani hukuman penjara selama dua tahun kerana bersubahat dengan Brochez untuk menipu dan memberikan maklumat palsu kepada polis dan MOH.
Cik Holliday selanjutnya berkata bahawa dia sudah meminta Brochez untuk bertemu dengan beliau di pejabatnya tetapi dia enggan kerana percaya Cik Holliday "sedang cuba untuk memerangkapnya untuk diberkas".
Pada 21 Feb, beliau bercakap dengan ibu Brochez, Teresa King, yang mengatakan bahawa anaknya mempunyai "masalah mental dan beliau sangat takut dengannya". Cik King berkata bahawa Brochez ada mengirimkan emel yang mengandungi pautan untuk mengakses data-data yang dicuri. Brochez juga memberitahunya bahawa dia turut mengirimkan pautan-pautan itu ke Mahkamah Agung di Singapura dan "para diplomat" Singapura.
Pada hari yang sama, Brochez diberkas oleh polis Kentucky lalu diserahkan kepada FBI. Semasa soal siasat dengan Cik Holliday dan rakan kerjanya, Brochez mengaku dia memiliki Daftar HIV Singapura dan membawanya ke Amerika Syarikat.
Dia juga mengaku mengirimkan data tersebut kepada beberapa pihak - termasuk Mahkamah Agung Singapura, individu dalam Pemerintah Singapura dan beberapa saluran media - kerana dia ingin "membersihkan namanya dan membebaskan suaminya" daripada "dakwaan-dakwaan palsu", tulis Cik Holliday dalam afidavit berkenaan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.